terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, March 10, 2010

Perdagangan mata wang haram (Forex)


Apakah hukum melabur dalam perdagangan mata wang asing (forex)?ZAHARUDDIN: Bagi menjawab soalan ini, kita perlu memahami dua jenis bentuk pelaburannya iaitu:

Melabur wang ringgit anda ke dalam satu syarikat yang memperolehi untung melalui forex.

Melantik satu platform atau syarikat untuk menjalankan jual beli wang asing dan simpan. Semua transaksi dijalankan oleh individu itu sendiri, syarikat hanya menyediakan platform dan mengambil upah perkhidmatan sahaja.

Pertama: Hukum bagi melabur dalam syarikat yang menjalankan forex:

Forex adalah suatu jenis perdagangan atau transaksi yang memperdagangkan mata wang suatu negara terhadap mata wang negara lainnya. Ia melibatkan pasar-pasar mata wang utama di dunia selama 24 jam secara berterusan.

Benar, memang pertukaran mata wang adalah diharuskan, tetapi keharusannya tertakluk kepada sejauh mana ia menurut garis panduan yang dikeluarkan dari hadis nabi yang sahih. Iaitu:-

Ditukar (serah dan terima) dalam waktu yang sama ia disebut dalam hadis sebagai yadan bi yadin. Dalam bahasa Inggerisnya adalah on the spot basis.

Ia datang dalam banyak hadis. Antara yang paling utama adalah sabda Nabi SAW yang bermaksud: Emas dengan emas (ditukar atau diniagakan), perak dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam mestilah sama timbangan dan sukatannya, dan ditukar secara terus (pada satu masa) dan sekiranya berlainan jenis, maka berjual-belilah kamu sebagaimana yang disukai. (riwayat Muslim, no. hadis 4.039, 11/9)

Sesungguhnya Rasulullah SAW berkata: Pertukaran antara perak dan emas adalah riba kecuali jika ia dilakukan secara serentak (serah terima dalam satu masa). (riwayat Muslim, no. 1586, 3/1209)

Pembelian secara hutang dari salah satu antara dua pihak adalah haram berdasarkan hadis Rasulullah SAW melarang dari menjual emas dan perak secara berhutang. (riwayat Al-Bukhari, no. 2070, 2/762)

Hadis-hadis tadi menyebut perihal disiplin Islam dalam pertukaran emas dan perak. Untuk informasi, ulama bersepakat bahawa mata wang (bank note) juga adalah sama disiplinnya dengan emas dan perak disebabkan nilai dan fungsinya sebagai medium of exchange.

Justeru setiap disiplin dan syarat transaksi yang melibatkan emas dan perak juga terpakai pada urusan transaksi mata wang.

Demikian keputusan Majlis Fiqh Antarabangsa dan juga Majlis Kewangan Islam Antarabangsa di bawah Pertubuhan Akauntan dan Pengauditan untuk Institusi Islam (AAOIFI).

Forex dalam mata wang yang diuruskan oleh syarikat konvensional sudah pasti tidak akan menjaga syarat ini. Sebabnya, kebanyakan forex di institusi konvensional adalah forward forex atau forex yang menggunakan value forward (nilai masa hadapan) yang tergolong dalam riba nasiah. Mereka juga kerap menggunakan SWAP, Options dan lain-lain instrumen yang tidak halal di sisi syariah.

Tidak saya nafikan, bahawa ada institusi kewangan Islam yang melakukan forex ini setelah dapat kelulusan Majlis Penasihat Syariah mereka. Namun semua mereka hanya terlibat dalam forex jenis spot dan bukannya jenis forward. Jika adapun jenis forward ia menggunakan konsep Al-Wa'd atau unilateral promise yang telah disepakati keharusannya.

Apa yang pasti, Majlis Syariah telah meletakkan beberapa syarat dan bukannya secara bebas begitu sahaja.

Justeru melabur modal (seseorang melabur dan menunggu untung sahaja) dan di dalam institusi kewangan konvensional yang memperolehi untung melalui cara forex adalah tidak halal di sisi Islam.

Ia adalah keputusan Panel Penasihat Syariah Dunia di bawah AAOIFI.

Kedua: Hukum perdagangan forex yang dijalankan sendiri.

Bagi mengetahui hukum bagi bentuk kedua ini, ia tertakluk kepada:

Kesahihan dan kewibawaan syarikat platform dari sudut lesennya dan pengenalannya. Ia diperlukan bagi mengelak anda ditipu oleh platform syarikat yang tidak sebenar.

Butiran terperinci berkenaan platform ini mestilah diteliti dan boleh diperolehi. Jika tidak, transaksi anda adalah syubhat dari awal lagi kerana ada unsur gharar.

Jika platform tersebut punyai wibawa dan lesen serta maklumat yang sangat mencukupi, perkara kedua adalah menilai akta-akta berkaitan aktiviti ini dari badan berwajib di Malaysia.

Ini perlu bagi memastikan anda tidak terlibat dengan aktiviti menyalahi undang-undang negara.

Jika yang kedua juga lulus, saya kira transaksi jual mata wang asing dan simpan dan kemudian jual semula apabila harga tukarannya naik adalah harus pada hukum asalnya apabila terdapat keperluan untuk menukarkan mata wang tersebut. Ini kerana ia secara automatiknya dilaksanakan menurut kaedah spot.

Cuba kita sama-sama memahami dan menyemak bagaimana proses ini dilakukan secara ringkas dan melihat perspektif hukum Islam tentangnya.

Walaupun berniaga sendiri forex dan memenuhi syarat ini dibenarkan, kebenaran itu adalah tatkala wujud keperluan sahaja. Namun apabila ia dijadikan sebagai sebuah pelaburan dan kemudian, cuba mendapatkan untung atas pertukaran nilai mata wang terbabit, ia telah berubah dari hukum harus kepada haram kerana wujudnya unsur perjudian dan spekulasi di situ.

Di samping isu-isu lain seperti gharar dan keterlibatan riba dalam leverage. Apa pun, yang pasti perniagaan forex trading wang kertas pelbagai negara untuk meraih untung atas perbezaaan nilai mata wang adalah haram.

Sebabnya, ia adalah judi dan penyebab mudarat kepada sistem ekonomi dunia dan penyumbang kepada inflasi serta ketidakstabilan nilai mata wang.

Mengapakah insurans konvensional itu dikategori haram?

ZAHARUDDIN: Sebabnya insurans konvensional merupakan suatu kontrak perniagaan dan termasuk daripada kalangan kontrak pertukaran pemilikan kewangan 'Uqud mu'awadat maliah.

Melalui sistem insurans, kontrak ini mewajibkan syarikat insurans membayar jumlah tertentu kepada pencarum insurans apabila berlaku kemalangan atau musibah yang telah ditentukan di dalam kontrak (akad) bersesuaian dengan kadar-kadar tertentu.

Ia juga bergantung kepada jumlah caruman pencarum. Sebanyak 48 kontrak insurans ini mengandungi ciri-ciri berikut:

Persetujuan kedua-dua pihak (iaitu syarikat insurans dan pencarum). Ia ibarat satu kontrak perjanjian yang lengkap dan mengandungi aspek ijab (tawaran) dan kabul (penerimaan).

Pihak yang memberi insurans; iaitu pihak syarikat insurans.

Pencarum; iaitu individu yang membayar jumlah tertentu dan yang membuat perjanjian dengan syarikat insurans.

Yang menerima manfaat; iaitu seperti anak kepada individu atau isteri dan lain-lain.

Jenis kebahayaan atau musibah; iaitu jenis-jenis musibah atau kemalangan yang diandaikan yang ditentukan di dalam kontrak seperti kecurian, kebakaran, kecederaan, kematian dan lain-lain.

Bentuk insurans ini adalah seperti: Insurans terhadap musibah menimpa tubuh, insurans nyawa, insurans harta dan pecahannya (kereta, motor, rumah dan lain-lain), insurans kemalangan jalan raya, insurans kerja dan lain-lain.

Satu sebab utama insurans konvensional haram adalah riba. Islam melihat inti dan substance insurans konvensional sebagai proses jual beli. Ringkasannya seperti berikut:

Penjual: Syarikat insurans

Pembeli: Pencarum

Benda yang dijual: Jaminan kewangan jika terhadap musibah tertentu

Harga: RM1, 200 setahun

Sifat asas insurans konvensional ini termasuk dalam akad jual beli. Justeru, ia dikehendaki menjaga semua syarat jual beli wang (sebagaimana dalam hukum as-Sarf) dan lain-lain syarat jual beli biasa.

Riba wujud dalam insurans ini apabila syarikat insurans membayar jumlah tertentu kepada si pencarum yang terkena musibah. Ia dianggap riba kerana wang daripada pencarum akan berbalas wang daripada syarikat dengan jumlah yang berbeza, padahal wang merupakan barangan ribawi (usurious items) sebagaimana enam barangan yang disebutkan Nabi SAW dalam hadisnya.

Nabi SAW mensyaratkan apabila berurusan di antara dua barangan ribawi yang sama jenis (contoh di sini adalah wang daripada pencarum dengan wang daripada syarikat insurans), ia mestilah terikat dengan syarat:

Sama nilai (mithalan bi mithlin)

Diserahkan ketika muamalah dilakukan (yadan bi yadin)

Syarat ini bersumber daripada hadis yang disebut juga dalam bab forex sebelum ini.

Maka setiap perbezaan nilai (dalam barangan ribawi) dianggap riba al-fadhl yang diharamkan (tahrim wasail). Apabila pencarum mendapat pulangan wang dengan jumlah berbeza maka berlakulah riba al-fadhl ini iaitu tidak ada kesamaan nilai dalam urusniaga dua barangan ribawi.

Pembayaran bertangguh dalam dua barangan ribawi adalah riba an-nasi'ah yang diharamkan. Dalam hal insurans sudah tentulah berlaku penangguhan, iaitu apabila pencarum terkena musibah barulah akan dibayar jumlah tertentu. Inilah dinamakan riba an-nasi'ah.

Kadang kala semasa di luar negara, kita menggunakan kad kredit semasa membeli barang. Apakah hukum transaksi begini?

ZAHARUDDIN: Semua kad kredit konvensional jatuh dalam hukum riba kerana bank atau pengeluar kad tersebut dikira memberi pinjaman kepada pelanggannya dalam bentuk had kredit.

Setiap kali kad diguna di mana-mana kedai dan pasaraya, pemiliknya hanya perlu membayar dengan kad tersebut. Padahal bayaran sebenar akan dibuat oleh pengeluar kad. Inilah intipati kepada sebuah akad pinjaman.

Ia menjadi riba dan haram disebabkan pengeluar kad menuntut pembayaran yang dilakukannya dan diberi tempoh beberapa hari untuk menyelesaikannya tanpa caj riba.

Pun begitu biasanya pelanggan diminta membayar 5% dari jumlah terkumpul penggunaan yang dibuatnya pada bulan tersebut. Baki jumlah terkumpul akan dikenakan riba yang boleh meningkat sehingga 15%. Ini adalah intipati riba al-Qardh.

Jika pelanggan gagal membayar, penalti sekitar 3% akan dikenakan, dan jumlah penalti tadi dimasukkan ke dalam nilai pokok pinjaman yang tertunggak menyebabkan jumlah keseluruhan yang perlu dibayar oleh pelanggan bertambah tinggi. Ini adalah riba yang kedua iaitu riba al-Jahiliyyah.

Oleh itu, umat Islam khususnya di Malaysia patut diwajibkan menukar kad kredit konvensional kepada kad kredit bank-bank Islam yang menggunakan pelbagai akad yang disahkan oleh majlis syariah yang berwibawa.

Jika kad kredit Islam yang digunakan, sebarang pembelian di dalam atau luar negara adalah halal dan diharuskan, kecuali pembelian emas dan perak.

Ini kerana diyakini pihak pengeluar tidak mampu membuat pembayaran kepada penjual emas terbabit kurang daripada tempoh tiga hari disebabkan jarak dan proses yang lebih panjang. Keadaan ini pastinya membawa kepada unsur riba akibat penangguhan pembayaran ketika pembelian emas dan perak.

Ada juga yang berpendapat membeli rumah melalui kaedah Islam lebih membebankan berbanding konvensional. Benarkah?

ZAHARUDDIN: Bagi saya, tindakan membandingkan apa yang ditawarkan oleh bank Islam dan bank konvensional adalah ternyata silap. Iaitu dari sudut:-

Spiritual: kerana membandingkan perkara yang halal dan yang haram.

Fizikal: kerana cuba membandingkan dua benda yang mempunyai bentuk yang berbeza. Sebagai cuba membandingkan kadar keuntungan yang diambil oleh bank Islam dan kadar faedah yang dikenakan oleh konvensional.

Selain itu, kadar harga juga berbeza-beza mengikut lokasi rumah yang ingin dibeli, kemampuan pelanggan, peratusan pembiayaan yang dipohon (kadar bagi pinjaman 90% adalah berbeza dari pinjaman 50% dan 70%), tempoh jangka pembiayaan dan banyak lagi.

Sebarang perbandingan mestilah mengambil kira semua faktor itu. Perbandingan secara umum pasti akan menunjukkan kelemahan diri dalam ilmu perbandingan.

Berikut adalah beberapa fakta yang menyebabkan dakwaan pinjaman perumahan bank konvensional lebih murah dari dalam perbankan Islam adalah silap dan tidak tepat.

Pertama: Perbandingan Kiraan Yang Silap

Orang ramai kelihatan gagal memahami cara kiraan yang betul menyebabkan mereka membuat keputusan yang salah. Bayangkan, perbankan Islam hanya mengenakan 7.5% (tahun ketiga sehingga 30 tahun sebagai contoh), ini bermakna kadarnya tidak bergerak hinggalah 30 tahun itu.

Apabila dilihat pinjaman perumahan oleh produk konvensional, hampir semuanya memukau pelanggan dengan kadar rendah di tahun pertama, tetapi bagi tahun berikutnya kadarnya tidak dapat diketahui oleh pelanggan kerana ia bergantung kepada Kadar Pinjaman Asas (BLR) yang tidak tetap serta ditolak dengan 0.25% sebagai contoh. (lihat Rajah 1)

Bagaimana apabila peratusan BLR melambung tinggi seperti 10% seperti yang berlaku ketika krisis ekonomi?

Bukankah ketika itu, kadar faedah yang perlu dibayar oleh pelanggan juga amat tinggi. Ini tidak akan berlaku dalam praktis bank Islam kerana di awal kontrak lagi menetapkan harga jualannya, tanpa terikat dengan BLR. Ia tidak akan naik malah mungkin boleh turun jika bank Islam memberi rebat (ibra') apabila pelanggan ingin menyelesaikan hutang awal.

Perlu diingat BLR naik beberapa kali sepanjang tahun lepas dan tahun ini daripada 6 % sehingga 6.75%.

Ada pihak yang mendakwa kadar BLR jika naik sekalipun ia tidak akan berpanjangan. Jika anda melihat statistik di atas, kadar BLR melebihi 8% bermula tahun 1995 sehingga 1998. Ini bermakna, 36 bulan anda dikehendaki membayar dengan kadar yang amat tinggi.

Jika dalam tempoh tersebut anda tidak boleh membayar, anda dikenakan penalti yang tinggi oleh bank konvensional dan jumlah pinjaman pokok akan bertambah menggunung.

Tatkala itu kadar BLR yang telah jatuh semula tidak banyak memberi manfaat, kerana tiga tahun kadar BLR tinggi itu telah menjadikan pembayaran anda selama ini seperti membuang duit di dalam sungai kerana ia akan menaikkan semula jumlah pinjaman pokok anda.

Ini bermakna, kenyataan yang menyebut perbankan Islam mengenakan kadar yang lebih tinggi kepada pelanggan adalah tidak tepat.

Cuba lihat rajah 2 bagaimana perbandingan boleh dibuat terhadap tawaran dua buah bank.

Jika kita melihat kedua-dua tawaran di atas, bagaimana mungkin kita boleh mengetahui yang mana satu lebih murah?

Memang benar bank Islam menetapkan dari awal harga jualan rumahnya kepada pelanggan kerana ia adalah kewajipan dalam syariah. Sebab itu seseorang menyangka bank Islam lebih mahal kerana menjual rumah berharga asal RM130,000 dengan harga RM260,000.

Sedangkan, pemberitahuan harga begini memang diperlukan bagi sebuah transaksi Murabahah dan Al-Bai. Sebarang pembelian aset yang tidak diketahui harganya adalah diharamkan di dalam Islam.

Saya tegaskan sekali lagi, jika anda ingin mengatakan kadar faedah bagi bank konvensional di atas (berdasarkan contoh di atas) adalah sama untuk tahun kedua dan ketiga iaitu 4.75%, anda tersilap kerana ia belum dapat dipastikan lagi sehingga tahun depan barulah ia akan diketahui kadarnya.

Kadar tetap di Bank Konvensional?

Sebahagian individu yang tidak memahami konsep kiraan ini juga cuba mendabik dada sambil mendakwa kononnya terdapat bank konvensional yang dapat menawarkan kadar tetap yang jauh lebih rendah dari bank-bank Islam. Sebenarnya ia perbandingan yang tidak sah dan tidak betul.

Kedua : Kadar Tetap Bank Islam Boleh Berubah Menjadi Murah

Satu fakta yang sering gagal difahami orang awam adalah adanya bank Islam yang menawarkan kadar tetap pada 10%, tetapi bayaran bulanannya bukan 10%, tetapi dilihat kepada Kadar Asas Pinjaman (BFR) semasa.

Jika BFR 6.0%, pihak bank Islam akan memberi diskaun pada bulan tersebut sebanyak 4%.

Jika kadar BFR melebihi 10%, bank Islam tetap mengambil 10% juga, berbanding bank konvensional yang akan menaikkan kadar bayaran selari dengan BLR ke tahap berapa sekalipun. Kaedah ini disahkan halal oleh pelbagai Majlis Syariah bank-bank Islam di Malaysia dan Timur Tengah. Ia dinamakan produk Home Financing-i variable.

Isu rebat

Jika terdapat individu yang mendakwa rebat yang ditawarkan oleh bank Islam hanya gimik, ia bererti individu itu tidak memahami langsung operasi bank Islam dan tidak mempunyai ilmu syariah.

Islam tidak dibenarkan menjual sesuatu barangan dengan dua harga yang berbeza, sebagai contoh: "saya jual rumah ini kepada anda dengan harga RM150,000 atau RM200,000".

Jika bank Islam menjadikan rebate clause ini sebagai kewajipan ke atas pelanggan, ia akan menjadi gharar dari sudut Islam dan diharamkan.

Disebabkan hal itu, rebat yang ditawarkan oleh bank Islam tidak boleh memasukkan rebat sebagai kewajipan bank. Ia ditegah oleh Majlis Penasihat Syariah bank-bank seluruh dunia.

Ketiga : Caj Penalti Menindas

Orang ramai juga kelihatan amat tidak faham perbezaan kesan caj penalti yang dikenakan oleh bank konvensional dan bank Islam.

Bank konvensional mengenakan caj penalti jika lewat membayar secara compounding atau terkumpul. Ertinya, sebagai contoh, pinjaman A kepada bank sebanyak RM10,000 dan dikenakan bunga atau faedah riba sebanyak 5%.

Bermakna A perlu membayar sebanyak RM10,500 kepada bank itu jika anda membayar tepat pada waktunya. Bagaimanapun A tidak akan mampu pasti anda boleh membayar pada masanya secara yakin, kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

Katalah setelah membayar beberapa lama, baki pinjaman kini hanya RM3,000 sahaja. Tiba-tiba, A mengalami kesusahan lalu gagal membayar pada waktunya. Ketika itu bank konvensional akan mengenakan 3% caj penalti iaitu RM90 sebulan. Ia sangat mahal berbanding bank Islam yang hanya mengenakan maksimum 1% atau RM30 sebulan.

Lebih dahsyat dari itu di bank konvensional jumlah pokok yang berbaki RM3,000 itu akan bertambah dicampur RM90 sebulan bagi kelewatan bulan pertama. Tatkala itu, jumlah pokok menjadi RM3,090.

Jumlah pembayaran semula pula akan dikira adalah 5% x (RM3,090) dan bukan lagi 5% daripada RM3,000. Justeru ini akan menaikkan lagi hutang A, bayangkan jika anda terlewat beberapa bulan.

Hal seperti ini tidak akan berlaku di bank Islam kerana tiada kadar compounding boleh dikenakan oleh bank islam. Jika terdapat kelewatan pembayaran, hanya caj 1% dikenakan dan ia tidak dimasukkan di dalam jumlah pembiayaan, malah ia juga akan disalurkan terus oleh bank Islam kepada fakir miskin.

Ini perlu difahami oleh orang ramai sebelum tergesa-gesa memahami bank konvensional lebih murah.

sumber: utusan malaysia

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...