terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, April 6, 2010

Nasib bahasa kebangsaan

SAYA menulis berdasarkan kepada beberapa pengamatan dan pengalaman saya sejak kebelakangan ini.

Situasi pertama berlaku apabila saya mencari bilik sewa untuk kakitangan saya. Setelah menelefon beberapa kali saya bertemu dengan seorang lelaki (tuan rumah) yang mahu menawarkan bilik untuk disewa.

Kadar harga bukan persoalan tetapi alasan yang tidak masuk akal diberikan oleh beliau. Beliau mendakwa bahawa persekitaran tempat tinggal tersebut agak baik kerana kebanyakan penghuninya berpendidikan tinggi kerana mereka bercakap dalam bahasa Inggeris.

Saya tergamam seketika kerana begitu mudah beliau menilai tahap akademik dan intelektual seseorang berdasarkan kepada bahasa percakapan.

Tanggapan demikian sebenarnya merupakan satu penghinaan kepada bahasa Melayu dan saya lantas menolak tawaran bilik sewa dengan alasan saya memerlukan tuan rumah yang menghormati bahasa kebangsaan kerana saya tinggal di bumi Malaysia. Untuk makluman beliau bukan berbangsa Melayu.

Satu lagi situasi yang dirasakan bukan saya seorang sahaja tapi ramai lagi ialah apabila kita mendengar perbualan di antara individu bukan Melayu.

Mereka seboleh-bolehnya cuba bertutur dalam bahasa Inggeris dengan bangganya dan bukan dalam bahasa ibunda masing-masing seperti bahasa Mandarin dan Tamil.

Walaupun lenggok bahasa Inggeris mereka amat jelik didengar mereka tanpa segan silu dengan sengaja atau tidak sengaja secara automatik telah meminggirkan bahasa kebangsaan.

Apa salahnya bertutur dalam bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda masing-masing kerana saya merasakan perbualan mereka akan menjadi lebih mudah.

Saya amat menghormati saudara David Teoh semasa ucapan beliau ketika upacara penyampaian anugerah untuk artis-artis popular pada malam kelmarin (4/4/2010).

Beliau sedaya upaya bercakap dan berbahasa dengan indah dalam bahasa kebangsaan walaupun jelas pelat Cina beliau, namun usaha dan kesungguhan beliau amat dihargai.

MOHAMAD MASRI

Bandar Sri Permaisuri

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...