terima kasih buat kalian semua..

Thursday, March 18, 2010

Penduduk bantah lagi projek CAR


Kira-kira 200 penduduk Kampung Sungai Terentang, Rawang dekat sini hari ini berhimpun bagi menghalang pembinaan semula projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR) oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Mereka yang berkumpul seawal pukul 7.30 pagi dengan bertindak mengepung kesemua tiga jalan utama ke kampung itu.

Sebahagian mereka turut membawa bersama kain rentang dan sepanduk sebagai tanda bantahan.

Beberapa pemimpin pembangkang termasuk Ahli Parlimen Batu, Tian Chua turut kelihatan di lokasi tersebut.

Kesemua penduduk itu bagaimanapun bersurai pada pukul 12 tengah hari setelah dimaklumkan bahawa TNB akan menangguhkan kerja-kerja untuk tempoh 72 jam.

Difahamkan petang semalam, penduduk telah mengadakan mesyuarat dengan TNB tetapi tidak mencapai kata sepakat.

Isnin lalu, TNB memaklumkan yang projek itu akan diteruskan pada hari ini selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan projek yang terbengkalai sejak lima tahun lalu itu boleh diteruskan.

Mahkamah turut memerintah TNB untuk membayar pampasan sejumlah RM10.4 juta kepada penduduk terlibat.

Penduduk bimbang rumah mereka akan dirobohkan bagi pembinaan menara berkenaan, sekali gus menyebabkan kampung itu terbahagi dua.

Projek yang melibatkan pemasangan kabel voltan tinggi sepanjang 59 kilometer itu akan meningkatkan pengeluaran tenaga elektrik daripada 33 kilovolt (kv) kepada 275 kv dan membantu mengatasi kekurangan kuasa di Lembah Klang.

TNB akan menggunakan lima buah menara monopole bagi menyiapkan projek itu yang hanya tertangguh di kawasan Kampung Terentang.

Kerja-kerja pembinaan projek CAR itu dijangka siap pada akhir tahun ini jika ia berjalan seperti yang dirancang

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Supritendan Rosly Hassan ketika dihubungi pula berkata, pihaknya hanya menghantar anggotanya untuk melakukan pemantauan kerana bantahan itu berjalan secara aman.

Sementara itu, kerajaan negeri akan berbincang dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, TNB serta wakil penduduk bagi menyelesaikan masalah itu secara total.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, perbincangan tersebut akan diadakan dalam tempoh terdekat sama ada Jumaat atau Sabtu ini.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...