terima kasih buat kalian semua..

Friday, April 9, 2010

Mana rumah PPR kami?


KUALA LUMPUR - Usaha kerajaan untuk membantu rakyat berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri dengan menjual rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapat sambutan baik rakyat.

Bagaimanapun, bagi penduduk beberapa PPR yang dahulunya tinggal di kawasan setinggan di Segambut, hasrat kerajaan untuk membantu mereka itu akan lebih sempurna jika unit yang hendak dijual kepada mereka itu adalah di kawasan tempat asal mereka sendiri.

Masalahnya ialah PPR berkenaan tidak wujud.

Ini kerana projek yang dijanjikan kepada mereka sembilan tahun lalu itu senyap begitu sahaja sedangkan penduduk telah dipindahkan sementara ke kawasan lain.

Ini membuatkan bekas penduduk beberapa kampung setinggan di Segambut itu tertanya-tanya dan berasakan diri mereka dipinggirkan kerana projek PPR yang dicadangkan untuk dibina di bekas tapak kampung mereka masih tidak diketahui statusnya.

Menurut beberapa penduduk yang ditemui, dalam perbincangan dengan beberapa pihak berkuasa sebelum ini, mereka pernah mencadangkan projek itu dibina berhampiran sebuah kawasan projek tebatan banjir di situ.

Bagaimanapun, setakat ini masih belum ada apa-apa keputusan diberikan oleh agensi-agensi kerajaan berkenaan.

Sedangkan, kata mereka, hasil perbincangan itu telah menyebabkan penduduk dari Kampung Tebing Kali, Kampung Sungai Udang dan Kampung Benteng bersetuju untuk dipindahkan sementara ke PPR di kawasan lain yang lebih jauh pada 2001.

Kebanyakan mereka kini tinggal di PPR di Kepong dan Batu dan ternanti-nanti projek PPR di Segambut itu disiapkan untuk mereka kembali menginap di situ.

Kerana masih kabur dengan status projek berkenaan, penduduk telah meminta bantuan Ketua UMNO Bahagian Segambut, Datuk Kamarudin Ambok bagi mengutarakan masalah mereka kepada pihak berkenaan.

Mengulas mengenai perkara itu, Kamarudin berkata, beliau akan menemui pihak-pihak berkenaan dalam masa terdekat bagi memastikan isu yang ditimbulkan rakyat itu mendapat layanan sewajarnya.

Tegasnya, permintaan penduduk sudah dizahirkan selain tapak cadangan yang sudah diberi kepada pihak berkenaan untuk pertimbangan susulan.

"Saya sendiri akan bertemu dengan pihak berkenaan untuk memastikan PPR dibina di sini. Ia akan membawa banyak kebaikan untuk jangka masa panjang.

"Jangan sampai penduduk marah dan berang kerana tapak asal mereka sebenarnya adalah di sini. Jadi, di sinilah juga perlu didirikan PPR baru untuk mereka menetap," ujarnya.

Oleh WAN SYAMSUL AMLY WAN SEADEY

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...