terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, April 6, 2010

Beri lebih perhatian golongan berpendapatan RM1,500 sebulan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah pun melancarkan Model Ekonomi Baru (MEB) dalam persidangan 'Invest Malaysia 2010' di Kuala Lumpur pada 30 Mac lalu. Walaupun perinciannya masih belum dinyatakan tetapi beberapa kerangkanya telah diumumkan dalam ucaptama beliau di persidangan tersebut.

Yang menariknya adalah matlamat kerajaan mahu membawa Malaysia menjadi negara yang berpendapatan tinggi dan melonjakkan kuantum pendapatan perkapita rakyat daripada AS$7,000 (RM23,000) kepada AS$15,000 (RM49,000) setahun dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Saya berpendapat kerajaan harus menerangkan kepada rakyat supaya tidak berlaku kekeliruan yang mana semua orang akan menaruh harapan yang tinggi kerana pendapatan mereka dijangka meningkat kepada RM49,000 setahun atau RM4,083 sebulan pada tahun 2010. Realitinya, adakah itu benar?

Statistik yang ada menunjukkan sebanyak 40 peratus rakyat Malaysia berpendapatan lebih kurang RM1,500 sebulan. Jika mereka ini adalah satu-satunya sumber pendapatan sesebuah keluarga maka purata pendapatan perkapita bagi setiap ahli keluarga adalah RM3,600 setahun (purata setiap keluarga adalah lima orang).

Soalnya, bolehkah kerajaan melonjakkan pendapatan setiap orang daripada RM3,600 setahun kepada RM49,000 setahun dalam masa 10 tahun. Tentu sekali sukar dilakukan. Bagi rakyat biasa, mereka ini harus diterangkan apa itu pendapatan perkapita.

Definisi 'pendapatan kasar perkapita negara' adalah nilai kasar barangan dan perkhidmatan yang dijana dalam negara dicampur dengan pendapatan bersih dari sumber luar negara dalam sesuatu tahun dan dibahagikan dengan jumlah penduduk (pertengahan tahun) dalam tahun yang sama. Tujuannya adalah bagi menilai tahap kemajuan sesebuah negara dan membuat perbandingan dengan negara lain. Ia juga menunjukkan taraf hidup rakyat sesebuah negara. Kebiasaannya perbandingan dibuat menggunakan nilai dolar AS.

Bagi tujuan pemahaman, jika pendapatan perkapita negara adalah RM49,000 , ini tidak bermakna setiap rakyatnya menjana pendapatan RM49,000 setahun atau RM4,083 sebulan. Gaji adalah sebahagian daripada input nilai barangan dan perkhidmatan. Secara umumnya jika nilai keluaran negara kasar itu meningkat maka nilai input gaji/imbuhan juga akan meningkat.

Sementara itu, bukan semua rakyat berada dalam kategori bekerja. Contohnya suri rumah sepenuh masa, kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) dan pesara yang tidak menjana sebarang pendapatan. Mereka ini juga diambil kira dalam kiraan pendapatan perkapita.

Apa yang harus kerajaan lakukan dahulu adalah memberi perhatian kepada golongan yang berpendapatan RM1,500 sebulan ini. Bagaimana kerajaan boleh melonjakkan pendapatan mereka ini kepada misalnya RM5,000 sebulan dalam masa 10 tahun.

Untuk mengubah struktur ekonomi negara, ia memerlukan masa yang panjang. Pelaburan FDI yang baru juga telah merosot disebabkan krisis kewangan dunia yang berlaku sekarang. Ia bukan berlaku di Malaysia sahaja tetapi turut dirasai oleh negara-negara lain. Malaysia terpaksa bersaing dengan negara-negara lain bagi menarik pelabur luar.

Negara kita pula adalah sebuah negara yang berasaskan perindustrian. Pelabur-pelabur yang dibawa masuk dalam empat dekad yang lalu adalah daripada sektor pengilang yang mengambil peluang di atas tenaga kerja yang murah dan berpendidikan serta suasana politik yang stabil di negara kita.

Pengilang-pengilang itu kebanyakannya menjadikan Malaysia sebagai assembly barangan mereka. Penyelidikan dan pembangunan (R&D) dilakukan di negara asal mereka. Tahap kemahiran pekerja kilang proses assembly adalah sederhana sahaja. Multytasking adalah rendah. Jadi, tidak mungkin pengilang-pengilang itu akan menaikkan gaji pekerja mereka secara mendadak walaupun kerajaan boleh melakukannya melalui pindaan akta buruh. Jika ini dilakukan, banyak kilang akan berpindah ke negara lain atau ditutup terus.

Apa yang harus dibuat dahulu oleh kerajaan adalah meminda akta buruh yang mana tidak bersesuaian lagi dengan keadaan sekarang. Suri rumah yang tidak bekerja berusia antara 35 hingga 45 tahun harus digalakkan memasuki pasaran kerja bagi menggantikan pekerja asing yang kini dianggarkan berjumlah dua juta orang.

Pada masa ini, banyak kerja kosong yang diiklankan hanya menerima pekerja dalam lingkungan umur 18 hingga 35 tahun. Jika sebuah keluarga lima orang mempunyai dua sumber pendapatan, sudah pasti mereka dapat membawa keluarga keluar dari paras kemiskinan. Pusat-pusat komuniti penjagaan kanak-kanak dengan bayaran berpatutan haruslah dibuka bagi membantu suri rumah bekerja semula.

Inisiatif ini adalah lebih bermakna kepada sejumlah besar rakyat yang masih bergelut untuk keluar daripada paras kemiskinan bandar. Mengikut statistik dari Jabatan Perangkaan, sebanyak 80 peratus pekerja memiliki tahap pendidikan hanya setakat SPM sahaja. Apakah yang mereka ini boleh buat, selain daripada terus bekerja dan mengharap satu perubahan dapat dilakukan oleh kerajaan.

Esa Adam

Bandar Sunway, Selangor

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...