terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, April 21, 2010

Pada siapa kami nak mengadu?

MEMBACA ruangan 'Selak' Utusan Malaysia semalam menjadikan saya sedikit tersentuh. Kalau diceritakan ragam pengangkutan awam, penumpang dan pemandu pengangkutan awam sampai bila pun isu ini tidak akan selesai.

Kisah bas ekspres yang dipandu laju dan sentiasa berada di lorong kanan; teksi dan pemandu yang kotor, berbau dan kurang adab; mahupun penguat kuasa yang acap kali menjalankan tugas 'berat sebelah', sering disuarakan di dada akhbar. Namun kata orang utara 'pi mai pi mai dok tang tu jugak'.

Saya adalah pemandu teksi ibu kota, mempunyai permit sendiri (terima kasih Kerajaan Malaysia). Saya telah memandu lebih 13 tahun dan tidak terlepas daripada beban dan pancaroba memandu kenderaan awam. Masih lagi boleh bertahan walau ramai rakan seangkatan telah lama menyerah kalah.

Ditipu itu perkara biasa dan telah menjadi lumrah bagi kebanyakan pemandu. Seringgit dua masih boleh dimaafkan lagi. Tapi kalau sudah beratus ringgit macam mana pula? Kisah penumpang lari buka kasut meninggalkan teksi bukanlah cerita dongeng. Pisau di leher, teksi dilarikan, duit disamun bukan sekali dua dilaporkan. Pemandu teksi dibunuh pun dah kita dengar.

Perkara sumbang dalam teksi tak perlulah diceritakan. Nak disuruh turun (silap haribulan kena repot kat Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), itu sajalah penumpang yang kita ada. Nak dibiarkan berdosa pulak.

Anda sebagai penumpang banyak pilihan boleh dibuat jika ingin buat pengaduan. Ke balai polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), LPKP, media, Tribunal Pengguna mahu pun ke Kementerian Pengangkutan sendiri. Hanya dengan 1 SMS atau e-mel, pemandu seperti kami sudah pasti tidak boleh tidur lena.

Pada yang benar-benar melakukan kesalahan patutlah dihukum, tetapi hendaklah disiasat secara terperinci. Jika anda mengadu ke agensi yang disebutkan tadi, mereka dengan senang hati membantu anda. Bagaimana pula dengan kami sebagai pemandu teksi ibu kota? Hendak mengadu kepada LPKP? Polis? JPJ? Atau kepada Persatuan Pemandu Teksi bahawa penumpang tak bayar RM100?

Baru-baru ini di Batu Caves seorang pemandu teksi dipukul dan teksinya dilarikan. Beliau mendapat 11 jahitan dan RM1,200 lesap. Tak siapa pun ambil peduli. Pihak LPKP, JPJ dan lain-lain agensi lepas tangan. Tidak sesiapa pun melawat beliau. Nak mengadu kepada Persatuan Pemandu Teksi? Tak tahulah di mana peranan persatuan berkenaan.

Apa salahnya pihak-pihak yang terlibat dengan pemandu teksi seperti LPKP, JPJ, Kementerian Pengangkutan serta Persatuan Pemandu Teksi menghantar wakil datang melakukan lawatan ziarah sambil memberikan sedikit sagu hati bagi meringan beban tanggungan mangsa tersebut. Sekurang-kurangnya ia menyahut seruan Perdana Menteri 'Rakyat di Dahulukan Pencapaian di Utamakan'.

"Oh, kami LPKP hanya mengeluarkan lesen sahaja bukan jaga kebajikan pemandu".

"Tidak ada sesiapa pun melaporkan kepada Kementerian kami jadi kami tidak tahu".

Itu mungkin andaian jawapan yang mereka boleh berikan. Yang nyata mereka tidak peka kepada masalah pemandu tetapi peka kepada kesalahan pemandu.

Adalah diharapkan agar cogan kata atau seruan yang dibuat oleh Perdana Menteri dikotakan oleh semua pihak yang terlibat, sama ada pihak agensi agensi kerajaan atau NGO seperti Persatuan Pemandu Teksi. Jangan sekadar seruan sahaja tapi pelaksanaannya tiada.

Marilah kita semua fikirkan bersama hala tuju setiap pemandu teksi, bukan hanya mencari kesalahan pemandu teksi saja.

Nasib mereka perlu juga kita fikirkan bersama kerana kehidupan harian mereka hanya terletak kepada pencarian sebagai pemandu teksi semata-mata untuk menyara kehidupan keluarga mereka. Kepada anda pembaca Utusan Malaysia, akhbar rakyat yang budiman, renung-renungkanlah!

PEMANDU TEKSI MALANG

Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...