terima kasih buat kalian semua..

Monday, April 12, 2010

Pondok sengsara


Seorang peniaga air soya bersama isteri dan tiga anak terpaksa bersesak dalam sebuah bangsal di pinggir bandar ini, selepas rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sumbangan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan yang didiami musnah akibat kebakaran, Januari lalu.

Kesulitan itu terpaksa ditempuhi pasangan Md Mat Saad, 40, dan isterinya, Azira Hassan, 33, serta anak mereka berusia antara dua hingga 10 tahun kerana kebakaran itu turut memusnahkan rumah dua saudara mereka yang tinggal berdekatan.

Mat berkata, beliau sekeluarga tiada pilihan selain terpaksa mendiami pondok serba kekurangan itu yang dibinanya dengan menggunakan papan serta zink sumbangan orang ramai yang bersimpati ekoran kebakaran yang berlaku.

"Walaupun pondok ini tidak selesa, kami tiada pilihan kerana kebakaran itu turut memusnahkan dua rumah saudara berjiran.

"Berikutan itu, saya membina pondok ini sebagai sebagai tempat tinggal dan masa sama meneruskan usaha menghasilkan air soya untuk jualan bagi menyara hidup.

"Hasil jualan air soya setiap hari sekadar cukup makan untuk saya sekeluarga, namun dalam keadaan sekarang, untuk membina rumah kembali adalah sesuatu yang mustahil,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Wakaf Che Yeh, di sini.
Beliau memberitahu demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Pengarah JPP Kelantan, Makhtar Mustapa yang meninjau gerakan pegawainya menjalankan bancian penduduk miskin dan ditimpa musibah di sekitar bandar ini, semalam.

Bangsal yang didiami keluarga pasangan terbabit berdindingkan zink usang dengan sebahagiannya berlantaikan tanah.

Ruang dapur pondok turut menjadi tempat tidur keluarga itu. Ruang dalam bangsal itu dipenuhi longgokan barangan terutama pakaian terpakai yang disumbangkan oleh orang ramai kepada keluarga terbabit.

Md Mat berkata, rumah mereka yang musnah akibat kebakaran itu, sebenarnya baru saja siap dibaik pulih selepas menerima sumbangan daripada kerajaan pusat menerusi JPP.

"Saya sekeluarga kini buntu memikirkan usaha membina semula rumah yang pastinya sesuatu yang mustahil untuk dilakukan ekoran sumber kewangan yang terhad.

"Kini, saya berharap JPP dapat memberi sumbangan bagi pembinaan semula rumah ini untuk keluarga berteduh dengan lebih selesa," katanya.

Azira berkata, keadaan pondok sempit dan uzur itu memang tidak selesa tetapi mereka sekeluarga tiada pilihan kerana tidak mampu membina rumah baru.

Katanya, kebakaran berlaku akibat saluran dapur gas yang digunakannya untuk memasak air soya, meletup secara tiba-tiba menyebabkan api merebak pantas memusnahkan tiga rumah papan di situ.

Sementara itu, mengulas kesulitan hidup keluarga terbabit, Makhtar berkata, pihaknya akan mengambil langkah segera bagi meringankan kehidupan keluarga berkenaan.

"Keluarga ini layak dipertimbangkan bagi mendapatkan bantuan pembinaan rumah baru PPRT yang bernilai RM33,000," katanya yang berkesempatan meninjau tiga rumah penduduk miskin sekitar bandar ini termasuk dua lagi di Kampung Bayam, Jalan Datuk Lundang.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...