terima kasih buat kalian semua..

Friday, April 2, 2010

Jawatankuasa kaji beban guru patut jemput wakil Sabah, Sarawak

ISU beban tugas guru bukan perkara baru, malah sudah berlarutan sejak sekian lama hingga Menteri Pelajaran silih berganti pun, rungutan itu masih kedengaran. Bentuk tugas itu sendiri yang kadang-kala menuntut pengorbanan guru untuk membuat kerja lebih dalam usaha mendidik anak bangsa ke arah proses pembentukan sahsiah, terutama di kalangan anak muda. Namun, apa yang menjadi isu sekarang ialah sesetengah tugas guru tiada kaitan dengan kerjaya seorang guru seperti tugas perkeranian, iaitu lebih menjurus kepada tugas pengurusan dan pentadbiran. Inilah yang dikatakan memberi tekanan serta menjejas tumpuan mereka terhadap tanggungjawab hakiki sebagai pendidik. Sebenarnya, ia antara isu dikenal pasti kerana institusi pendidikan itu sendiri begitu kompleks. Guru bukan saja bertindak sebagai pendidik dan mengajar semata-mata, malah pada masa sama, mereka juga bertugas sebagai pegawai disiplin, pegawai kebajikan, penyelaras kokurikulum dan jurulatih beberapa sukan yang kadang-kala memerlukan mereka mengiringi pelajar ke acara sukan di luar sekolah atau daerah. Malah, setiap kali kerajaan melaksanakan dasar baru, guru perlu melaksanakannya. Pelaksanaan itu, termasuk menyediakan laporan dan proses penyediaan itu pula menambah tugas sedia ada. Kajian awal mengenai bebanan tugas guru menunjukkan pada 2005, lebih 16,000 guru daripada 400 sekolah mendapati tugas dan tanggungjawab mereka meningkat berbanding 20 tahun lalu.

Peningkatan itu adalah kesan penggubalan dasar, perubahan sistem dan bertambahnya jumlah mata pelajaran. Oleh itu, kita mengalu-alukan penubuhan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji beban tugas guru yang kini terpaksa melakukan kerja berlebihan, termasuk pentadbiran dan perkeranian hingga mengganggu tanggungjawab mendidik pelajar, seperti dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin. Apa yang kita harapkan ialah jawatankuasa yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom itu nanti membuat syor secara menyeluruh dan perlu menjemput wakil dari Sarawak dan Sabah, selain wakil Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP). Beban tugas guru terutama di pedalaman Sarawak dan Sabah pula agak kompleks kerana kadang-kala mereka terpaksa memberi khidmat sosial untuk orang kampung seperti mengisi borang meminta kerja untuk anak orang kampung, khidmat nasihat dan banyak lagi kerana mereka dianggap sebagai ‘orang berilmu’. Kini bukan saja di dua negeri itu, malah di negeri lain, guru dikatakan perlu datang ke sekolah pada setiap Sabtu kerana terbabit dengan banyak aktiviti, sedangkan pekeliling yang dikeluarkan membenarkan guru bercuti pada Sabtu sebanyak dua kali setiap bulan. Apapun syor atau garis panduan ditampilkan oleh jawatankuasa itu nanti, diharap memberi pertimbangan secara rasional antara tugas guru dan tanggungjawab mereka kepada masyarakat untuk tidak ‘melepaskan’ khidmat bakti yang murni secara sukarela kepada masyarakat sekeliling.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...