terima kasih buat kalian semua..

Friday, April 30, 2010

Mantapkan hubungan kejiranan

MEMANG benar kata orang, adik-beradik pun sanggup berbunuh apatah lagi jiran dan juga orang yang tidak dikenali.

Bagaimanapun, apabila dikaji punca-punca sampai terjadinya kematian, tentu ada yang menggeleng kepala kerana puncanya sangat remeh. Zaman sekarang, pembunuhan sama ada dengan niat atau tidak bukan hanya disebabkan wang ringgit, tetapi sampah pun boleh membawa kematian.

Begitulah yang berlaku di Kuala Lumpur apabila sampah menjadi punca kematian seorang lelaki akibat dibelasah oleh jirannya dengan kayu besbol.

Insiden ini tentunya akan membuka mata banyak pihak terutamanya mengenai hubungan kejiranan di sesuatu kawasan yang dikatakan agak longgar sehingga kes-kes kecil seperti itu diperbesar-besarkan dalam jangka masa yang panjang.

Di kawasan bandar, ketua penduduk perlulah memainkan peranan memastikan penduduk di kawasannya hidup dalam keadaan harmoni. Tidak kira apa kaum sekalipun, ikatan kejiranan akan menjadi kukuh kalau ada rasa hormat menghormati, bekerjasama, bertolak ansur dalam pelbagai perkara, tegur-menegur dan saling bantu membantu.

Ketua penduduk mestilah mengetahui dan mengambil perhatian terhadap hubungan jiran-jiran yang bermasalah. Contohnya, jika sudah diketahui dua buah keluarga sering bertengkar, ketua penduduk mestilah memikirkan kaedah-kaedah untuk merapatkan hubungan kedua-dua buah keluarga tersebut, di samping memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang berlaku kelak jika masalah tersebut tidak ditangani secepat mungkin.

Ketua penduduk juga mestilah memikirkan cara-cara untuk mengukuhkan hubungan kejiranan di kawasan yang ditanganinya. Membiarkan penduduk tanpa sebarang aktiviti, senario ini akan merenggangkan hubungan kejiranan.

Hari keluarga dan gotong-royong dan sukan tahunan merupakan antara aktiviti yang boleh dijalankan di sesetengah kawasan dan mengikut kesesuaiannya.

Ketua penduduk mestilah menjalankan peranan yang lebih berkesan terutamanya menjaga anak-anak buah di bawah jagaannya dengan cara bertanya khabar dan masalah, kemudian masalah yang didengari itu boleh dibawa berunding bersama.

Di kampung-kampung, mungkin kes seperti ini tidak akan berlaku. Pertama kerana pembuangan sampah tidak menjadi satu masalah seperti yang dialami di bandar.

Kedua, hubungan kejiranan di sesetengah kampung masih utuh, sehinggakan ada kerja-kerja yang dilakukan secara bergotong-royong dan mereka menolak sistem upah.

M.Jasni Majed

Kapar, Selangor

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...