terima kasih buat kalian semua..

Monday, April 12, 2010

Celcom perlu jawab

SAYA merupakan pelanggan pasca bayar Celcom yang setia sejak sekian lama. Sebelum ini saya berpuas hati dengan khidmat Celcom termasuklah apabila saya ke luar negara.

Pada tahun lepas saya telah menyertai Pakej Post Paid 1+5 untuk saya dan tiga orang anak saya. Pada peringkat awalnya tiada sebarang masalah.

Namun seorang daripada anak saya yang berumur 8 tahun mula menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) dari nombor 33138 pada 16 Januari 2010. SMS ini menawarkan pelbagai permainan, iklan sosial seperti "Awek Cun, Abang Macho" dan "Push Message". Setiap kali iklan ini dibuka dari "inbox", bayaran RM3 dikenakan.

Anak saya telah menerima sembilan SMS ini dari 16 Januari hingga 7 Februari dan dicaj sebanyak RM27 telah dimasukkan ke bil Celcom.

Saya telah menelefon Celcom Careline dan membuat laporan kerana Celcom telah memberikan nombor anak saya kepada syarikat ini dan akibatnya kami terpaksa menanggung kos tersebut.

Kebiasaannya bil untuk telefon anak saya kurang dari RM10 sebulan.

Saya telah memohon Pegawai Celcom Careline mengambil tindakan bagi memberhentikan perkhidmatan itu.

Namun beliau menyatakan bahawa hanya saya boleh memberhentikan SMS itu dengan menghantar mesej kepada nombor 33138 dengan mesej Stop All.

Pegawai tersebut juga menyatakan bahawa saya wajib membayar kos SMS itu kerana ia telah dimasukkan ke dalam bil. Tindakan seterusnya hanya boleh diambil oleh Celcom sekiranya perkara itu berulang dan saya perlu membuat aduan di pejabat Celcom.

Oleh kerana ingin menyelesaikan perkara itu dengan segera dan memastikan talian telefon anak saya tidak disekat, saya pun menjelaskan semua bayaran yang terdapat di bil dan menghantar SMS Stop All seperti yang diarahkan.

Namun bil seterusnya menunjukkan keadaan menjadi lebih buruk. Caj sebanyak RM84 telah dikenakan untuk SMS dari 33311 M-Mode dan 33138 MTouche. Jumlah SMS adalah 28 dari 17 Februari hingga 12 Mac 2010.

Ini terjadi walaupun saya telah menghantar SMS Stop All seperti arahan Pegawai Celcom Careline pada 17 Februari.

Saya telah menghubungi Celcom Careline sekali lagi dan akhirnya pegawai berkata beliau telah menyekat nombor-nombor ini dari terus menghantar mesej kepada anak saya dan semua ahli keluarga saya. Saya menyatakan saya ingin membuat aduan berkenaan hal ini secara rasmi melalui telefon dan memohon hal ini disiasat.

Setelah didesak, akhirnya pegawai tersebut bersetuju dan memberikan saya Nombor Aduan. Namun dia tidak pasti berapa lama masa diambil untuk memberi maklum balas kepada saya.

Persoalannya kini adalah:

1) Kenapa Celcom memberikan nombor pelanggannya kepada syarikat-syarikat yang ingin meraih keuntungan dengan cara yang begitu mudah dan menipu orang ramai. Hanya dengan membuka SMS di inbox, anda dikenakan caj RM3 walaupun tidak membalas mesej ini. Adakah ini adil? Sepatutnya Celcom menjaga isu confidentiality pelanggan-pelanggan.

2) Wajarkah mangsa seperti saya membayar sesuatu perkhidmatan yang tidak digunakan malah menyusahkan?

3) Kenapa Celcom Careline tidak menyekat SMS ini dari awal, sejak saya mengadu pertama kali malah meminta saya melakukan aduan sekiranya perkara ini berulang? Adakah ini polisi Celcom yang merupakan syarikat gergasi telekomunikasi di negara ini?

4) SMS yang menawarkan perkhidmatan Game dan perkara-perkara bercorak sosial yang berbau negatif tidak patut ditawarkan kepada sesiapa sahaja seperti anak saya yang baru berumur 8 tahun. Ini boleh mengundang kepada gejala sosial yang membuang masa tanpa pengawasan ibu bapa. Saya berpendapat Celcom perlu lebih peka dan berusaha menjalankan tanggungjawab sosial dari memikirkan keuntungan.

Saya pasti perkara yang sama turut berlaku pada orang lain. Mungkin jumlah yang saya perlu bayar tidaklah terlalu banyak dan terus-terang ingin saya nyatakan bahawa saya mampu membayarnya.

Namun di atas tanggungjawab sosial, saya merasakan saya perlu membawa isu ini ke tengah supaya pihak telekomunikasi kita lebih bertanggungjawab dan kementerian yang bertanggungjawab dapat memantau perkara ini.

DR. NOR'AISHAH

Bandar Baru Bangi

1 comment:

  1. Jika anda mempunyai masalah atau aduan dgn operator telefon atau internet anda adalah lebih baik anda buat aduan jepada suruhanjaya komunikasi malaysia www.skmm.gov.my...Operator akan melayan aduan yang anda buat kepada SKMM dengan cepat kerana individu di SKMM yang akan 'follow -up ' aduan tersebut....

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...