terima kasih buat kalian semua..

Friday, April 30, 2010

Formula kurangkan beg berat sekolah

BENARKAH pelajar sekolah perlu membawa buku teks untuk setahun apabila ke sekolah setiap hari? Kita ambil contoh buku teks Matematik. Apabila ada mata pelajaran Matematik pada hari tersebut, pelajar akan membawa buku teks yang isinya adalah semua topik untuk pembelajaran selama setahun sedangkan yang ingin dipelajari adalah hanya satu topik atau sebahagiannya sahaja.

Kita kaji pula berapa muka surat dalam satu buku teks yang digunakan untuk satu waktu pembelajaran. Mungkin tiga atau empat muka surat yang bersamaan dua keping kertas sahaja. Ini bermaksud sekiranya lapan mata pelajaran, pelajar hanya perlu membawa 16 keping kertas sahaja. Apa yang terjadi sekarang mereka perlu membawa lapan buah buku teks.

Saya mencadangkan agar buku teks sekolah disediakan dalam bentuk jilid iaitu satu topik atau bab dijadikan satu jilid. Ini bermaksud pelajar hanya perlu membawa jilid tersebut sahaja untuk ke sekolah dan selebihnya disimpan di rumah.

Sekiranya ada enam mata pelajaran pada hari tersebut, pelajar hanya perlu membawa enam jilid sahaja yang mungkin jika dikumpulkan hanya setebal satu buku teks.

Sekiranya masih tebal ia boleh dinipiskan dengan dipecahkan topik tersebut kepada bahagian yang lebih kecil mungkin dipanggil unit.

Jilid-jilid untuk semua mata pelajaran ini diletakkan dalam satu fail bergelang (ring file) dan dibawa ke sekolah untuk pembelajaran hari tersebut. Tugas guru ialah memaklumkan murid jilid manakah yang diperlukan untuk pembelajaran yang akan datang.

Untuk buku latihan pula, galakkan mereka menggunakan buku latihan yang nipis atau gunakan kertas A4 untuk pelajar sekolah dari darjah lima ke atas. Kertas latihan ini pula akan di simpan dalam satu fail seperti tadi yang mengandungi semua mata pelajaran.

Sekiranya guru ingin membuat semakan mereka hanya perlu mengambil bahagian yang ingin disemak sahaja seperti apa yang berlaku untuk kertas peperiksaan atau ujian. Beban guru juga akan berkurangan. Kertas latihan yang telah disemak hanya perlu disimpan di rumah.

Dari cadangan di atas pelajar hanya perlu membawa dua fail yang nipis sahaja ke sekolah atau sekiranya ingin dikurangkan jadikan ia satu fail sahaja.

Tugas ibu bapa pula ialah memastikan setiap latihan atau kerja murid disimpan dengan kemas begitu juga dengan jilid-jilid mata pelajaran tadi.

Saya berpendapat ini adalah satu penyelesaian yang mudah dan tidak melibatkan kos yang banyak dan boleh dimulakan pada sesi persekolahan tahun depan.

FAUZI ASMARA.COM

Guar Chempedak

1 comment:

  1. mcm tu susah sikit nk review bab sebelumnya. napa tak sediakan locker mcm kat oversea...lagi senang.

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...