terima kasih buat kalian semua..

Monday, April 26, 2010

Bagaimana orang lain berjaya dalam hidup...


Pada waktu warga kota sedang nyenyak dibuai mimpi, Sehu Allavudin Sheikh Daud, sudah bangun dan menunggang motosikal ‘kapcainya’ ke syarikat akhbar.

Pada pukul 3 pagi setiap hari, Sehu gigih mencari rezeki untuk keluarganya dengan menjadi vendor akhbar di kawasan kejiranan Ampang.

Setiap pagi juga, dia akan menyusuri setiap rumah yang memesan akhbar untuk menghantar naskhah masing-masing ke muka pintu rumah pelangannya.

Selepas 30 tahun menghamba diri dalam ‘bidang’ menghantar surat khabar, Sehu, 55, kini sudah menarik nafas lega kerana titik peluhnya satu masa dahulu sudah membuahkan hasil yang benar-benar membanggakan.

Dia kini adalah salah seorang daripada peniaga surat khabar yang berjaya di ibu kota.

Tetapi semua itu tidak dicapainya dengan mudah. Kepayahan menunggang motosikal sewaktu dinihari dan menghantar surat khabar 30 tahun dahulu selain berbaring di atas akhbar untuk mengelakkannya daripada terbang ditiup angin kini menjadi sejarah yang tidak akan dilupakan sehingga hari ini.

Itu tidak termasuk suasana kelam-kabut untuk menyelamatkan surat khabar jika hujan.

Kejayaan membesarkan anak-anak dengan duit menghantar surat khabar sehingga ada yang menamatkan pengajian ke luar negara menjadi bukti pekerjaan yang dibuat sejak dahulu sudah ‘terbayar’.

Anaknya seramai lima orang yang berusia di antara lapan sehingga 30 tahun yang dibesarkan dengan duit jualan surat khabar juga diakui Sehu benar-benar memahami kesusahan ayahnya menyara kehidupan mereka sekeluarga dengan hasil surat khabar.

Ketika ditemui pada pukul 4 pagi di premis akhbarnya di Ampang, Sehu yang kini sudah mempunyai 11 orang pekerja hanya memantau tugas-tugas penghantaran akhbar di kawasan jajahannya.

Dia yang kini memiliki tujuh motosikal selain tiga van yang bergerak di sekitar kawasan Ampang juga boleh berbangga dengan empayar penghantaran akhbarnya hari ini.

Mengakui sudah mempunyai kira-kira 200 pelanggan tetap yang terdiri daripada pemilik kedai sekitar Ampang, Sehu tidak lagi memandang ke belakang, sebaliknya menjadikan kesusahan satu masa dahulu sebagai tangkal untuk dia terus maju ke hadapan.

“Darah akhbar sudah ada dalam badan saya. Sejak dahulu lagi surat khabar sudah menjadi pemandangan saya sejak dari awal pagi.

“Sudah 30 tahun saya menjadi ‘penghantar’ surat khabar. Dari seorang yang mengambil surat khabar di kilang, kini saya menjadi ejen di sini,” katanya.

Berasal dari Kulim, Kedah, Sehu sebenarnya mempunyai dua pekerjaan satu masa dahulu.

Niatnya ialah menambah pendapatan dengan membuat pekerjaan menghantar akhbar kerana pada waktu yang sama, dia bekerja sebagai kakitangan di sebuah syarikat percetakan.

Bagaimanapun, melihat kepada potensi besar sebagai vendor dan penghantar surat khabar, Sehu akhirnya mengambil keputusan untuk menghambakan diri sepenuhnya di dalam dunia akhbar.

“Saya akui memang perit untuk mencari wang dahulu. Kita sudah menghantar surat khabar pada waktu pagi dan masalah akan timbul semasa meminta hutang pada waktu petang.

“Kebanyakan pelanggan yang memesan akhbar suka menangguhkan pembayaran. Ada juga yang seolah-olah menghalau. Masalahnya di mana saya hendak mencari wang pusingan untuk membeli surat khabar lagi pada keesokan harinya?,” ujarnya.

Katanya, buku hutang 555 yang sentiasa berada di bawah tempat duduk motornya pada masa itu dilihat sebagai cabaran untuk terus berusaha malahan tidak sedikitpun terlintas di benaknya untuk berhenti daripada kerja tersebut.

“Ya, pada masa itu hutang kira-kira 30 rumah yang memesan akhbar memang agak banyak. Walaupun seolah-olah menjadi seperti peminta sedekah pada waktu petang tetapi saya reda.

“Saya tahu apa yang dibuat untuk menyara kehidupan keluarga. Jadi mengapa hendak malu untuk meminta hutang kerana kerja yang sudah dilakukan pada pagi hari,” jelasnya.

Tahun demi tahun, Sehu terus melangkah setapak demi setapak dalam kariernya.

Dari premis tepi jalan di bawah flat sehingga memiliki sebuah pejabat operasi yang tersusun dan selamat daripada hujan, Sehu merasakan kariernya yang jarang dipilih sesiapa itu sebagai pilihan bijak selepas mengambil keputusan untuk bekerja sepenuh masa di dalam bidang ini.

Walaupun hari ini ada beberapa pesaing, namun Sehu berpendapat semua itu adalah persaingan sihat di antara ejen dan vendor akhbar di ibu kota.

Tersenyum sepanjang berbicara dengan penulis, Sehu mengakui sudah ‘berkahwin’ dengan akhbar sebelum mendirikan rumah tangga bersama isterinya kini.

“Dahulu, kalau isteri sakit, saya memang terpaksa tangguh dulu ke klinik, semuanya hanya boleh dilakukan selepas saya menghantar surat khabar dahulu.

“Memang saya sudah berkahwin dengan kerjaya ini. Demam sekali pun akan kebah seketika bila menghantar surat khabar,” katanya.

Meninggalkan Sehu pada pukul 8 pagi selepas berbicara panjang dan menikmati sarapan pagi bersama, pesan Sehu yang tidak dapat dilupakan, “Dalam sesuatu kerja, kita kena pentingkan pelanggan, komitmen dan ramuan beberapa perkara utama lain dan semua itu akan dibayar Tuhan dengan rezeki yang tidak ternilai.’’

Oleh WAN SYAMSUL AMLY WAN SEADEY

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...