terima kasih buat kalian semua..

Friday, April 16, 2010

Melayu tak boleh tolak ansur hal-ehwal Islam

MINGGU ini, Kunta Kinte nak cakap sikit lagi mengenai orang Melayu yang selalu sangat tolak ansur atau disuruh tolak ansur sampai rugikan bangsa sendiri. Kunta Kinte bukan kata orang Melayu kena jadi perkauman tapi fikirlah dulu bila hendak bertolak ansur.

Apa lagilah kalau tolak ansur itu babitkan hal agama. Ini orang Melayu kena ingat kerana bila kita cakap hal Melayu, sikit atau banyak kita cakap hal agama Islam juga sebab orang Melayu sewajibnya Islam.

Sedihnya sekarang, dah tak jadi macam itu. Ramai orang Melayu malas berfikir, tak tahu berfikir dan lepas itu takut atau malas bersuara. Dengan bangsa sendiri pun tak mahu bersuara apatah lagilah dengan kaum lain.

Ada orang Melayu yang malu mengaku Melayu sebab mereka sudah berjaya. Mereka malu dikaitkan dengan bangsa Melayu sebab ramai lagi saudara sebangsa mereka yang miskin dan daif.

Ada pula yang hanya nak jadi Muslim dan tolak identiti bangsa kononnya sayang kepada bangsa, utamakan bangsa dan perjuangan hak bangsa adalah bercanggah dengan Islam. Ada juga yang mengaku Muslim dan Melayu tapi dalam rumah ada tempat hidang arak dan bilik khas simpan arak.

Jadi tak hairanlah kalau satu lepas satu orang Melayu diuji dan kalah sebab mereka terlalu mudah bertolak ansur atau dipaksa oleh kepemimpinan Melayu sendiri supaya bertolak ansur kononnya untuk kesaksamaan dan perpaduan.

Tapi bila kena mengena dengan Islam, Kunta Kinte rasa orang Melayu tak boleh buat tak peduli atau tak tahu, apatah lagi bertolak ansur. Kalau umat Islam Malaysia tak belajar lagi daripada isu kalimah Allah yang dituntut oleh Kristian Katholik, Kunta Kinte tak tahu bila lagi mereka akan belajar.
Jadi Kunta Kinte setuju dan sokong pendirian semua mufti yang dua hari lalu sepakat cadangkan kepada kerajaan jangan guna perkataan agama dalam nama Jawatankuasa Perhubungan Antara Agama. Sebaliknya ditukar dengan perkataan kaum bagi elak kekeliruan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang jaga hal-ehwal agama Islam, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, kata penubuhan jawatankuasa itu dibantah mufti dan beberapa pertubuhan Islam. Jamil Khir kata, cadangan tukar nama jawatankuasa itu dibuat kerana pada pendapat mufti-mufti, hal-hal berkaitan agama Islam adalah tanggungjawab Majlis Raja-Raja dan dah jelas ditulis dalam Perlembagaan.

Kunta Kinte harap Jamil Khir cakap terang-terang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bawa perkara ini terus kepada Kabinet. Tak payah nak babitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Minta maaflah kalau Kunta Kinte kata, Kunta Kinte tak faham macam mana Dr Koh boleh dibagi tanggungjawab ke atas jawatankuasa itu. Bukan saja sebab dia bukan Islam atau bukan Melayu, tapi dia ni bukan menteri kanan dan dia pun kalah pilihan raya.

Kalau Jamil Khir betul-betul jaga hal-ehwal agama Islam dan pakar dalam hal agama, dia wajib bagi nasihat dan pandangan yang betul kepada Perdana Menteri. Jangan jadi menteri agama ‘ya tuan’.

Islam adalah agama Persekutuan Malaysia dan majoriti penduduk Malaysia adalah Islam. Jadi eloklah apa-apa pun urusan, rundingan atau konsultasi antara agama dipimpin seorang Islam. Bukan Islam pada nama, tapi Islam pada ilmu dan amalan.

Kita kena ingat. Hal-hal bersangkut dengan agama ini bukan saja sensitif tapi rumit dan kompleks. Lagi-lagilah di Malaysia di mana banyak agama dan kepercayaan diamalkan.

Tak kiralah apa bidang kuasa jawatankuasa itu, tapi yang wakili Islam itu wajiblah pakar dalam hal-ehwal agama dan ada kewibawaan.

Jangan fikir jawatankuasa perundingan antara agama yang dianggotai oleh orang tak ternama atau orang tak berkuasa tak penting. Pandangan mereka masih boleh pengaruhi Kabinet kerana dalam Kabinet bukan semua Islam dan yang Islam pun, bukan semua pakar mengenai Islam.

Silap-silap langkah, boleh keruhkan lagi keadaan misalnya bila ahli-ahli jawatankuasa itu bercakap di luar atau terlepas cakap. Kunta Kinte yakin, semua wakil akan tertahan agama atau kepercayaan masing-masing.

Satu lagi, Kunta Kinte harap pemimpin dan pembesar Islam kenalah berhati-hati. Bukan apa, tapi takut umat Islam terperangkap dalam persaingan yang semakin hebat antara agama-agama bukan Islam dan antara mazhab yang berbeza dalam satu-satu agama.

Orang Islam kena ingat, sebuah masjid atau surau sudah cukup untuk semua orang Islam dalam satu lokasi, tapi keadaan tak sama dengan orang Kristian misalnya. Mereka ada banyak mazhab dan pecahan. Setiap mazhab dan pecahan perlukan gereja sendiri. Sebab itulah di tempat macam Petaling Jaya, ada lebih banyak gereja daripada masjid.

Orang Hindu pula mereka ada banyak ‘Tuhan’. Mereka sembah 330,000 dewa dan dewi. Sebab itulah kalau tidak dikawal mereka bina kuil di merata tempat. Orang keturunan Cina pula ada banyak kepercayaan dan setiap ‘deity’ atau datuk ada tokong sendiri.

Jadi, semua ini kita kena faham. Jangan buat keputusan atau tolak ansur dengan sesuka hati atau sambil lewa kerana kita malas berfikir atau tak mahu peningkan kepala.

Orang Melayu dan umat Islam Malaysia kena balik berfikir semula, kalau tidak maruah dan akidah mereka terancam dan kesucian Islam tercemar.

sumber: berita harian

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...