terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, March 9, 2010

Peminjam kecewa pegawai PTPTN tak tolak ansur

DENGAN rasa insaf dan rendah diri saya mengakui yang saya salah seorang peminjam yang disenaraihitamkan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Bukan niat ingin memburukkan sesiapa, malah syukur dan jutaan terima kasih terutama kepada PTPTN yang membantu saya bagi mencapai impian ke menara gading.

Tidak perlulah saya menceritakan betapa sukarnya mencari kerja sepanjang tiga tahun ini dan pelbagai kerja yang saya lakukan untuk menampung kehidupan saya dan keluarga di kampung. Alhamdulillah, awal tahun ini saya diterima bagi menjawat jawatan di sektor awam.

Saya terpanggil untuk ke ibu pejabat PTPTN bagi membayar sebahagian pinjaman melalui kaedah pembayaran melalui simpanan KWSP saya. Malangnya, pihak PTPTN tidak mahu menerima bayaran separuh atau ansuran lagi dan meminta saya melangsai semua jumlah pinjaman yang dianggarkan sebanyak RM28,000, dengan alasan kerana saya gagal membuat bayaran kepada PTPTN seperti dijanjikan sebelum ini.

Mana mungkin saya mampu menyediakan wang sebanyak itu dalam sekelip mata. Adakah saya perlu meminjam kepada pihak bank atau along dan menambahkan hutang saya sedangkan saya baru memulakan khidmat kepada kerajaan. Saya mengaku ini berlaku kerana kesilapan saya, dan saya insaf dan buntu memikirkan masalah ini, dan ramai lagi rakan yang mengalami masalah sama.

Kepada pihak PTPTN di mana budi bicara kepada kami yang sudah insaf dan ingin membayar pinjaman. Adakah tiada cara lain yang boleh difikirkan selain meminta bayaran penuh dibuat dan barulah nama kami tidak lagi disenarai hitam.

Saya bersetuju sekiranya dikenakan sedikit denda kepada kami yang liat membayar sebelum ini, tetapi janganlah diminta kami membayar sekali gus jumlah pinjaman itu sebelum mengetahui apakah punca kami dikatakan liat membayar sebelum ini.

Saya merayu kepada pihak PTPTN melihat masalah ini. Mana mungkin golongan belia seperti kami ini mampu menjadi produktif kepada negara sekiranya dibebani hutang sedangkan kami baru melangkah ke alam kerjaya.



REMY IMRAN,

Gerik, Perak.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...