terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, March 17, 2010

Prosedur Insolvensi mengimbangi kepentingan semua pihak

JABATAN Insolvensi Malaysia (MdI) merujuk kepada aduan daripada Nazmin Lela dari Bachang, Melaka bertajuk Peminjam muflis tertekan tindakan bank dalam ruangan ini bertarikh 11 Mac 2010.

Sekali lagi MdI ingin menegaskan bahawa jabatan ini merupakan sebuah jabatan kerajaan yang diberi peranan untuk mentadbir hal ehwal kes-kes kebankrapan yang antara lain meliputi pengzahiran dan penghasilan harta si bankrap, menentusahkan tuntutan yang difailkan oleh pemiutang dan seterusnya mengagihkan hasil yang diperoleh kepada pemiutang.

Harus dimaklumkan lagi bahawa seseorang itu akan hanya diisytiharkan bankrap setelah pihak si pemiutang mengambil tindakan kebankrapan apabila gagal mendapat semula hutang mereka secara biasa.

Dalam melaksanakan peranannya, MdI tertakluk kepada akta dan peraturan kebankrapan yang termaktub dalam Akta Kebankrapan 1967 dan tidak boleh bertindak sewenang-senangnya bagi menjaga dan mengimbangi kepentingan semua pihak yang terlibat dalam sesuatu kes kebankrapan itu.

MdI dengan ini menegaskan bahawa kerenah birokrasi dan prosedur insolvensi yang 'lembap' tidak akan berlaku dengan adanya kerjasama yang mantap dan segera daripada pihak pemiutang dan juga bankrap kepada MdI dalam membantu mempercepatkan sesuatu kes kebankrapan itu ditadbir dan ditutup.

Bagaimanapun dalam banyak keadaan, jabatan ini menghadapi masalah dalam mendapatkan kerjasama daripada kedua-dua pihak yang dinyatakan dan ini meletakkan jabatan ini dalam keadaan yang amat sukar untuk menyelesaikan sesuatu kes yang menyebabkan penyelesaian mengambil masa yang lama.

Ini menimbulkan kesulitan kepada MdI kerana setiap hari jabatan ini menerima kes-kes kebankrapan yang baru yang perlu diambil tindakan yang sewajarnya mengikut prosedur yang ditetapkan.

Dalam kes pengadu, semua tindakan yang perlu telah diambil oleh jabatan ini termasuk mengadakan perbincangan antara bankrap dan pihak pemiutang. Selaras dengan peruntukan perundangan, seseorang bankrap itu boleh dilepaskan dari kebankrapan berdasarkan syarat-syarat tertentu yang antara lain ialah tiada bantahan daripada pihak pemiutang.

Bagi kes yang melibatkan bekas isteri pengadu pula, pihak kami meminta pengadu untuk tampil ke cawangan MdI yang mentadbir kes tersebut bagi mendapatkan kedudukan sebenar dan membolehkan MdI mengambil tindakan yang sewajarnya.

MdI pada masa ini telah dan sememangnya mengambil pendekatan untuk memudahkan semua urusannya dengan pihak yang berkepentingan. Selaras dengan pendekatan itu MdI telah dan akan terus mengadakan siri forum rundingan bersama pihak bank dan juga Majlis Peguam bagi mendapatkan persefahaman dan permuafakatan dalam memudahkan pentadbiran dan pengurusan kes kebankrapan.

Isu yang dibangkitkan oleh pengadu akan diambil kira sebagai salah satu isu yang akan dibincangkan bersama kedua-dua pihak ini dalam siri rundingan akan datang.

SHAMSIAH CHEE ROS

Pegawai Komunikasi Korporat

b.p Ketua Pengarah Insolvensi

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...