terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, March 23, 2010

Penghuni flet sengsara

AMPANG: Selepas tujuh tahun terbengkalai, penduduk rumah pangsa kos rendah di Taman Ukay Bestari di sini terpaksa hidup dalam kesengsaraan apabila rumah yang dibeli tidak sempurna dari segi kemudahan asas sehingga menyusahkan mereka menjalani kehidupan seharian.

Disebabkan pelbagai masalah seperti tekanan bekalan air terlalu rendah dan lif tidak berfungsi, hanya 26 keluarga yang sanggup tinggal di pangsapuri 13 tingkat itu, manakala pembeli lain lebih rela terus tinggal di rumah sewa masing-masing.

Rumah pangsa kos rendah itu menempatkan 146 unit rumah, tetapi kini masih banyak yang kosong khususnya di tingkat 10 ke atas. Penduduk yang ditemui melahirkan rasa kecewa dan sedih dengan keadaan rumah tidak sempurna untuk diduduki sedangkan banyak wang sudah dihabiskan untuk membeli rumah berkenaan.

Shahrizal Md Ariff yang baru berpindah dua minggu ke rumah yang dibelinya pada harga RM40,000 berkata, beliau kesal kerana selepas mengeluarkan wang yang banyak untuk membeli rumah pangsa kos rendah itu, keadaannya didapati tidak sempurna.

“Harapan saya untuk tinggal di rumah baru bersama bayi perempuan yang baru lahir seminggu lalu tidak seindah diimpikan.

“Bayangkan saya dan isteri yang baru bersalin terpaksa mendaki tangga untuk ke rumah kami di tingkat tujuh. Kalau terjadi kecemasan seperti bayi atau isteri saya sakit, tentu sukar untuknya menuruni dan mendaki tangga,” katanya kepada Sentral di sini, semalam.
Katanya, beliau dan isterinya terpaksa tinggal di rumah baru mereka itu kerana tidak mampu lagi untuk terus menyewa rumah.

“Kalau ikutkan memang tidak tahan duduk di rumah ini, tetapi kami tiada pilihan. Sebelum ini saya menyewa rumah pada harga RM500 sebulan, dengan tinggal di sini, saya dapat kurangkan kos untuk belanja keluarga,” katanya.

Nasib sama turut menimpa Mohd Hanafiah Rahim yang membeli rumah kos rendah berkenaan pada harga RM35,000 dan mula tinggal di situ sejak Februari lalu bersama isteri dan dua anak mereka yang masing-masing berusia tiga dan lapan tahun.

“Mula-mula kami berpindah, tiada bekalan elektrik tetapi masalah itu kemudian dapat diatasi.

“Bagaimanapun, kini tiada bekalan air, manakala lif tidak berfungsi. Orang macam kami memang tiada tempat lain hendak pergi. Hendak atau tidak, terpaksa juga tinggal di sini walaupun serba kekurangan.

“Bayangkan bulan lalu ada kematian di tingkat enam. Akibat tiada lif, urusan membawa turun jenazah untuk dikebumikan menjadi lambat kerana kami terpaksa menunggu juruteknik datang untuk menggerakkan lif berkenaan.

“Kami berharap pemaju bertindak segera dan janganlah sekadar mengaut untung saja,” katanya.

Tinjauan Sentral mendapati tekanan air yang terlalu rendah menyebabkan penduduk di situ terpaksa ‘mengepam’ sendiri air dari rumah tangki untuk disalurkan ke dalam rumah masing-masing menggunakan saluran paip tambahan.

Akibat tiada lif, segelintir penduduk sanggup menggadai nyawa dengan mengambil jalan singkat untuk turun dari pangsapuri berkenaan dengan melalui titi kayu menghubungkan balkoni di tingkat dua dengan tanah tinggi yang menempatkan ruang tempat kereta di sebelahnya.

Oleh Halina Mohd Noor


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...