terima kasih buat kalian semua..

Thursday, April 22, 2010

Kaji punca tak pilih sekolah kebangsaan


MENTERI Pelajaran beberapa tahun lalu gah menyatakan hasrat kerajaan memperkasa sekolah kebangsaan, sama ada pada peringkat rendah atau menengah, dalam usaha menjadikan sekolah itu sebagai sekolah pilihan untuk kanak-kanak semua bangsa.

Ini dianggap sebagai usaha meningkatkan jumlah pelajar bukan Melayu menerima pendidikan awal dan menengah mereka di sekolah kebangsaan. Ini juga sebagai usaha positif mewujudkan suasana anak pelbagai bangsa bergaul sejak di bangku sekolah lagi untuk memupuk persefahaman. Tidak seperti yang berlaku sejak sekian lama sehinggalah sekarang apabila sekolah kebangsaan dipenuhi anak Melayu saja dengan penyertaan anak bukan Melayu khususnya Cina tidak sampai 10 peratus. Malah dikhabarkan ada sesetengah sekolah di kawasan perumahan di bandar yang hanya mempunyai tidak sampai lima peratus pelajar Cina daripada jumlah keseluruhan murid.

Walhal kawasan itu mempunyai jumlah penduduk berbilang bangsa dengan penduduk Cina melebihi Melayu. Dikhabarkan juga ibu bapa bukan Melayu khususnya Cina sanggup mengharungi kesesakan lalu lintas untuk menghantar anak mereka ke sekolah Cina yang jauh dari rumah padahal sekolah kebangsaan atau sekolah menengah kebangsaan terletak tidak sampai satu kilometer dari rumah mereka.

Apakah yang menyebabkan keadaan yang tentunya tidak sihat dari segi memupuk persefahaman antara kaum ini berterusan demikian. Malah dikatakan keadaan ini semakin teruk dan peratus anak bukan Melayu terutama Cina yang belajar di sekolah kebangsaan semakin merosot.

Dalam pada itu, ibu bapa Melayu sendiri banyak pula yang menghantar anak belajar di sekolah jenis kebangsaan Cina. Jumlahnya dikatakan sudah mencecah tujuh peratus sekarang ini. Keadaan yang berlaku itu menimbulkan pelbagai persoalan.
Selain merenggangkan lagi jurang pergaulan antara anak berbilang bangsa, perkembangan ini mungkin boleh pula menjejaskan persefahaman antara kanak-kanak pelbagai bangsa. Bayangkan keadaan yang mungkin wujud apabila mereka ini dewasa dan terpaksa bekerja dalam satu pejabat.

Ia juga menimbulkan persoalan apakah yang mendorong ibu bapa Cina tidak memilih sekolah kebangsaan untuk anak mereka belajar. Selain itu, persoalan juga timbul apakah yang ada atau tidak ada di sekolah kebangsaan hingga ibu bapa Melayu pun ada yang meminggirnya.

Tidak diketahui pula apakah Kementerian Pelajaran pernah mengadakan kaji selidik atau mengungkap sebab musabab perkara ini boleh berlaku dan terus saja berlaku walaupun Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika menjawat jawatan Menteri Pelajaran beberapa tahun lalu pernah melaungkan bahawa kementeriannya akan berusaha memperkasakan sekolah kebangsaan bagi menjadikannya sekolah pilihan.

Kini menterinya sudah bertukar. Malah kementerian itu kini dipimpin Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Tetapi tidak pula diketahui apakah menteri baru ini akan meneruskan hasrat menteri lama itu.

Dalam hal ini tidak pula diketahui apakah Jabatan Pelajaran pernah melakukan soal selidik bagi mendapatkan maklumat tepat apakah yang ada di sekolah jenis kebangsaan Cina, sama ada di peringkat rendah mahupun menengah yang membawa kepada tarikan bukan saja di kalangan ibu bapa Cina malah ibu bapa Melayu.

Pelbagai institusi pengajian tinggi awam sudah pun mempunyai fakulti pendidikan. Malah sudah wujud Universiti Pendidikan Sultan Idris. Apakah institusi ini tidak pernah mengadakan penyelidikan bagi mendapatkan jawapan terhadap satu persoalan yang amat penting ini dalam usaha memupuk persefahaman antara kaum di negara ini. Setahu saya tidak pernah pun kaji selidik demikian diadakan. Kenapa?

Kenapakah Jabatan Pelajaran tidak pernah pula mendedahkan trend mengenai peratusan kemasukan anak mengikut kaum di sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan. Tentunya jabatan ini mempunyai maklumat itu. Apakah susah sangat untuk mengumpulkan statistik itu mengikut jajahan, negeri dan negara?

Apakah kita juga tidak kisah dengan keadaan iaitu sehingga 10,000 murid sekolah dari Johor Bahru melintasi Tambak Johor yang begitu sesak setiap hari hanya kerana mahu belajar di sekolah di Singapura.

Apa istimewanya sekolah Singapura itu hingga ibu bapa mereka sanggup memilihnya dan mengabaikan langsung sekolah di Johor Bahru. Apa implikasinya untuk jangka panjang bagi kanak-kanak ini yang mendapat pelajaran mengikut kurikulum republik itu. Bagaimana mahu memupuk perasaan patriotik dan cintakan negara ini di kalangan murid itu kalau demikianlah keadaannya.

Apakah Kementerian Pelajaran tidak kisah dengan perkembangan ini? Mungkin sudah ada soal selidik bahkan kajian mengenai pemilihan ibu bapa terhadap sekolah-sekolah itu tetapi malangnya tidak pernah pula dihebahkan. Mungkin pihak yang pernah mengadakan kaji selidik ini memeramnya untuk kegunaan sendiri saja?

Yang menariknya ada beberapa blog membincangkan persoalan ini. Malah pengendali satu blog mengenai pendidikan, seorang Cina pernah menimbulkan persoalan mana satu sekolah dia harus memilih untuk menghantar anaknya, apakah sekolah jenis kebangsaan Cina atau sekolah kebangsaan.

Juga ditimbulkan bagaimana sekolah kebangsaan terlalu menekankan pengajaran agama hingga boleh menyinggung perasaan ibu bapa Cina apakah sekolah itu sudah jadi sekolah agama?

Ini menimbulkan perbincangan bagaimana sekolah yang diusahakan puak Kristian waktu sebelum merdeka hingga tahun-tahun selepasnya seperti Sekolah St Johns di Kuala Lumpur, Sekolah St Xavier di Pulau Pinang atau pelbagai Sekolah Convent untuk murid perempuan yang kebanyakannya mempunyai prestasi baik tidak pula menekankan pengajaran agama Kristian kepada murid mereka.

Malangnya perbincangan itu tidak memberi sedikit pun penekanan terhadap pembelajaran bahasa Melayu seolah-olah bagi mereka ini ia tidak perlu diberi perhatian. Apakah yang boleh kita simpulkan daripada keadaan demikian?

Maka itulah tidak menghairankan kenapa bahasa Melayu terus saja diabaikan oleh sesetengah pihak. Apakah yang boleh dilakukan kerajaan untuk menangani keadaan yang tidak sihat ini?

Oleh Rejal Arbee


1 comment:

  1. Kalau saya bangsa cina saya pun takut nak hantar anak ke sekolah kebangsaan kerana.

    1.90 peratus guru dan kakitangan berbangsa melayu ini menimbulkan ketidak percayaan.

    2. kebanyakan sekolah memertabatkan ugama islam itu berlebihan seperti bacaan doa semasa perhimpunan,dalam kelas,penampalan poster ugama serta ayat2 quran,bertudung dan anak cina juga di paksa memakai baju melayu, ini menakutkan ibubapa yang tak faham akan kecantikan islam itu.

    4. Jadi minda ibubapa cina dan india akan berfikir sekolah kebangsaan akan mengislamkan dan memelayukan anak mereka.

    3. Cara persokolahan pada era tahun 60-70an ada lah terbaik dalam percampuran kaum untuk memertabatkan 1 MALAYSIA.

    4. Gaji guru yang kecil dan persekitaran sekolah kebangsaan yang di bawah par dalam pengurusan dan penjagaan cuma menarik bangsa melayu sahaja yang berminat bekerja.

    5. Budget yang rendah yang diperolehi dari kementerian tidak cukup sampai sekolah kena minta sedekah.

    6. Cuba kita buat lawatan ke sekolah cina dan sekolah kebangsaan dan buat perbandingan sendiri.

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...