terima kasih buat kalian semua..

Sunday, March 21, 2010

Suamiku anak kesayangan emak


ULU saya pernah terbaca dalam ruangan DCCK ini berbunyi "sayang suami biarlah berpada-pada supaya hidup kita tidak menderita.'' Saya kurang faham. Kini setelah 11 tahun berumahtangga baru saya mengerti.'' Itu kata Norsyuhadah dalam e-melnya.

''Perjalanan hidup saya penuh berliku, rumahtangga saya tak pernah aman, bermula dari mula berkahwin, sebabnya mertua tak sukakan saya kerana dia ada calon lain. Sampai kini mertua saya kesal kerana tak dapat bermenantukan gadis pilihannya.

''Bila saya dibenci, suami saya Sham serba salah, dia tersepit antara isteri dan ibu. Akhirnya saya jadi mangsa, kerana Sham tak mahu jadi anak derhaka. Di awal perkahwinan saya mesti pulang ke rumah mertua setiap minggu. Hinggakan nak balik ke rumah emak pun tak berpeluang. Namun ibu bapa saya amat memahami, kata ayah ''tak balik taka apa, jaga suami dan keluarganya baik-baik''

''Bila ke rumah mertua, Sham dan ayahnya suruh masak, mereka suka masakan saya. Tapi mak mertua tunjuk muka, adik ipar menjeling bila ayahnya puji masakan saya.

''Mereka juga bencikan saya kerana tak pandai berbahasa Inggeris, sejak itu mereka kutuk saya dalam BI kau-kau punya. Saya memang tak pandai berbual dalam BI tapi bukan saya tak faham, bukan kampungan sangat. Namun kerana saya bukan menantu pilihan saya tutup mulut, biarlah mereka kutuk puaskan hati masing-masing.

''Kalau ke rumah mertua atau bertandang ke rumah adiknya saya mesti bawa barang-barang untuk masak. Pelik jugak, dulu saya tanya Sham, ''kuali, dapur dan tong gas tak nak bawa ke? Ingatkan nak pergi mana?'' Rupanya di rumah mereka tak ada benda nak masak, sebab orang moden tak masak hanya beli lauk kat kedai. Sebenarnya pemalas.

''Sham adalah anak yang terlampau taat pada emak. Itu memang baik. Tetapi ketaatannya sampai sanggup korbankan isteri sendiri. Masa adik Sham nak bersalin, ketika itu saya kandungkan anak sulung, emaknya suruh saya tunggu di hospital. Sham nak bawa saya balik, emaknya tak izinkan. Saya terpaksa tidur di lantai hospital, beralaskan selimut. Mereka tidur di rumah. Bila saya turun darah barulah saya dibenarkan balik.

''Kalau mertua saya kata dia penat sebab bekerja, saya pun bekerja juga, takkan dia tak boleh faham. Saya bukan setakat berkorban tenaga, wang ringgit juga turut terkorban. Selepas 8 tahun berkahwin, keadaan tetap tak berubah, semua perkara dalam rumah kami mesti dapat restu mertua saya. Hinggakan beli perabut, memilih rumah untuk disewa semuanya mesti mendapat persetujuan emak. Dulu kami pernah duduk rumah sewa sebulan sahaja, disuruh pindah ke rumah lain, sebabnya Sham tak beri tahu emaknya terlebih dulu tentang sewa, jenis rumah dan kawasan rumah pilihan kami.

''Namun di mata jiran dan saudara mara mertua saya adalah yang terbaik, bahasa, tingkah laku, semuanya terpuji, tetapi bila saya berdua dengannya keluarlah ayat-ayat yang menyayat hati, ''Nasiblah anak aku ambil kau buat bini kalau tidak ….enah entah jadi andartu!..'' sedarlah diri sikit. Aku bila-bila boleh suruh Sham kahwin lain…!''

''Jiwa saya semakin terseksa bila adik ipar yang bongsu tinggal di rumah kami, dialah yang jadi penyampai berita bukan untuk tv atau radio tapi pada emaknya. Waktu itu mertua saya sentiasa datang menerpa ke rumah kami, bila dapat berita sensasi. Pada dia saya serba tak kena. Dia tuduh saya boros menghabiskan duit Sham, tapi dia tak tahu selama ini sayalah yang banyak berkorban tanggung makan minum kami anak beranak, sebab kata Sham dia terpaksa bagi duit pada emak. Entah betul atau tidak saya kurang pasti. Malah bayar duit telefon yang adik dia bergayut siang malam dengan teman lelaki dan emak pun saya yang bayar.

''Namun akhirnya dia angkat kaki bila Sham tegur dia tak bersihkan bilik kecil selepas gunakan. Takkan saya kena bersihkan jugak. Dia guna dia bersihkanlah. Waktu itu saya yang jadi sasaran kemarahan mak Sham.

''Terus terang saya katakan sejak dia tinggal dengan kami, saya dengan Sham sentiasa bertengkar. Tapi rahsianya terbongkar bila saya lihat dia menambah air minuman dalam peti sejuk dari botol yang dibawa pulang dari rumah mak. Terbitlah rasa syak wasangka, jadi saya pun buang semua air dan digantikan dengan yang baru.

''Walau apa pun ujian dari keluarga Sham, saya masih boleh bersabar, tetapi apabila Sham sendiri buat hal, saya terus patah semangat. Dalam diam dia terpikat dengan wanita lain satu pejabat. Emaknya merestui. Sakitnya jiwa.

berjauhan

''Bila dah bercinta telefon tak lepas dari tangan, alasannya bos panggil kena jawab, bos tanya itulah, inilah, itu alasannya. Akhirnya dia ikut bos pindah ke negeri lain. Dia tinggalkan kami anak beranak asalkan bersama bos. Saya nak ikut dia tak bagi.

''Setelah berjauhan dia lupa bagi duit belanja. Alasanya banyak belanja duduk bujang. Lebih sakitkan hati bila dia kata ''Abah jadi orang bujang now, belanja pun lebihlah!'' Sampaikan anak sulung yang kami 9 tahun tanya saya abah jadi orang bujang balik ke?

''Saya cuba tenangkan jiwa tetapi anak sulung memang pandai main telefon dia tanya, ''Dalam telefon ayah ada sms Darling… Darling, ayah ada kekasih ke? Ayah bercinta ke?'' Apa saya nak jawab? Nak jadi cerita lepas dua tahun bosnya pindah balik HQ dia ikut sama. Sebab nak sambung main drama.

''Percintaan mereka bukan rahsia lagi satu pejabat dah tau. Bila saya tanya kawannya, mereka tanya saya balik betulke saya sakit. Sampai hati Sham tuduh dan buat fitnah pada kawan-kawan pejabatnya kata saya sakit sebab itu dia nak kahwin lagi. Lebih sakit hati lagi bila dia kata dah ''lepaskan saya'' apa maknanya? Bila tanya dia tak mengaku. Sejak itu saya dah tawar hati padanya. Kami masih bersama kerana anak-anak tiga orang ini.

''Sebenarnya saya tak tahu saya kategori isteri jenis apa, jahat ke? Kerana membuka pekong suami. Tetapi saya tak ada tempat nak meluahkan perasaan. Semakin disimpan jiwa saya remuk, hati saya hancur kerana perbuatan mertua dan suami. Niat saya juga agar isteri-isteri di luar sana janganlah beri sepenuh kepercayaan dan kasih kepada suami, akibatnya diri sendiri binasa jika jadi macam saya.

''Bila mengenangkan nasib, duit simpanan tak ada kerana banyak buat pinjaman menutup hutang suami untuk memuaskan hati ibunya. Jiwa saya makin terseksa. Dan bila dah jadi macam ini saya teringat pesan ayah, katanya ''Bukan mudah satukan dua keluarga yang berbeza, apa lagi menggabungkan dua dunia yang berlainan. Kau mesti tabah..!"

''Dulu bila mertua saya bencikan saya dan membuat pelbagai fitnah saya boleh sabar asalkan suami saya memahami, menyayangi dan mencintai saya. Tapi bila suami buat angkara, saya serahkan segalanya kepada ketentuan Allah, saya redha kerana saya sudah tidak sanggup lagi menempuh pelbagai ujian yang menguji kesabaran saya.

''Agaknya baik juga tegahan mertua saya dalu melarang saya beranak ramai. Kalau tidak tentu hidup saya lebih terseksa bila suami tak bagi duit belanja kerana kini asyik mabok bercinta. Saat inilah saya lihat wajah mertua saya berseri-seri gembira bila melihat saya menderita kerana Sham asyik bercinta.''

Demikian cerita Norsyuhadah panjang lebar. Katanya lagi mertuanya mahu melihat anak-anaknya terutama lelaki dan perempuan mengikut segala kata dan arahannya seperti suaminya mengikut telunjuknya. Di panggil dia datang, disuruh dia pergi

Banyakkanlah berdoa Norsyuhadah. Inilah yang dinamakan liku-liku sebuah kehidupan macam-macam boleh jadi, terutama apabila diri sudah tidak tahu membezakan antara dosa dan pahala.

3 comments:

  1. kepada syuhadah..carilah jalan terbaik kalau perpisahan itu sesuatu yg pasti. buat apa ngikut telunjuk suami dan mertua kalau kelingking mereka mengait kita semula. dunia ini luas, lebar dan besar. carilah jalan sendiri. bina kehidupan baru. biar mereka tahu langit tinggi rendah. harap2, menantu baru nanti akan menghukum semula mak mertua kamu. kita hidup dengan budi bahasa dan amalan agama.kalau ada mak mertua yg mcm tu..bagi makan kat biawak je..biawak pun tak nak agaknya.

    akak dulu masa mula2 kawin pun mcm tu jugak..tapi suami kena berdiri sendiri. akak lawan mertua (tapi lawan benda yg betul) sampai akak tak dibenarkan balik ke rumah mertua. tak pa..janji kita betul..sampai nak semabhyang pun tak boleh disebabkan memasak dan menyediakan makan pakai mereka apa hal?...so..biar suami sedar apa yg berlaku adalah kerana kelemahan mereka.kalau setakat tu..takan jadi anak derhaka punya..kalau disumpahpun takan jadi batu..

    so..jadilah wanita yg kuat..jgn sampai mereka pijak kepala kita..bina keluarga kita dgn kehebatan tapi ajar anak2 agar jgn lupakan org tua..

    come on..ni tahun 2010 la..zaman internet, twitter..bukan zaman hang tuah..kalau hang tuah hidup pun tentu dia ada facebook !

    ReplyDelete
  2. agaknya seorang ibu itu dikecualikan dari dosa dan seksa tuhan jika berbuat tidak baik dan merosakkan rumahtangga anak sendiri.benarkah begitu kerana saya pun telah melalui sedemikian berpuluhan tahun,tanpa mereka sedikit pun tidak terasa bersalah jauh sekali memberi ehsan.

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...