terima kasih buat kalian semua..

Monday, April 5, 2010

Hentian asmara


BANDARAYA MELAKA: Persinggahan asmara. Begitulah mungkin nama jolokan yang boleh diberikan kepada beberapa hotel murah di sekitar Jalan Tun Ali, di sini, yang menyediakan khidmat bilik bagi membolehkan pasangan kemaruk seks melepaskan nafsu terutama pada cuti hujung minggu.

Hotel murah itu dikenal pasti antara lokasi yang menjadi destinasi utama popular di kalangan pasangan muda termasuk kadang-kadang masih bersekolah atau sedang menuntut di institut pengajian tinggi.

Dengan kadar sewa serendah RM50 hingga RM90 sehari, hotel tiga tingkat dengan kelengkapan hampir 50 bilik itu sememangnya memiliki pelbagai kemudahan, walaupun hanya ala kadar seperti sabun, tuala, bilik air, katil dan televisyen.

Namun ia sudah cukup selesa buat pasangan kemaruk seks tetapi sengkek atau tidak berduit untuk menyewa bilik hotel.

Bagaimanapun, kegiatan tidak bermoral itu sememangnya juga tidak boleh bertahan lama kerana pihak berkuasa terbabit sentiasa memantau perkembangannya. Dan ketegasan kerajaan bagi menangani masalah ini dari terus berleluasa dibuktikan baru-baru ini.

Bergabung atas tujuan untuk menghentikan kegiatan berkenaan dari terus berlarutan, Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Tentera dan Jabatan Imigresen, baru-baru ini, berganding bahu menyerbu tempat berkenaan.

Dalam operasi yang bermula kira-kira jam 7 malam hingga 4 pagi itu, tiga pasangan berusia antara 25 hingga 40 tahun ditahan ketika disyaki sedang memadu asmara di hotel berkenaan.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Jaim, Rahimin Bani yang turut menyertai operasi itu berkata, ketika melakukan pemeriksaan, seorang pemuda cuba berlagak tidak bersalah apabila mendakwa sudah berkahwin dengan seorang wanita yang bersamanya.

Beliau berkata, ketika diserbu, lelaki berusia 25 tahun itu juga mengambil masa kira-kira lima minit untuk membuka pintu.

"Apabila pintu dibuka, lelaki yang tidak berbaju dan berseluar jeans ini dengan selamba mendakwa tinggal bersama seorang wanita dan sudah berkahwin. Pemeriksaan turut mendapati terdapat pakaian dalam wanita di atas tilam di bilik berkenaan manakala pasangan lelaki itu, seorang wanita warga Indonesia, 25, bersembunyi di dalam bilik air," katanya ketika ditemui.

Tinjauan Berita Harian kemudian mendapati, pasangan terdiri daripada warga kerja sekitar bandar raya ini yang biasanya menyewa bilik hotel berkenaan untuk tempoh singkat bagi mengelakkan kegiatan maksiat mereka dihidu pihak berkuasa dan seterusnya dicekup berkhalwat.

Rahimin berkata, dalam operasi terdahulu di sebuah hotel lain kira-kira jam 7 malam, Jaim turut menahan dua pasangan kekasih di dua bilik berasingan.

"Dalam tangkapan pertama, seorang anggota tentera berusia 40-an ditahan selepas tinggal sebilik dengan seorang wanita bukan Islam berusia lingkungan 20-an. Di bilik berasingan pula, kita turut menangkap seorang lelaki berusia 28 tahun bersama pasangannya, wanita warga negara Indonesia berusia 25 tahun," katanya.

Rahimin berkata, semua mereka yang ditahan akan didakwa mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka atas kesalahan lelaki dan wanita bukan muhrim bersekedudukan sehingga mendatangkan syak.

"Sabit kesalahan, lelaki boleh dikenakan denda RM3,000 atau 36 bulan penjara atau kedua-duanya sekali manakala bagi wanita pula, denda RM2,000 atau 24 bulan penjara atau kedua-duanya," katanya

Oleh Badrul Hizar Ab Jabar dan Mohd Zaidi Ya'acob


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...