terima kasih buat kalian semua..

Friday, March 19, 2010

Warga asing raih kemewahan di negara kita

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien di Parlimen kelmarin berkata, sesi pemantauan akan dilakukan ke atas semua premis yang menggunakan khidmat pekerja asing bagi memastikan majikan menjaga kebajikan mereka, terutamanya membabitkan aspek pembayaran gaji, tempat tinggal, kesihatan dan persekitaran tempat kerja.

Langkah tersebut sejajar dengan sumbangan yang telah diberikan oleh golongan tersebut terhadap pembangunan ekonomi negara dan menganggap beberapa sektor akan lumpuh jika tiada khidmat pekerja asing berkenaan.

Sehingga awal tahun ini, jumlah keseluruhan pekerja asing yang direkodkan pada masa ini adalah seramai 1.8 juta orang dan mereka bekerja dalam beberapa sektor antaranya pembinaan, perladangan, pembuatan dan restoran.

Sebanyak RM12.2 bilion wang keluar dari negara ini hasil daripada aktiviti pekerjaan yang dilakukan oleh tenaga asing di Malaysia sehingga akhir 2008.

Jika direnungi, angka di atas membawa dua mesej penting iaitu pertama, negara memang kekurangan tenaga kerja tempatan terutama dalam sektor kritikal. Kedua, kita memiliki tenaga kerja mencukupi tetapi terpaksa mengimport orang luar atas alasan peluang dalam bidang pekerjaan yang dibuka tidak diminati orang kita.

Ketika banyak sektor menggalakkan penggunaan khidmat pekerja asing, ramai warga kita sendiri masih terus bergelar penganggur.

Jawapannya sudah pasti kebergantungan ini memang tidak dapat dielakkan terutama permintaan yang amat tinggi dalam sektor perkilangan, perladangan dan pembantu rumah.

Kehadiran ramai pekerja warga asing telah lama membantu menjana ekonomi negara kerana mereka turut mengeluarkan perbelanjaan harian yang banyak sehingga meningkatkan pendapatan penduduk setempat.

Namun begitu, perlu diingat bahawa mereka juga membawa keluar berbilion ringgit wang kita ke negara mereka. Kita tentu pernah membaca cerita seorang warga Bangladesh yang bekerja di sebuah kilang elektronik.

Beliau menyatakan bahawa hasil wang yang dikumpul sejak 10 tahun bekerja di negara ini, dia sudah berjaya membuka sebuah kedai pakaian dan membeli sebidang tanah di negaranya yang kini diuruskan ibu dan adiknya.

Kini, dia sudah pun menikmati gaji empat angka dan mempunyai simpanan untuk hari tua dengan gaji permulaan hanya sekitar RM500.

"Malaysia ibarat syurga bagi kami", kata beliau.

Hakikatnya, ramai lagi orang luar sepertinya yang berjaya sampai ke tahap itu.

Walaupun terpaksa melalui pelbagai ranjau di peringkat awal untuk bekerja di sini, sudah ramai pekerja warga asing yang menumpang kemakmuran dan kekayaan bumi Malaysia.

Biarpun kerajaan pada dasarnya mahukan 40,000 jawatan dalam sektor swasta negara ketika ini diisi dengan pekerja tempatan, namun disebabkan faktor sikap, hasrat itu tidak dapat direalisasikan.

Kajian Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada akhir 2008 menunjukkan bahawa seramai 59,250 siswazah di Malaysia masih menganggur atau mengikut pecahannya adalah 57,072 Bumiputera (96.4 peratus), Cina 1,027 (1.7 peratus), India 1,007 (1.7 peratus) dan lain-lain 144 atau 0.2 peratus.

Tiga faktor utama menyebabkan masalah pengangguran di kalangan graduan adalah tiada pengalaman bekerja, kelemahan berbahasa Inggeris dan bidang pengajian tidak sesuai dengan pekerjaan yang ditawarkan.

Sikap majikan sendiri yang lebih senang menggunakan khidmat pekerja warga asing atas alasan mereka tidak banyak kerenah mengenai gaji dan kebajikan pekerja turut menyumbang kepada situasi itu.

Sebagai contoh, sektor perladangan terutama yang melibatkan pertanian berasaskan komoditi kini dibanjiri pekerja warga asing. Tanpa disedari tindakan itu merugikan mereka sendiri apabila terpaksa membayar kos yang tinggi kepada pekerja terbabit.

Ketika kenaikan harga sawit dan getah sekarang, pekerja warga asing berlumba-lumba mendapatkan pekerjaan dengan tawaran dan terma kerja menarik daripada majikan.

Kisah seorang graduan yang mendedahkan dia memperoleh pendapatan sehingga RM8,000 sebulan dengan bekerja sebagai penoreh getah, baru-baru ini wajar dijadikan iktibar.

Namun, berapa ramai kalangan graduan menganggur yang sanggup memegang pisau toreh dan bergelumang bau busuk getah sekerap setiap hari?

Rasa malu dengan orang di sekeliling yang menyindir apabila terpaksa bekerja sebagai petani atau penoreh walaupun menggenggam segulung ijazah menyebabkan mereka terus berada dalam dilema.

Kenapa kita tidak mahu mengambil contoh masyarakat Jepun yang mana lulusan universiti di negara matahari terbit itu diberikan jawatan rendah ketika memulakan tugas dalam sesebuah organisasi.

Sikap itu sebenarnya merugikan kita sendiri dan akhirnya mereka yang untung adalah orang seperti rakyat Bangladesh tadi.

WAN MARZUKI WAN RAMLI

Pasir Mas, Kelantan

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...