terima kasih buat kalian semua..

Saturday, March 6, 2010

Tuntut khidmat YB Sarawak

BAYANGKAN apa boleh dilakukan jika bekalan elektrik sering terputus, bekalan air tidak ada, talian telefon sekejap ada, sekejap tiada. Beginilah kehidupan di luar bandar Sarawak.

Hari ini saya rasa terpanggil menceritakan masalah kami hadapi di daerah ini sejak dulu lagi. Untuk ke Mukah memerlukan dua hingga tiga jam menaiki bot ekspres dari jeti di Sibu. Alternatif lain untuk ke daerah ini ialah memandu kenderaan melalui jalan berlopak dan lurah terutama apabila melalui jalan dalam kawasan ladang Selangau/Mukah.

Kami penduduk amat hormat kepada wakil rakyat di sini, tetapi kami tidak tahu apa yang mereka buat untuk pembangunan di kawasan ini. Senario sama terjadi saban kali apabila hampir pilihan raya, wakil rakyat akan menganjurkan konsert.

Apa faedah dianjurkan konsert sedemikian kepada anak kami ini melainkan kehancuran akhlak.

Jika dilihat prasarana bangunan sekolah di kawasan luar bandar, ia masih jauh jika hendak dibandingkan dengan Semenanjung. Apabila kembali ke kampung halaman, seolah-olah saya kembali kepada tahun 1980/90-an.

Di sesetengah sekolah, guru seperti tukang kebun. Pada pelajar, guru sama seperti jaga, kerani dan staf sokongan lain kerana selain mengajar guru juga terpaksa melakukan kerja sedemikian.

Apa salahnya jika wakil rakyat selalu turun padang melihat keadaan kami, membantu membaiki sekolah, mengkaji elektrik dan air selalu terganggu, membaiki jalan rosak dan memikirkan cara terbaik mengatasi gejala sosial.

ANAK KAMPUNG KECEWA,
Mukah, Sarawak.


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...