terima kasih buat kalian semua..

Monday, April 26, 2010

Pensyarah perguruan mengadu penat, letih kerja

PADA Sabtu, 10 April 2010, saya ada membaca sebuah artikel bertajuk Seksa jadi guru dan dalam laporan yang sama juga turut menyatakan sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk mengkaji bebanan tugas guru.

Saya juga hendak mengucapkan syabas kepada Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) atas keprihatinan persatuan itu terhadap bebanan guru sebagaimana dikongsi dalam ruangan pendapat pada 10 April 2010.

Saya akui cabaran berada dalam bidang pendidikan bukannya mudah kerana saya juga seorang pendidik walaupun bukan guru. Saya hendak menarik perhatian Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Bahagian Pendidikan Guru bahawa kami, pensyarah di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) juga berhadapan dengan masalah yang sama.

Kemuncak kepada beban itu kami terpaksa tanggung dengan bekerja lebih masa setelah Maktab Perguruan di seluruh negara dinaikkan taraf kepada Institut Pendidikan Guru pada tahun 2008.

Untuk makluman, kerjaya pendidik tidak sama seperti kerjaya lain. Sebagai pensyarah, tugasan kami tidak selesai di pejabat, malah dibawa ke rumah.

Selain mengajar, kami terpaksa menyemak tugasan pelajar, menggubal kertas soalan, mencari bahan dan membuat power point untuk pengajaran pada keesokan hari, di samping melaksanakan pelbagai lagi tugasan dalam jawatankuasa di peringkat IPGM.

Lazimnya tugasan yang tidak sempat disiapkan di pejabat akan disiapkan di rumah. Bayangkan kami habis bekerja di IPGM pada pukul 5 petang setiap hari dan terpaksa pula melalui lebuh raya dalam keadaan jalan raya sesak pada waktu kemuncak, sehinggakan pukul 6.30 petang pun saya dan kebanyakan rakan sekerja belum tentu lagi dapat memijak tangga rumah.

Kami bertolak dari rumah ke pejabat seawal 6.30 pagi dan sampai ke rumah pula paling awal 7 malam. Inilah rutin yang terpaksa kami hadapi setiap hari.

Seperti yang telah saya katakan, masalah kami tidak banyak bezanya dengan guru di sekolah, malah mungkin lebih.

Paling menyedihkan, saya berasa seolah-olah tidak ada pihak yang berjuang atau prihatin dengan masalah kami, walaupun kami juga membentuk anak bangsa dan berada dalam bidang pendidikan sebagaimana guru yang nasibnya mendapat pembelaan Kesatuan Perkhidmatan Keguruan Kebangsaan (NUTP).

Kadang-kadang saya berasa terlalu tertekan apabila memikirkan rutin yang terpaksa saya lalui sehinggalah saya pencen kelak. Apa salahnya jika kami di IPGM dibenarkan pulang seperti sediakala pada jam 1.30 tengah hari?

Pulang pada waktu itu, bukan bermaksud kami boleh bergoyang kaki, tetapi supaya kami dapat menyegarkan diri dan menyambung semula tugasan dalam keselesaan suasana di rumah.

Ini kerana walaupun berada di IPGM sehingga jam 5 petang, sebaik sahaja matahari berada tegak di atas kepala, kami tidak lagi produktif dan hilang daya tumpuan. Buktinya ada yang mengambil masa rehat sesingkat satu jam dari jam 1 tengah hari hingga 2 petang untuk tidur.

Pada pendapat saya, lebih baik masa tersebut digunakan secara berkualiti dengan bekerja di rumah mengikut kesesuaian waktu kami sendiri.

Saya juga berharap agar masyarakat, kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) dapat menunjukkan keprihatinan yang sama kepada kami, pensyarah di IPGM.

Besarlah harapan kami agar NUTP dapat menimbangkan untuk membawa pensyarah di seluruh negara berpayung di bawah kesatuan keguruan terbesar itu.

Ini kerana ramai juga dalam kalangan kami ketika menjadi guru, sebelum berkhidmat di IPGM, mendaftarkan diri dalam NUTP dengan harapan nasib kami yang berada dalam bidang pendidikan mendapat pembelaan sewajarnya.

PENSYARAH PENAT

Kota Bharu

1 comment:

  1. Menjadi pensyarah memang penat namun ianya berlainan dengan penyarah di universiti yang diberikan masa dan wang utk buat kajian dan cuma mengajar 2-3 jam je sehari... Namun bagaimana dgn kepenatan guru bahasa yang mengajar di Universiti yang bergelar guru tetapi NUTP tidak memayungkan mereka. Guru2 bahasa (gred DG)terpaksa mengajar selama lebih daripada 6 - 8 jam sehari dan kengkadang sampai malam. Ada diantara mereka yang dah bekerja lebih daripada 15 tahun tapi masih di gred yang sama dan tidak diberikan peluang utk sambung belajar?? Oleh yang demikian seseorang pengajar ada masalah masing2 dan ianya perlu diselaraskan kepada semua pengajar tidak kira pengajar di tadika, sekolah atau universiti, ia perlu diseragamkan... kerana mereka pengajar.

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...