terima kasih buat kalian semua..

Sunday, April 25, 2010

Karenah mertua cemburu

TIDAK ada apa yang paling gembira buat seseorang ibu selain anaknya selamat mendirikan rumahtangga. Tambahan pula jika anak itu hasil perkahwinan terdahulu. Sudah menjadi lumrah alam, anak tiri sentiasa menjadi bahan umpat keji dan kebencian suami serta mertua, kerana mendakwa anak lelakinya yang tanggung dan membesarkan anak tiri sehingga dewasa.

''Itulah yang terjadi kepada saya sejak berkahwin kira-kira 18 tahun lalu. Hidup saya dua beranak sentiasa dibenci mertua dan ipar duai. Namun saya sabar hinggalah satu peringkat saya terpaksa memberi kata dua kepada suami yang saya tidak boleh meneruskan perkahwinan jika hidup saya sentiasa dihina.

''Sedangkan kenyataannya sayalah yang menjadi tonggak keluarga dan membantunya membesarkan anak-anaknya serta menyekolahkan adik-adiknya selama ini.'' Demikian cerita Sharliza ketika kami berbual panjang di telefon selepas menerima emelnya.

''Walaupun anak perempuan saya sudah berumahtangga akhir tahun lalu, tetapi hingga kini hati saya masih gembira melihat dia selamat bernikah. Kalau saya burung pasti saya terbang kerana terlalu gembira. Kerana saya kasihan melihat sejak kecil dia sentiasa dicaci mertua saya.

''Bukan itu sahaja, dia melarang keras saya membawa anak perempuan saya pulang ke kampungnya. Namun kini dia telah berkahwin setelah mendapat ijazah dan bekerja. Hapus sudah prasangka buruk orang terhadap anak saya.

''Saya berkahwin kali kedua dengan Kay ketika berstatus ibu tunggal dengan seorang anak perempuan. Kay pula duda tiga anak. Masa mula-mula kahwin saya menjaga sendiri anak-anak Kay selama tiga tahun. Saya anggap mereka macam anak sendiri. Tetapi hidup saya tak pernah aman diganggu, dihina dan dicerca mertua. Peliknya kalau berdepan dengan saya, dia memang baik, mulut manis, tetapi belakang saya, dia hasut anak-anak tiri saya melawan dan membenci saya dua beranak.

''Dia sanggup tuduh saya perempuan jalang. Sebagai ibu, siapa sanggup terima. Jadi demi keharmonian keluarga, Kay hantar anak-anaknya ke kampung, kerana bekas isterinya telah berkahwin. Namun makan minum, pakaian dan sekolah mereka Kay tetap jaga, termasuk makan minum emaknya dan tiga orang adiknya yang masih bersekolah.

''Saya tak pernah sekat Kay membiayai keluarganya. Itu tanggungjawab dia sebagai ayah, sebab itu jugalah sejak kahwin mereka semua duduk di rumah yang saya beli sendiri, sebab Kay tak ada rumah, dia hanya menyewa.

''Walaupun mertua saya tahu anaknya tak ada rumah dan duduk di rumah saya, tapi dia tak pernah senang hati. Sebaliknya sentiasa mendakwa saya menghabiskan duit Kay. Dan paling sedih anak saya sentiasa dihina konon besar hasil titik peluh Kay. Sedangkan sayalah yang selama ini membantu Kay membiayai persekolahan tiga orang adiknya dan anak-anaknya sendiri seramai tiga orang itu.

''Satu lagi perangai buruk mertua saya kalau datang ke rumah saya dia suka tanya pembantu rumah saya, selalukah kami suami isteri bergaduh, siapa beli perabot, siapa keluar duit beli barang makan kami, siapa bayar gajinya, satu bulan berapa pasang pakaian saya beli, dan macam-macam benda lagi. Mertua saya syak Kay yang beli semuanya. Sebab itu dia tak puas hati melihat perubahan dalam rumah saya, dan tuduh saya kikis duit anaknya.

''Kerana sakit hati mertua saya minta Kay belikan apa juga benda yang dia sangka Kay belikan untuk saya. Sebagai contoh, kalau dia lihat saya beli perabot baru, dia nak satu, dia nak Kay belikan dia rantai emas macam saya, cincin emas, set pinggan mangkuk baru, selain membesarkan rumah dan macam macam lagi.

''Mertua saya tak percaya kalau saya katakan saya yang beli semua benda itu hinggakan rumah dan bilik tidur saya ada pendingin hawa, televisyen pun dia nak biliknya ada benda yang sama. Kerana tak kuasa bising saya belikan televisyen untuk biliknya, tetapi untuk pendingin hawa saya bagi tahu rumah papan tak sesuai baru dia diam.

''Mertua saya cemburu dengan apa yang saya ada,. Dia tak percaya saya ada ijazah, ada kedudukan dan jawatan tinggi berbanding anaknya. Dia lihat Kay memandu kereta, dia fikir Kay gaji tinggi. Namun saya tak boleh nak marah kerana itulah pemikiran orang kampung yang tak terbuka mindanya. Namun saya sakit hati dengan adik-adik ipar yang saya bantu hingga bersekolah tinggi tapi bercakap tak pakai otak.

''Bila anak-anaki tiri semakin dewasa mereka dihasut turut membenci saya. Paling sakit hati apabila mereka menghantar surat menghina dan mengata saya 'betina jalang'. Demi menjaga maruah maka saya mohon kepada Kay supaya saya diceraikan, kerana saya tak sanggup lagi berbakti dan membantu orang yang tak tahu di untung, tidak mengenang budi dan tak sedar diri.

''Budi saya bukan minta balasan, tetapi janganlah saya dihina begitu teruk. Sejak hari itu Kay minta saya memutuskan hubungan dengan mereka. Tak perlu balik kampung dan berbuat baik lagi, kerana dia lebih faham siapa yang membantunya selama ini, menghantar duit untuk emak, adik-adik dan anak-anaknya di kampung.

''Anak-anak Kay juga tuduh saya habiskan duit ayah mereka kerana tanggung anak saya sehingga melupakan anak-anak sendiri. Mereka mendakwa sayalah punca ibunya diceraikan. Sebenarnya ibunya minta cerai sebab tak tahan dengan karenah mertua yang cemburukan ibu mereka, seperti keadaan hidup saya sekarang. Bukan kerana saya!

''Lebih berani lagi, mereka juga hantar sms dan e-mel kepada ayahnya mengutuk saya dua beranak. Tetapi selepas saya minta diceraikan seperti kes isteri pertamanya, barulah Kay bertindak menceritakan hal sebenar kepada keluarganya, dan minta mereka jangan campur urusan hidup saya lagi jika tak tahu keadaan sebenar. Sejak itu saya mula menjarakkan diri, untuk apa kita buat baik kalau orang tak tahu mengenang budi.

''Selama ini saya cukup bersabar dengan karenah mereka dan berkorban asalkan mereka boleh hidup senang, tetapi mereka tak mahu faham. Mertua saya memang cemburukan saya, saya faham kehendaknya sebab itu saya cuba penuhi semua kemahuannya.

''Sebagai contoh saya guna sabun mandi cecair dia pun nak, saya pakai cermin mata hitam, dia nak satu, beg tangan saya berjenama dia pun mahu, telekong, kain batik, minyak wangi, pencuci muka, pencerah kulit, baju sutera, tudung, kasut, selipar, pendek kata apa saja saya pakai dia nampak, dia nak dibelikan sama. Saya ikutkan serba kemahuannya. Hinggakan kereta mahal yang baru saya beli pun dia nak sebuah! Nak mampus!

''Tetapi sejak saya menjarakkan diri kerana sikap dan perbuatan mereka, saya rasa hidup saya aman. Sekurang-kurangnya saya tak nampak mereka menghentak dan menjeling-jeling bila saya memandang mereka.

''Ketika saya mengadakan majlis perkahwinan anak saya tahun lalu, mereka turut datang. Saya berterus terang semua perbelanjaan majlis perkahwinan daripada bertunang, nikah hingga bersanding, semua saya urus sendiri, sesen tak masuk duit Kay, saya kata begitu supaya mereka tak susah hati takut duit anaknya habis.

''Kay pun terus terang beritahu emaknya dia tak campur sebab saya larang, kerana yang kahwin anak saya. Maklum anak perempuan tunggal tentu banyak belanja kata Kay. Sebenarnya sudah lama saya buat persediaan membesarkan anak saya ini. Selepas bercerai ketika dia di tadika saya mula simpan duit untuk dia masuk universiti dan belanja kahwin. Lagi pun ayah kandungnya tak pernah bagi nafkah untuk anaknya.

''Saya juga dah ingatkan anak saya jangan bergantung hidup kepada suami, banyak masalahnya. Lebih baik buat simpanan sendiri supaya hidup kita lebih aman. Selesai majlis kahwin harapan saya biar mertua serta anak-anak tiri saya faham bahawa kami dua beranak tidak pernah menyusahkan Kay. Malah sayalah yang paling banyak membantunya membiayai hidup mereka anak beranak, terutama anak-anak tiri saya itu.''

Demikian cerita Sharliz panjang lebar tentang masalah mempunyai ibu mertua yang terlalu cemburukan keselesaan hidupnya. Dan sering salah sangka.

Namun itu semua lumrah alam. Wanita zaman ini yang sudah banyak berubah, berbeza seperti kehidupan mereka dahulu yang terlalu banyak bergantung kepada pendapatan suami. Sebaliknya anak-anak perempuan zaman ini banyak kelebihan dan keistimewaannya.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...