terima kasih buat kalian semua..

Friday, March 19, 2010

Pangsapuri Seri Siantan daif


MELAKA 18 Mac – ‘‘Kami sudah tidak tahan dengan keadaan pangsapuri yang busuk, kotor, rosak di sana sini dan sampai bila keadaan ini harus kami harungi.”

Itulah luahan penghuni Pangsapuri Taman Seri Siantan Bukit Baru dekat ini yang sudah tidak sanggup lagi berdepan dengan pelbagai masalah sejak 10 tahun lalu.

Bagi orang ramai yang melalui pangsapuri tersebut pastinya akan tertanya-tanya adakah ia masih didiami apabila melihat struktur bangunan pangsapuri empat tingkat sudah terlalu usang.

Lebih menyedihkan pangsapuri tujuh buah blok yang dirasmikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1990 yang didiami kira-kira 3,000 penduduk daripada pelbagai kaum dilihat begitu daif tanpa penyelenggaraan yang sempurna oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Penduduk mendakwa keadaan struktur bangunan tersebut dilihat begitu membimbangkan dengan keadaan lantai yang mendap, siling senget dan dimakan anai-anai.

Tidak cukup dengan masalah tersebut, penduduk pula berdepan dengan bau busuk yang datang daripada saluran loji najis yang kerap tersumbat.

Tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini, mendapati keadaan bangunan pangsapuri tersebut sangat daif, kotor dan menjijikkan kerana tidak diselenggara dengan sempurna.

Keadaan menjadi teruk apabila pokok-pokok yang ditanam di tepi jalan, bagaikan dibiarkan begitu sahaja dengan ranting-ranting dan dahan menunggu masa untuk menghempap mangsanya.

Situasi itu dilihat boleh mendatangkan kejadian yang tidak diingini mungkin berlaku ke atas penduduk jika masalah yang dihadapi oleh mereka sejak 10 tahun itu tidak diatasi segera.

Dakwa penduduk lagi, biarpun banyak aduan telah dikemukakan kepada MBMB namun belum ada sebarang tindakan susulan yang diambil oleh pihak yang bertanggungjawab menjaga pangsapuri tersebut.

Mereka turut menyifatkan yuran penyelenggaraan RM30 sebulan yang dikenakan kepada setiap penduduk tidak berbaloi sekiranya masalah-masalah seperti ini tidak diselesaikan segera.

Seorang penduduk, Ali Seman, 63, berkata, dia begitu bimbang berikutan struktur simen konkrit di bahagian dapur rumahnya retak dan hanya menunggu masa untuk runtuh.

Katanya, kesan retak pada lantai berkenaan makin serius dan menyebabkan mereka sekeluarga menjauhi kawasan itu bagi mengelak keretakan semakin melebar dan bertukar tragedi mengancam nyawa keluarganya.

‘‘Ada satu ketika, saya pernah menampal simen pada satu bahagian, namun ia retak semula. Saya pernah mengadu masalah ini kepada MBMB namun keretakan ini masih belum dibaiki.

‘‘Justeru, saya berharap masalah keretakan ini dapat dibaiki secepat yang mungkin agar tidak ada sebarang kemalangan jiwa berlaku,” katanya.

Seorang peniaga, Md. Zan Md. Dzin, 50, pula berkata, nyawa penduduk pangsapuri itu berada dalam bahaya kerana terdapat keretakan di beberapa struktur bangunan tersebut.

‘‘Selain itu, mendapan lantai, kerosakan siling dan bumbung bocor serta saluran loji najis tersumbat turut berlaku.

‘‘Apa yang lebih mengecewakan, penduduk terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membaikinya,” kata Md.Zan.

Menurut Md. Zan, keadaan menjadi lebih teruk apabila hujan lebat di mana dinding atas kedainya kerap basah dipercayai kebocoran dan keretakan bahagian dinding unit rumah di atas kedainya.

Menurutnya, kerana tidak tahan dengan kelewatan MBMB mengambil tindakan, dia terpaksa mengupah kontraktor swasta untuk mengepam dan membersihkan saluran berkenaan.

Seorang lagi penduduk Evawani Abdullah, 55, berkata, dia menghadapi masalah bahagian siling rumahnya yang rosak akibat dimakan anai-anai.

Menurutnya, dia yang tinggal bersama anak-anaknya tidak mampu untuk mengupah syarikat kawalan anai-anai kerana ia melibatkan kos perbelanjaan yang tinggi.

‘‘Tidak cukup dengan masalah anai-anai, saya menghadapi masalah palang besi di ruang balkoni yang sudah berkarat.

‘‘Keadaan ini sangat membimbangkan kerana bukan sahaja membahayakan keselamatan keluarga tetapi pejalan kaki lain yang lalu lalang di bawah kawasan pangsapuri tersebut,” katanya.

Penduduk di pangsapuri berkenaan merayu MBMB mengambil langkah perlu bagi memastikan bangunan yang mereka diami selamat.

Oleh NAS NORZIELA NASBAH
utusanmelaka@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...