terima kasih buat kalian semua..

Thursday, April 15, 2010

Pengguna tidak setuju caj kesesakan

Pengguna tidak bersetuju dengan caj kesesakan jalan raya yang akan dikuatkuasakan di ibu negara apabila Rang Undang-Undang Pengangkutan Awam Darat 2010 diluluskan di Dewan Rakyat.

Mereka menyifatkan caj berkenaan sebagai membebankan dan menambah kos rakyat, sedangkan perkhidmatan pengangkutan awam selalu tergendala dan tidak berjalan lancar.

Pemandu bas, Ardinal Yahya, 49, berkata, apabila kerajaan mengenakan caj itu, pihak syarikat pengangkutan awam akan memindahkan beban itu kepada penumpang.

"Akibatnya, tambang bas akan naik dan ia akan membebankan mereka yang menggunakan pengangkutan awam.

"Sepatutnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ambil perhatian terhadap kenderaan yang diletakkan di bahu-bahu jalan seperti di Bukit Bintang, KLCC dan Pasar Seni."

"Kenderaan seperti ini yang menyebabkan kesesakan lalu lintas di ibu negara," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Akhbar baru-baru ini melaporkan, pengguna kenderaan akan dikenakan caj kesesakan bagi kawasan tertentu di ibu negara sebaik sahaja Rang Undang-Undang Pengangkutan Awam Darat 2010 diluluskan.

Menurut rang undang-undang yang dibentangkan di Dewan Rakyat, kadar caj serta kawasan-kawasan yang terlibat akan ditentukan oleh menteri berkaitan.

Mereka yang gagal membayar caj berkenaan mengikut rang undang-undang itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 dan penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Pegawai keselamatan, Abdul Rahman Kadir, 51, berkata, kerajaan harus meningkatkan kecekapan pengangkutan awam terlebih dahulu sebelum melaksanakan caj itu.

"Mungkin ujian kecekapan ini boleh dibuat dalam tempoh enam bulan untuk memastikan pengangkutan awam ini benar-benar efisien.

"Pada masa ini, pengangkutan awam masih tidak sempurna seperti perjalanan selalu tergendala, tidak tepat pada masanya dan tidak sampai ke destinasi sebenar," katanya.

Dalam pada itu, pemandu teksi Lembah Klang, Yasin Yusof, 46, berkata, kerajaan harus mencari alternatif lain sebelum melaksanakan caj itu.

Katanya, kerajaan tidak seharusnya dengan mudah melepaskan beban kepada orang ramai tanpa mengambil langkah penyelesaian lain yang lebih berkesan.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...