terima kasih buat kalian semua..

Thursday, April 15, 2010

20 tahun minum air berkeladak

MUADZAM SHAH: Penduduk perkampungan Orang Asli Kampung Pelam, di sini mengeluh kerana masih tidak menerima bekalan elektrik dan air bersih sejak lebih 20 tahun lalu.

Kebanyakan mereka masih bergantung kepada air telaga dan pam air yang terpaksa dikongsi beramai-ramai untuk mandi, memasak serta minum.

Batin Kampung Pelam, Husin Dagang berkata, permohonan untuk mendapatkan kemudahan asas itu sudah lama dibuat, namun sehingga kini masih tiada sebarang perubahan.

"Kami terpaksa menggunakan air telaga yang kotor dan perlu menggunakannya secara beramai-ramai kerana tidak menerima bekalan air," katanya.

Selain tidak menerima bekalan air bersih yang sempurna, mereka juga tidak menerima bekalan elektrik sejak kampung itu mula diterokai.

Resing Dagang, 53, berkata dia kesal kerana kawasan luar kampung itu menerima keperluan asas dengan baik dan selesa berbanding dengan kampung mereka.
"Keadaan ini menyebabkan kami terdedah kepada penyakit berbahaya yang boleh memudaratkan kesihatan serta kebersihan kerana menggunakan air telaga yang kotor itu.

"Kami kerap menyuarakan masalah ini termasuk kepada pemimpin setempat, namun sehingga kini, tiada usaha dilakukan pihak bertanggungjawab untuk melengkapkan kemudahan asas itu," katanya.

Seorang penduduk, Halim Abas, 38, pula berkata, ketiadaan kemudahan asas itu menyebabkan ada di antara penduduk yang mengalami sakit perut dan muntah-muntah kerana terpaksa berkongsi air perigi yang kotor selain mengharapkan air hujan.

Katanya, ketiadaan bekalan elektrik menyebabkan anaknya sukar untuk mengulang kaji pelajaran pada waktu malam kerana hanya menggunakan lampu pelita minyak tanah.

Roslan Ichang, 20, pula berkata walaupun sebahagian penduduk sudah menerima rumah Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) namun bagi yang masih menduduki rumah asal mereka terpaksa menggunakan air telaga kotor untuk membersihkan diri, memasak serta minuman.

Suri rumah, Aduk Hassan, 38, berkata, kehidupan mereka di kampung itu sungguh daif dan terdedah kepada ancaman penyakit.

Katanya, penduduk di sini terpaksa menggunakan sebuah janakuasa yang dipasang di surau untuk memberi bekalan kepada rumah yang turut tidak mempunyai bekalan elektrik.

"Kami berharap keadaan ini tidak berterusan bagi mengelakkan kami terus dihimpit kesengsaraan ini," katanya

Oleh Muhammmad Aifat

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...