terima kasih buat kalian semua..

Monday, April 26, 2010

Mahu imbuhan tetap qari, qariah diperluas

KERAJAAN telah melaksanakan usaha murni dengan memberi imbuhan tetap RM2,000 sebulan sepanjang hayat kepada qari dan qariah Malaysia yang berjaya menjadi johan dalam Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa.

Tidak syak lagi imbuhan ini adalah sebagai penghargaan dan ucapan terima kasih kerajaan dan negara kepada qari dan qariah yang telah mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Pada masa yang sama imbuhan ini sudah pasti akan membantu meringankan bebanan kewangan qari dan qariah kita. Mungkin ia sepatutnya sudah dilakukan lama dahulu. Namun biar terlewat daripada tiada langsung.

Justeru kepekaan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, memberi imbuhan kepada qari dan qariah ini memang wajar dipuji.

Namun saya ingin mencadangkan agar usaha murni kerajaan ini dilebarkan, tidak hanya terhad kepada qari dan qariah juara antarabangsa yang masih hidup. Qari dan qariah yang berjaya di peringkat antarabangsa tetapi sudah tiada wajar juga diberi imbuhan.

Selain itu, imbuhan juga seharusnya tidak hanya diberikan kepada johan peringkat antarabangsa sahaja. Juara peringkat kebangsan juga wajar diberi imbuhan. Jika seseorang qari dan qariah itu memenangi kedua-dua peringkat kebangsaan dan antarabangsa, maka satu imbuhan peringkat antarabangsa saja diberikan.

Saya memberi cadangan ini kerana ada qari dan qariah juara tilawah antarabangsa yang sudah terlebih dahulu menyahut seruan Ilahi. Contohnya Ismail Hashim yang telah mencatatkan beberapa kali kejayaan sebagai johan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Imbuhan untuk Allahyarham dan juga arwah qari dan qariah yang lain mungkin boleh diberikan kepada keluarga mereka. Jumlahnya tidak perlu sampai RM2,000 sebulan. Mungkin satu jumlah yang berpatutan dan diberikan untuk satu tempoh waktu tertentu kepada keluarganya.

Jika tidak pun, kerajaan boleh memberikan imbuhan bayaran sekali (one time payment) dengan jumlah tertentu yang munasabah sebagai penghargaan kepada keluarga qari dan qariah yang telah tiada.

MURID PONDOK

Teluk Intan, Perak

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...