terima kasih buat kalian semua..

Thursday, April 1, 2010

Macam depot pendatang asing


Sekolah Rendah Agama (SRA) Hidayatul Mustaqimah di Taman Beringin Jinjang Utama di sini mungkin lebih daif daripada depoh pendatang tanpa izin.

Sudahlah kontena dijadikan kelas, keadaannya pula sangat panas terutama pada sesi petang kerana banyak kipas yang rosak manakala pendingin hawa hanya menjadi hiasan dinding.

Sekolah itu mempunyai seramai 598 murid, terbahagi kepada dua sesi dengan sembilan kelas pada sebelah pagi dan 11 kelas lagi pada waktu petang.

Setiap kelas boleh memuatkan kira-kira 30 murid.

Apa yang mengejutkan ialah apabila mengetahui keadaan itu sebenarnya sudah berlarutan hampir tujuh tahun.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, sesi pembelajaran berjalan dalam situasi tidak selesa dan kebanyakan pelajar akan mula berpeluh selepas satu jam memasuki kelas.

Seorang murid, Mohd. Al Hafiz Rafie, 12, berkata, keadaan panas itu menjadikan tumpuan murid dalam kelas selalu terganggu.

"Saya terpaksa membuka beberapa butang baju dan songkok di dalam kelas. Pendingin hawa tidak berfungsi dan kipas juga kadang-kadang rosak.

"Jika hujan, ada kabin yang bocor dan murid terpaksa menumpang di kelas lain," katanya.

Muhamad Uwais Mod. Annuar, 12, pula berkata, keadaan dalam kelas yang tidak selesa itu diburukkan lagi dengan keadaan tandas yang benar-benar menyedihkan selain menakutkan.

"Ada kawan saya pernah terjumpa ular di dalam tandas. Ia menakutkan kami semua untuk ke tandas.

"Lantainya licin dan kami terpaksa berhati-hati apabila hendak ke tandas. Kadangkala kami menahan sahaja dan menunggu untuk membuang air di rumah," katanya.

Zulfikri Azman, 12, pula menyifatkan keadaan sekolah agama itu lebih daif daripada sekolah di kawasan pedalaman.

"Sekolah ini di ibu kota tetapi keadaannya lebih teruk daripada di luar bandar," jelasnya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Yahaya Mat Ghani meminta pihak berkenaan memantau keadaan sekolah agama tersebut.

Katanya, kedaifan sekolah itu sebenarnya sudah dimaklumkan pihak Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi) dan difahamkan akan dibantu dalam sedikit masa lagi.

"Kasihan melihat pelajar ini menimba ilmu di dalam keadaan yang daif dan tidak selesa. Kita berharap sangat pihak berkenaan dapat menyelesaikan masalah yang melanda murid ini.

"Jangan sampai ada kejadian buruk menimpa, baru hendak bertindak. Ini masa paling sesuai walaupun kita semua sudah terlalu lama menunggu perubahan di sekolah ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali ketika dihubungi memberitahu, proses pembaikan sekolah itu ditangguhkan baru-baru ini akibat perubahan harga barangan binaan di pasaran.

Katanya, bajet baru sudah diluluskan dan pembinaan bangunan baru akan dimulakan selewat-lewatnya Jun ini.

Oleh WAN SYAMSUL AMLY WAN SEADEY

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...