terima kasih buat kalian semua..

Thursday, April 29, 2010

Panel khas kes remaja ditembak patut bebas campur tangan luar

ADA beberapa pengajaran yang boleh diambil iktibar daripada kejadian menimpa seorang remaja Aminulrasyid Amzah, 15, yang mati ditembak polis di Seksyen 11 di Shah Alam, Isnin lalu.

Pertama, ibu bapa dan penjaga hendaklah mengawasi anak remaja, terutama apabila mereka keluar rumah selepas waktu tengah malam. Kita berkongsi kesedihan dengan keluarga mangsa dan seperti mereka juga, kita mahu keadilan dalam siasatan berkisar kepada kejadian itu.

Namun, secara amnya kepada semua ibu bapa, awasilah anak dengan ketat dan disiplinkan anak remaja sebagai satu pendekatan yang boleh mengurangkan risiko mereka menjadi mangsa keadaan. Kita tidak boleh cuai terhadap anak kerana kita tidak tahu apa yang mungkin berlaku atau menimpa mereka ketika keluar rumah, lebih-lebih lagi pada waktu malam. Usia 15 tahun dan memandu kereta pula tentunya tanpa lesen, menjadi satu hal lain dan semua ini memerlukan pemantauan ibu bapa.

Kedua, pihak polis perlu sentiasa mematuhi piawaian prosedur operasi (SOP), iaitu bila waktu perlu melepaskan tembakan. Dalam kes membabitkan Aminulrasyid, hanya selepas siasatan selesai baru kita boleh tahu kepastian apa sebenarnya berlaku, mengapa polis melepaskan tembakan atau perlukah tembakan dilepaskan dan bagaimana pula keadaan ketika itu hingga polis terpaksa mengejar dan rakan mangsa melarikan diri. Semua ini memerlukan siasatan menyeluruh dan sehingga siasatan selesai, kita tidak boleh membuat andaian. Malah, kita juga tidak boleh sewenang-wenangnya mengecap seseorang itu sebagai penjenayah kecuali terbukti dia memang seorang penjenayah.

Ketiga, ahli politik jangan sama sekali masuk campur dalam tragedi seperti ini yang boleh mengusutkan lagi keadaan serta mengelak membuat sebarang kenyataan menuding jari. Kenyataan seperti mendesak polis supaya tidak melindungi atau menutup fakta tertentu dalam kes itu, bagaikan membuat andaian bahawa polis akan berbuat demikian. Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar sendiri sudah berjanji akan menjalankan siasatan dengan telus.

Kita juga sependapat dengan beliau bahawa jika siasatan mendapati ada pihak yang cuai, tindakan setimpal mesti diambil. Malah kita juga mahu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya turut mengelak membuat kenyataan media dan sama-sama serahkan kepada polis menyiasat supaya proses siasatan itu tidak diganggu oleh tekanan yang tidak sepatutnya.

Selebihnya, kita serah juga kepada panel khas diketuai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop untuk membuat siasatan menyeluruh yang kita semua harap dilakukan secara telus dan adil. Kita cadangkan supaya keahlian panel itu diperluaskan dengan memasukkan wakil NGO, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan badan lain yang berkaitan, andainya sesetengah pihak berpendapat ia perlu mendapat pandangan pihak ketiga yang tidak mempunyai kepentingan. - bharian

- tak dapat bayangkan bagaimana isu ini akan jadi sekiranya yg kene tembak ini berbangsa cina atau india..kenapa selalu terjadi bila isu yg melibatkan kepentingan melayu, ngo jadi macam bisu..ahli politik pun sama..

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...