terima kasih buat kalian semua..

Friday, April 16, 2010

Penderma darah dihargaikah?


SAYA merupakan seorang penderma darah tetap sejak 10 tahun lalu ingin memohon kerajaan agar melakukan sedikit penambahbaikan dari segi keistimewaan untuk para penderma.

Sejak berdekad lalu keistimewaan ini tidak pernah dinaik taraf sedangkan keperluan bekalan semakin meningkat saban hari.

Pada masa ini para penderma hanya menikmati rawatan pesakit luar secara percuma, rawatan perubatan dan wad percuma mengikut kelas bergantung pada jumlah dan tarikh akhir menderma.

Adalah satu jenaka tentang rawatan pesakit luar secara percuma, tidakkah selama ini pun rawatan pesakit luar di premis-premis kerajaan adalah percuma?

Apakah pula yang dimaksudkan dengan rawatan perubatan secara percuma,adakah ia termasuk segala pembedahan, x-ray, pakar dan sebagainya?

Soalan ini telah saya ajukan kepada beberapa pegawai perubatan di beberapa buah hospital dan jawapan yang diberikan sentiasa berlainan dan kurang memuaskan dengan kata lainnya mereka sendiri pun kurang arif.

Sekiranya penderma merupakan kakitangan kerajaan termasuk keluarganya pula, bolehlah dikatakan mereka langsung tidak menikmati sebarang keistimewaan kerana (hampir?) semuanya mereka boleh nikmati melalui kemudahan bagi kakitangan kerajaan.

Kementerian Kesihatan juga diharap agar mewartakan keistimewaan ini di semua premisnya kerana ada kejadian (seperti yang pernah disiarkan di akhbar beberapa tahun dulu) yang mana kakitangan hospital sendiri tidak mengendahkan 'hak-hak' penderma walaupun telah ditunjukkan buku menderma dari NBTS.

Mungkin kemudahan ini dapat dipanjangkan ke hospital-hospital swasta kerana difahamkan mereka juga ada mendapatkan bekalan dari tabung-tabung darah kerajaan.

Dengan lain kata mereka berniaga berbekalkan darah kami yang diberi percuma sedangkan bekalan hospital kerajaan sendiri sentiasa kritikal. Adakah perkara ini benar?

Kami sebagai penderma bukanlah ingin dilayan bagai raja tetapi biarlah keistimewaan yang diberi itu benar-benar istimewa.

Sebagai contoh untuk penambahan, percepatkan giliran menunggu bila hendak mendapatkan rawatan di hospital, kecualikan dari bayaran RM1 ketika mendaftar sebagai pesakit luar atau diberi pelekat untuk kemudahan tempat letak kereta di kawasan hospital.

Pihak kementerian juga diharap dapat mengeluarkan kad penderma bercip atau masukkan saja maklumat tentang penderma dalam MyKad seperti mana maklumat JPJ.

Sekiranya berlaku kemalangan contohnya, bagaimana pihak hospital hendak mengenalpasti mereka ini seorang penderma atau tidak dan berapa segera?

Saya juga adalah antara orang terawal mendaftar sebagai penderma di Pusat Transplan Negara dan hanya diberikan sekeping kad dari kertas keras sebagai pengenalan penderma dan nama juga ditulis sendiri.

Sedangkan MyKad pun boleh rosak inikan pula sekeping kad kertas. Adakah kerana kami ini sukarela maka kami hanya layak diuruskan secara lebih kurang sahaja?

Perkara-perkara sebegini mungkin nampak kecil tetapi bagi kami ia adalah tanda bagaimana 'kerja-kerja' kami ini dihargai.

Kalau pihak kerajaan mahu berikan lebih dari itu pun, mungkin ia akan dapat menarik lebih ramai penderma baru.

Kami tidaklah sampai hendak meminta ganjaran besar kerana dengan darah yang kami derma, tiada apa yang sama nilai dengannya.

Kami juga tidak meminta agar duit minyak, duit tol, duit parkir dan masa kami diganti.

Cukuplah dengan sedikit keistimewaan yang benar-benar istimewa sebagai tanda penghargaan.

CUCU TOK GAJAH

Kuala Lumpur

3 comments:

  1. Saya setuju 100%.....
    Yang ada sekarang ini hanyalah sepinggan mee hon goreng dan secawan kopi o.Kalau ada yang lain pun sudah dikira bernasib baik.Nak dapatkan sijil menderma..... jauh sekali !
    Nak ikutkan hati.... nak juga jual darah pada yang berkenaan.....
    Kerajaan jangan terlepas pandang kepada penderma darah.... mereka juga adalah saorang PEJUANG !
    Bagilah sedikit PENGITIRAFAN....

    ReplyDelete
  2. ya..sebelum ini saye pernah menderma sebanyak 3 kali..selepas itu, ditakdirkan saye masuk hospital..bile saye tunjuk kad merah (yg dikeluarka oleh kerajaan bg org yg menderma darah) pihak kakitangan hospital kate dh x laku...perhh!!!sakit hati dibuatnye..

    ReplyDelete
  3. Keistimewaan2 penderma darah yg dipaparkan pada buku sangatlah mengelirukan dan sukar difahami. Penggunaan ayat bahasa melayu yg teruk gagal memberi kefahaman sebenar. Jika ikut ayat2 sebenar--> Jika derma 1 kali maka terdapat kenyataan "(tidak termasuk bayaran X-ray dan pembedahan)". Seterusnya penyataan tersebut sudah tiada untuk 2,3 kali dan sterusnya.

    Maka seharusnya jika derma lebih 2 kali maka bayaran x-ray dan pembedahan percumalah. Selain itu juga seharusnya terdapat penyataan berbunyi seumpama "tempoh yang dinyatakan merujuk kepada tempoh dari tarikh terakhir menderma darah." Barulah jelas.

    Hopital lain aku x tahu tp hospital UKM mengecualikan bayaran RM20 untuk temujanji dengan doktor pakar untuk pekerja kerajaan dan penderma darah. Jimat RM20.

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...