terima kasih buat kalian semua..

Thursday, April 22, 2010

Pengeluaran perkakas elektrik membazir tenaga patut dihenti

PENGGUNA patut mendapat pilihan yang lebih baik. Pilihan untuk mengurangkan bil elektrik sememangnya disukai tetapi pengguna tidak melangkah ke hadapan kerana kos pembelian produk cekap tenaga adalah mahal.

Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (Wecam) sudah lama mengutarakan idea untuk menghentikan penggunaan lampu pijar secara berperingkat daripada pasaran. Ini adalah langkah pertama dan sepatutnya disusuli tindakan memberhentikan produk membazir tenaga yang lain.

Wecam gembira kerajaan memandang serius cadangan kami dan memulakan dengan lampu pijar. Wecam juga adalah ahli kumpulan di bawah Suruhanjaya Tenaga yang akan melaksanakan pemberhentian penggunaan lampu pijar. Kami berharap pelaksanaan yang lancar dapat membantu pemberhentian produk membazir tenaga yang lain dalam masa terdekat. Harga lampu pijar adalah hampir 10 kali lebih murah daripada lampu kalimantang termampat (CFL).

Bagaimanapun, kadar hayat purata CFL di antara lapan hingga 15 kali lebih tinggi daripada lampu pijar. Ini bermakna dalam masa lima tahun, secara purata satu lampu CFL digunakan berbanding hampir 10 lampu pijar.

Kos pembelian adalah hampir sama dalam masa lima tahun. Dalam konteks penjimatan kos bagi 10 lampu untuk lima tahun, kita dapat lihat lampu CFL 15 watt memberikan kos elektrik sebanyak RM358 berbanding lampu pijar 75 Watt sebanyak RM1,790 jika digunakan bagi tempoh enam jam sehari.

Kita dapat menjimatkan RM1,432 dalam masa lima tahun. Anda boleh membuat kira-kira membandingkan kecekapan tenaga di www.switch.org.my untuk mengetahui secara lanjut.
Dalam jangka masa panjang, semua peralatan cekap tenaga dapat mengurangkan kos operasi peralatan. Ini adalah perbandingan yang selalu tidak diendahkan oleh pengguna apabila membeli peralatan elektrik.

Mengenai isu pengurusan sisa CFL, Wecam sudah pun mengutarakan masalah ini kepada Suruhanjaya Tenaga. Kita akan melihat kepada kaedah pengambilan balik dan kitar semula yang efektif. Ini bukan sistem baru, tetapi kita perlu merujuk kepada model yang sesuai dengan keadaan di Malaysia.

Di sebabkan harga CFL tinggi, Wecam mencadangkan bantuan pinjaman kepada golongan berpendapatan rendah melalui syarikat bekalan elektrik atau koperasi. Ini dapat membantu mereka membeli lampu CFL dan membayar secara ansuran.

Layari www.switch.org.my untuk mendapatkan lebih banyak maklumat bagaimana anda boleh melakukan langkah ringkas untuk menjadi cekap tenaga.

PIARAPAKARAN SUBRAMANIAM,
Setiausaha Agung,
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (Wecam)

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...