terima kasih buat kalian semua..

Thursday, March 11, 2010

Peminjam muflis tertekan tindakan bank

SAYA ingin meminta Bank Negara supaya mengambil tindakan tegas terhadap semua bank yang mengambil kesempatan menekan peminjam dan penjamin terutama apabila peminjam yang diisytihar muflis oleh bank bersedia membayar balik hutang pinjaman.

Sikap buruk bank yang didalangi oleh peguam kerana mahu mengaut keuntungan terhadap mangsa yang sedang tidak bermaya adalah terlalu zalim. Sikap mereka bukan sahaja menyusahkan peminjam dan penjamin, bahkan mahkamah dan Jabatan Insolvensi.

Pengalaman ngeri saya ini sewajarnya diberi perhatian serius oleh Bank Negara supaya penyakit sosial ketika zaman ekonomi gawat ini tidak menimbulkan pelbagai kesan lain kepada masyarakat.

Saya telah membuat pinjaman pembiayaan kereta daripada sebuah bank beberapa tahun lalu. Akibat masalah perniagaan kerana kegagalan pembiayaan projek kerajaan, saya telah menanggung beban hutang berjumlah berjuta ringgit. Bekas isteri saya yang juga kakitangan kerajaan telah menjadi penjamin.

Keadaan perniagaan yang sangat teruk menyebabkan saya dimufliskan dua tahun lalu. Namun berkat sabar, saya berjaya bangun semula dan mengumpul wang bagi membayar kesemua hutang saya.

Bermula penghujung tahun 2008, saya melantik peguam bagi menguruskan kesemua hutang termasuk bank. Peguam telah berunding dengan insolvensi dan bank-bank berkaitan.

Antaranya mendapatkan persetujuan jumlah hutang yang perlu dibayar dengan persetujuan bersama.

Oleh kerana kerenah birokrasi dan proses prosedur insolvensi yang agak lembap, rundingan tetap diteruskan menerusi insolvensi dan peguam.

Akhirnya setelah menunggu hampir setahun, saya mendesak Jabatan Insolvensi memanggil semua bank yang terlibat untuk berunding dan mencapai kata sepakat. Pihak bank diwakili seorang peguam menawarkan satu jumlah yang saya persetujui sebagai bayaran penuh.

Namun begitu, dalam proses menjelaskan kesemua hutang, saya dan Jabatan Insolvensi terkejut apabila bekas isteri saya memaklumkan bahawa beliau telah menerima notis kebankrapan yang dilakukan oleh bank itu. Akibatnya, isteri saya tertekan kerana akaun gaji dibekukan dan pinjaman perumahan kakitangan awam juga dibekukan.

Lebih menyedihkan akaun simpanan pelajaran anak-anak saya (akaun bank bersama ibu bapa dan anak- anak) turut dibekukan.

Bekas isteri saya mengugut untuk menyaman saya kerana dituduh lewat membayar pinjaman sedangkan saya telah terperangkap dengan kerenah birokrasi Jabatan Insolvensi dan bank.

Akibatnya saya terpaksa membayar semua kos kerugian yang dialami oleh bekas isteri saya bagi mengurangkan tekanan dan mengelakkan tindakan mahkamah terhadap saya.

Dalam masa yang sama, peguam bank itu telah memaklumkan bahawa jumlah yang dicadangkan semasa perjumpaan bersama Jabatan Insolvensi ditolak dan mendesak jumlah dinaikkan hampir RM20,000 lagi.

Saya dan peguam serta Jabatan Insolvensi menganggap bank berdolak-dalik untuk meraih keuntungan. Dalam keadaan tertekan, saya membayar semua jumlah yang dituntut bagi melepaskan saya dan bekas isteri daripada cengkaman hutang dan kebankrapan.

Akhirnya setelah bayaran didepositkan kepada Jabatan Insolvensi melalui peguam, mahkamah melepaskan saya dari kebankrapan. Geran kereta saya juga diserahkan kepada saya.

Namun, sekali lagi saya dikejutkan apabila Jabatan Insolvensi memberitahu bahawa peguam bank itu tidak mahu melepaskan kebankrapan bekas isteri saya sebagai penjamin dan akan membawa ke mahkamah untuk mencabar Jabatan Insolvensi kerana mereka difahamkan ingin menuntut sebanyak 20 peratus lagi bayaran pinjaman, sedangkan sebelum ini saya telah membayar penuh seperti mana yang dikehendaki oleh bank itu.

Persoalannya, mengapakah peguam bank itu tidak menjelaskan kedudukan saya dan penjamin serta proses dan prosedur sebenar bayaran hutang ketika perundingan yang diaturkan bersama Jabatan Insolvensi?

Apakah peguam cuba menyembunyikan kebenaran kerana hendak mengaut keuntungan daripada peminjam dan penjamin?

Saya mendesak Bank Negara dan kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap kedua-dua pihak ini supaya tekanan sosial dan ekonomi seperti ini tidak mengakibatkan rakyat membenci system dan polisi kerajaan.


Bachang, Melaka

1 comment:

  1. assalamualikum encik...saya juga menghadapi masalah seperti encik...Apa yang harus saya buat?

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...