terima kasih buat kalian semua..

Sunday, April 11, 2010

'Gaji suami punca berbalah'

Isteri berpangkat tak puas hati tanggung belanja rumah

SAYA berusia 40 tahun, sudah berkahwin 10 tahun dan mengetuai ketua jabatan. Walaupun suami pegawai kanan, gaji saya lebih besar. Akibatnya, suami memandang remeh tugas dan tanggungjawab memberi nafkah dan belanja rumah. Kami membeli barangan keperluan sebulan sekali dan dia membayarnya. Namun, andai ada kekurangan barang selepas itu, termasuk susu anak atau makanan harian, saya yang harus tanggung. Saya tidak tahu ke mana duit gajinya dihabiskan kerana dia tidak pernah memberitahu hal kewangannya. Apabila meluahkan ketidakpuasan hati, dia mengungkit pula gaji saya tinggi.

Isteri Tertekan

S
alam kesabaran buat isteri tertekan. Hidup berumah tangga, ini ibarat laut dan pantai. Jika ada pantai tanpa laut maka pantai tidak dipanggil pantai walau betapa luasnya. Laut luas yang dikatakan mampu menelan manusia dan tersimpan galian berharga, malah ganas bila bergelora itu, tidak dinamakan laut jika tiada pantai. Begitulah perjuangan dalam percaturan rumah tangga. Puan diizinkan berumah tangga dengan lelaki yang rendah gajinya. Puan menyedarinya sedari awal perkahwinan lagi. Ini fakta utama yang puan persetujui ketika melangsungkan ijab kabul. Ini bermakna puan sudah bersedia menerima suami dalam keadaan kekurangan itu atas dasar cinta anda kepadanya. Anda teruskan perkahwinan dan dengan rahmat Allah SWT, anda dikurniakan anak.

Ini bermakna puan sudah belajar memberi dan menerima bukan saja cinta tapi semua yang anda miliki sebagai suami isteri. Malangnya, puan di ambang kekecewaan dan terkilan dengan kelakuan orang yang pernah anda cintai yang pada pendapat puan, sudah cuai tugasnya dalam keluarga. Berdasarkan cerita puan didapati suami ada memberi nafkah rumah tangga, tapi tidak sepenuhnya mengikut kiraan puan.

Puan mahu lebih atas alasan dia suami. Berdasarkan kenyataan ini, jelas memperlihatkan puan menilai suami berdasarkan gajinya hinggakan sayang tergugat disebabkan gajinya yang tidak jelas cara perbelanjaannya.

Puan, suami akan berasa dihargai atau tidak bukan disebabkan gajinya tetapi daripada sikap dan layanan perasaan yang diberikan. Jika puan menerimanya secara hambar maka lebih cepat dia terarah mencari kebahagiaan di luar rumah dan lebih banyaklah gajinya terlepas keluar demi menghibur hatinya. Apa yang dapat saya teliti, dia tidak betah di rumah dan puan tidak menghargainya sepenuh hati hanya disebabkan dia tidak menurut percaturan puan.
Ya, puan memang ketua di pejabat tetapi puan tidak wajar membawa sikap ‘tuan’ ke rumah sebab puan orang nombor dua di rumah. Bawalah sikap merendah hati dengan suami selagi suami balik dan mahu menyumbang. Dipesan Nabi SAW, siapa yang tidak berterima kasih kepada yang kecil, dia tidak akan berterima kasih dengan yang banyak.

Apa yang membimbangkan, puan mula berkira-kira siapa yang menyumbang banyak dalam keluarga. Ini menyebabkan puan berasa sangat tertekan kerana tidak benar-benar gembira memberi sedangkan semua rezeki itu adalah untuk keluarga dan diri. Mengapa puan keberatan menyumbang, malah berasa kecewa dengan amalan itu sedangkan puan memang anda ada wang. Belanjalah secara ikhlas demi anak-anak dan keluarga tanpa mengira wajar atau tidak.

Jangan kerana suami kurang menyumbang maka cinta, kasih dan taat terhadapnya turut kurang. Belajarlah berunding dengan baik dan belajarlah melakukan apa saja kerana Allah SWT bukan kerana yang lain-lain. Belajarlah perkongsian hidup Nabi Muhammad SAW dengan Saidatina Khadijah yang beza umurnya 15 tahun dan beza harta macam bumi dengan langit

1 comment:

  1. hijrahlah dalam alam rumah tangga dengan sepenohnya.bila hilang keyakinan /was-was maka orang ketiga akan melelong kita."kapada Engkau kami sembah dan kepada Engkau kami bermohon".bertakwa denganya kita akan selamat.perbaiki pendirian kita.

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...