terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, April 6, 2010

Mengapa perlu bertengkar


Sedangkan lidah lagikan tergigit inikan pula suami isteri. Perumpamaan ini memang cukup sinonim dengan kemelut yang melanda pasangan yang berkahwin.

Konflik, bertengkar dan bertikam lidah merupakan asam garam kehidupan berumah tangga.

Dalam sebuah perkahwinan, jika tidak pernah berlaku pertengkaran itu menandakan matinya emosi. Malah pertelingkahan juga ada 'manisnya'.

Sebenarnya pertelingkahan turut memberi impak positif kepada hubungan suami isteri kerana kadang kala ia mampu mengeratkan lagi hubungan suami isteri .

Namun ini bukan bermakna kita sentiasa perlu bersetuju pada setiap masa bahawa pertengkaran itu sebagai tindakan yang bagus dalam perhubungan .

Apabila sesuatu yang tidak diingini pada pasangan maka berlakulah pertengkaran. Ini berlaku dengan harapan perkara yang tidak baik pada pasangan itu akan hilang.

Pertengkaran sebenarnya merupakan proses di mana pasangan suami isteri itu cuba untuk menyatukan cita rasa, tujuan, keinginan dan cara hidup mengikut kehendak sendiri

Dalam proses tersebut, keengganan oleh satu pihak menyebabkan sebelah pihak lagi memendam perasaan, hal ini akan menyebabkan sebelah pihak lagi tidak puas hati lalu tercetus pertengkaran.

Meluahkan isi hati

Untuk proses tersebut, setiap pasangan perlu berbincang dan meluahkan isi hati masing-masing bagi meredakan permasalahan yang berlaku dalam hubungan mereka.

Tidak dinafikan, ada yang enggan berbincang kerana bimbang akan berakhir dengan sebuah pertengkaran.

Mereka lebih rela memendam saja perasaan dan berharap segalanya akan berubah dengan sendiri dan menjadi baik suatu hari nanti.

Dalam permasalahan ini, suami isteri seharusnya tidak menyalahkan antara satu sama lain kerana akan mengeruhkan lagi keadaan.

Situasi tegang akan menjadi lebih parah apabila salah seorang mengungkit kelemahan pasangan.

Sebaliknya, tumpuan hendaklah hanya kepada pokok permasalahan bukan hingga meleret kepada perkara yang tidak berkait.

Dalam pada itu, jangan sesekali kita menggunakan kata-kata kasar semasa 'bertikam lidah', sebaliknya teruskan gunakan nama yang sering digunakan.

Jika sebelum bergaduh memanggil pasangan dengan panggilan 'sayang' teruskan gunakan panggilan tersebut.

Biar apa pun gelombang pertengkaran yang berlaku antara anda suami isteri, pastikan ia tidak berlaku di hadapan anak-anak.

Hal ini penting kerana ia boleh menjejaskan emosi mereka, malah keadaan ini akan menyebabkan anak-anak akan membuat persepsi yang negatif mengenai ibu bapa.

Tidak mustahil perkara tersebut akan diceritakan kepada kawan-kawannya.

Dalam mengemudi perkahwinan, adalah menjadi asam garam berlaku pertelingkahan dalam hubungan tetapi dalam apa jua keadaan, sentiasa dibatasi dengan kesabaran.

Emosi

Jangan sesekali membiarkan emosi menguasai diri dan jangan sesekali bertindak menggunakan fizikal seperti memukul atau melemparkan barang-barang.

Keadaan ini hanya merugikan diri sendiri sedangkan masalah tidak juga selesai.

Dalam masalah ini, mungkin anda tidak dapat menegakkan kebenaran atau tidak mampu memberikan hujah yang kukuh, tetapi itu bukan bererti anda sudah tewas.

Malah, jangan sesekali membenarkan orang ketiga masuk campur dalam pertengkaran, seperti ibu bapa, mertua ataupun adik beradik. Kehadiran mereka sebenarnya akan menyebabkan situasi semakin parah.

Oleh itu, jika dapat selesai masalah, berbincang dengan baik demi hubungan suci yang dibina. Anggaplah pertelingkahan yang berlaku sebagai asam garam kehidupan yang boleh mematangkan diri masing-masing.

Ingatlah, anda dan pasangan adalah dua insan yang berbeza. Pasangan anda telah dibesarkan mengikut caranya sejak dari kecil, manakala anda pula dibesarkan cara tersendiri.

Anda bertemu dengannya setelah sama-sama dewasa, jadi jangan sesekali cuba menjadikan dirinya sama seperti anda.

Cuba hormati dengan tindakan yang dilakukan. Jika tidak berkenan hati, luahkan dengan penuh diplomasi dan berikan contoh terbaik untuk dirinya berubah.

Jangan anggap kita sentiasa di pihak yang betul, pastikan sama-sama bekerjasama dan bertolak ansur dalam mengemudi alam perkahwinan semoga ia kekal hingga sampai bila-bila.

Selepas bertengkar, jangan biasakan menyendiri atau meninggalkan pasangan, keadaan ini hanya merugikan sahaja.

Selesai bertengkar, peluklah pasangan seerat mungkin, biarpun kita bersalah ungkapkan perkataan maaf dan minta perkara begitu tidak berlaku lagi.

Anggaplah pertengkaran sesuatu yang positif kerana membolehkan anda dan pasangan semakin mesra.

Oleh Zuhayati Yazid

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...