terima kasih buat kalian semua..

Thursday, April 1, 2010

Cikgu produktif dibeban tugas berat tanpa terima insentif

BEBANAN tugas guru ibarat isu yang tiada kesudahannya padahal realiti sebenarnya bukan ditanggung oleh semua guru, tetapi sebahagian saja terutama guru mata pelajaran peperiksaan utama, yang menjawat jawatan penting sekolah dan yang terpaksa bertugas selepas waktu kelas seperti jurulatih sukan utama sekolah.

Namun yang pelik dalam gegak-gempita isu bebanan tugas mendidik ini, ada pula guru yang sempat membuka kedai kain, restoran, perniagaan jualan langsung dan pelbagai kerja sampingan yang tidak berkaitan dengan pendidikan.

Kalau terbeban dengan tugas sekolah, mana mampu guru ini menjawat ‘dua profesion’ pada satu masa. Sebenarnya, di ‘atas kertas’ Kementerian Pelajaran sudah mengimbangi bebanan tugas guru dengan jumlah masa mengajar mingguan maksimum hanya 13 jam seminggu dan gaji lumayan untuk guru muda yang hanya mampu dicapai guru lama yang berkhidmat lebih 18 tahun dan beberapa lagi insentif.

Jika diminta bertugas di luar bandar pula, pelbagai alasan diberikan atau berjenis ‘kabel’ digunakan untuk mengelakkan diri, sedangkan ketika temu duga jangankan Gunung Everest, lautan api sanggup direnangi.

Jadi, apabila timbul keadaan ada segelintir guru yang enggan susah dan anak manja, maka terbitlah masalah bebanan guru kerana ada guru terpaksa memikul beban guru berkenaan.

Ditambah pula dengan pentadbir sekolah yang mengejar populariti, guru yang rajin dan berkebolehan akan dibebani pelbagai tugas tanpa memikirkan kebajikan guru berkenaan.

Mereka dihantui dengan kerja yang tidak berkesudahan setiap hari sedangkan ada segelintir rakan guru yang lain enak dibuai mimpi.
Sebagai orang lama dalam dunia pendidikan, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) kini dilihat semakin hilang sengat terutama pada kaca mata guru lama.

KPPK dilihat lebih mengejar populariti dan nama berbanding kebajikan guru. Isu yang diperjuangkannya seperti menguntungkan satu pihak tetapi menyakitkan hati pihak lain.

Untuk mengembalikan taring KPPK, peranan sebenar KPPK ialah menuntut Kementerian Pelajaran memberi insentif untuk guru yang sanggup menanggung bebanan tugas yang diberikan.

Insentif berbentuk elaun boleh memberi keadilan kepada guru terbabit agar terubat duka menanggung bebanan tugas yang diberikan.

KPPK juga harus membuat soal selidik bebanan tugas guru di sekolah melalui wakil guru dan ahli KPPK yang hampir mencecah 200,000 guru itu.

Jangan hanya terjah dan timbang kilo tanpa fakta tepat kerana ini hanya merugikan guru yang berkebolehan, aktif dan produktif di sekolah.

IRMAZ DINI,
Pendang, Kedah.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...