terima kasih buat kalian semua..

Thursday, March 25, 2010

Pendidikan seks: Pandangan seorang pelajar

ISU sensitif seperti ini pada umumnya melibatkan banyak perkara-perkara yang agak susah diterima kerana budaya 'ketimuran' kita yang tidak selesa membincangkan hal-hal seperti ini. Tetapi dari sudut saintifik dan agama saya ingin mengulas sedikit sebanyak mengenai isu yang semakin serius ini.

Melalui pemerhatian dan pembacaan saya, ramai yang mengaitkan isu kes buang bayi ini dengan seks rambang dan soal ketuhanan.

Pada pendapat saya, persoalan seperti ini tidak harus dibangkitkan, kerana jika mereka takut pada Tuhan, mereka tidak akan melakukannya.

Persoalan yang harus dibangkitkan di sini ialah tanggungjawab mereka menggunakan perlindungan ketika melakukan perbuatan terkutuk ini supaya tiada bayi yang akan dilahirkan, atau kelak dibunuh.

Saya fikir persoalan inilah yang harus dibangkitkan. Walaupun mereka melakukan perkara yang terkutuk tetapi tiada insan lain yang akan menjadi mangsa kerakusan akhlak mereka.

Saya melihat perkara-perkara terkutuk ini boleh berlaku terutamanya di kalangan remaja kerana 'krisis dalaman diri' mereka. Mereka tidak berupaya mengawal hawa nafsu mereka dan tidak mempunyai kesedaran akibat daripada perlakuan mereka itu. Untuk menyelesaikan masalah ini, Pendidikan Seks atau yang lebih sepatutnya dipanggil Pendidikan Kesedaran harus dilaksanakan.

Dalam pendidikan itu, modul yang harus ditekankan ialah kesan daripada perbuatan mereka. Gambar-gambar yang mengerikan dan medium-medium lain boleh dipadatkan di dalam modul supaya mereka takut untuk melakukan perbuatan itu.

Selain itu, modul pendidikan khas ini juga perlu memasukkan kes-kes dan kesalahan juvana.

Ramai yang mengatakan Internet adalah penyebab utama kepada kes ini. Kesalahan tidak harus diletakkan semata-mata kepada dunia Internet kerana perkara-perkara yang disebarkan melalui Internet adalah dari dunia Barat yang menghalalkan perkara-perkara haram seperti ini.

Tanggungjawab membendung masalah ini harus diletakkan pada bahu ibu bapa kerana semuanya bermula daripada bagaimana keluarga mendidik dan mempengaruhi seseorang itu.

Dalam konteks ini para ibu bapa gemar memanjakan anak-anak dengan memberi pelbagai gajet dan komputer peribadi (PC) yang canggih. Ini tidak salah dan sebagai perlindungan kepada anak-anak, mereka harus meletakkan perisian keselamatan seperti Parental Control atau Keylogger yang boleh menghalang anak-anak daripada mengakses bahan pornografi, keganasan dan ideologi politik melampau.

Kesan yang paling buruk yang boleh berlaku jika berlakunya seks rambang ini ialah jangkitan kelamin (STD) yang akan memberi kesan kepada kehidupan sosial seseorang.

Pada tahun 2008 sahaja, sebanyak 3,692 kes HIV dilaporkan di seluruh negara dan hampir 2,988 daripadanya penghidapnya, lelaki. HIV yang merupakan sejenis STD juga akan memberi kesan yang sangat buruk kepada seseorang itu. Lawatan-lawatan ke tempat pelaku jenayah seksual dan penagih dadah yang menghidapi STD tahap akhir atau sangat kronik harus dilakukan oleh pihak sekolah supaya memberi rasa takut dan kesedaran kepada para pelajar supaya tidak terjebak dalam kancah maksiat ini.

Selain itu, saya menasihatkan kerajaan dan juga ahli-ahli Parlimen jangan asyik bertengkar dalam Parlimen dan sentiasa berpolitik di sana sini tapi sebaliknya menumpukan usaha untuk membangunkan negara dari segi infrastruktur, ekonomi, moral dan sebagainya!

Jangan lupa tanggungjawab anda pada rakyat dan rakyat juga harus bertanggungjawab serta bekerjasama membendung masalah-masalah sosial seperti ini terutamanya kes-kes juvana yang akan menentukan nasib dan masa hadapan negara.

Mohd. Syameer Firdaus

Pelajar Sekolah dan Penulis Bebas

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...