terima kasih buat kalian semua..

Sunday, April 11, 2010

Penduduk Matu-Daro merana sering terputus bekalan elektrik

SAYA menyokong artikel dalam blog yang bertajuk ‘Sarawak terpinggir daripada arus pembangunan material dan spiritual’ kerana kebajikan dan taraf hidup rakyat khasnya di pedalaman, amat daif.

Saya sebagai penjawat awam yang berasal dari Semenanjung dan berkhidmat di Matu-Daro, Sarawak sudah lama berasa terpinggir daripada arus kemajuan dan keselesaan seperti dinikmati penduduk di Semenanjung.

Hampir enam tahun saya tinggal di Sarawak, bekalan elektrik daripada Perbadanan Pembekalan Letrik Sarawak (Sesco) atau Sarawak Electricity Services amat mengecewakan.

Berpuluh kali bekalan elektrik di sini terputus terutama pada Sabtu dan Ahad hingga kadangkala berlanjutan dari pagi ke malam.

Kami sudah letih bertanya di talian aduan Sesco kerana jawapan mereka amat mudah iaitu talian elektrik sedang diselenggara.

Jika ia diselenggara dua atau tiga bulan sekali kami faham, tetapi masalah ini sering berlaku. Bayangkan setiap Sabtu dan Ahad kami terpaksa duduk di rumah tanpa bekalan elektrik.

Lebih menyedihkan, kami terpaksa menunggu bekalan disambung hingga ke malam. Kadangkala kami tertanya-tanya adakah bekalan elektrik ini dicatu sehinggakan ia kerap terputus.
Keadaan bertambah buru apabila bekalan air turut terputus selepas gangguan elektrik berjam-jam lamanya.

Namun yang menghairankan walaupun bekalan elektrik sering terganggu, bil bulanan yang kami terima tetap tinggi.

Sudah banyak peralatan elektrik seperti laptop rosak dan hangus kerana blackout dan elektrik datang semula secara mengejut.

Saya sudah membuat aduan dan laporan kepada Suruhanjaya Tenaga. Malangnya, Sesco Sarawak menjawab ia bukan di bawah bidang kuasa mereka, tetapi dalam kuasa Unit Merinyu Elektrik di Kementerian Kemudahan Awam Sarawak.

Selepas aduan diajukan kepada unit itu, belum ada maklum balas daripada pihak berkenaan dan masalah gangguan bekalan elektrik masih menghantui kami di sini.

MUHADHIR,
Matu-Daro, Sarawak

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...