terima kasih buat kalian semua..

Friday, April 9, 2010

14 tahun tinggal dalam kontena


BUTTERWORTH - Setiap insan pastinya mengimpikan kediaman yang selesa dan sempurna sebagai tempat berteduh serta berlindung daripada hujan dan panas.

Namun, bagi 33 keluarga di Teluk Air Tawar di sini, kehidupan mereka tidak ubah seperti pelarian apabila terpaksa tinggal di rumah kontena sejak 14 tahun lalu.

Ia berikutan rumah yang dijanjikan oleh pemaju yang mengambil alih tanah tapak kediaman mereka masih tidak nampak bayangnya.

Malah lebih memburukkan keadaan, mereka seolah-olah merempat kerana kawasan rumah kontena itu terletak di dalam belukar.

Wakil penduduknya, Chew Wan Tong, 55, berkata, mereka telah puas bersabar dan kini merasa begitu tertekan setelah pemaju berjanji segala urusan pembinaan rumah itu akan siap dalam masa tiga tahun.

"Tanah seluas 10.8 hektar ini asalnya milik Kementerian Pertahanan berhampiran Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan dimajukan untuk pembinaan 270 unit kuarters bagi anggota dan pegawai TUDM.

"Projek ini dimajukan oleh sebuah syarikat dan apabila dimulakan penduduk dipindahkan ke rumah kontena ini manakala sebahagian lagi berpindah ke luar kawasan lain," katanya ketika ditemui pemberita di sini baru-baru ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar, Datuk Jahara Hamid.

Difahamkan kawasan berkenaan yang mengandungi empat blok kontena didiami kira-kira 200 penduduk yang kebanyakannya bekerja sebagai nelayan.

Pihak pemaju terbabit hanya menyediakan kemudahan elektrik dan air kepada penduduk tanpa kemudahan lain seperti jalan masuk atau dewan.

Tambah Wan Tong, pemaju berjanji untuk menyediakan rumah kos rendah kepada penduduk dan sementara menunggu projek itu disiapkan dalam masa tiga tahun, mereka perlu menghuni kontena tersebut.

Pemaju katanya, turut berhasrat membina projek apartmen mewah bernilai RM600,000 sebuah di kawasan itu namun hasrat mereka terbantut ekoran kemelesetan ekonomi.

Projek berkenaan seterusnya dijual kepada Pernas sebelum diserahkan kepada pemaju baru.

Pemaju baru kemudiannya menukar perancangan kepada projek perumahan Taman Aman Maju meliputi 350 rumah teres tiga tingkat, sebuah flat tujuh tingkat dengan 298 unit serta sebuah banglo tiga tingkat.

"Mereka menjanjikan rumah pangsa kos rendah kepada setiap keluarga yang dipindahkan beserta wang pampasan untuk sementara waktu selama tiga tahun.

"Tapi sampai bila lagi kami harus tunggu kerana terlalu lama kami merana tinggal di rumah yang langsung tidak sempurna macam rumah orang lain.

"Malah kenduri-kendara atau jamuan pun tak layak nak dibuat di sini sebab keadaannya terlalu daif," ujarnya lagi.

Perkara sama diakui Siti Rahmah Ibramsah, 55, yang menjelaskan, dalam tempoh 14 tahun itu ada beberapa penduduk asal kawasan telah meninggal dunia.

"Ini menyukarkan lagi proses mendapatkan rumah kerana ada yang terpaksa mengubah borang perjanjian yang telah ditandatangani dulu.

"Suami saya Md. Ani Din telah meninggal dunia sejak lapan tahun lalu dan kini saya tinggal di sini bersama seorang anak di rumah yang semakin uzur ini," katanya.

Beliau memberitahu, lantai rumahnya reput selain atap bocor kerana tiada penyelenggaraan daripada pemaju.

Sementara itu, Jahara berkata, pemaju yang terlibat perlu bertanggungjawab ke atas nasib yang dialami penduduk di situ.

"Saya difahamkan juga kini pemaju mahu memasang meter elektrik individu atas alasan kononnya penduduk menggunakan elektrik secara berlebihan.

"Tetapi kalau begini keadaan rumah mereka dengan panas dan tak selesa, pastinya tak mustahil bil elektrik meningkat kerana kipas dan pendingin hawa dipasang sentiasa," ujarnya.

Jelasnya, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan kerajaan negeri perlu campur tangan dalam menyelesaikan perkara tersebut demi menjaga kepentingan semua penduduk.

Oleh AZELI ALI

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...