terima kasih buat kalian semua..

Sunday, April 11, 2010

PPSMI kurangkan minat pelajar Melayu ikuti bidang kritikal

TERLEBIH dulu saya ingin merakamkan sokongan kepada kerajaan yang mengambil langkah positif mengembalikan sistem pembelajaran Sains dan Matematik menggunakan bahasa Melayu. Di samping itu, langkah memanjangkan waktu pengajaran Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu pula mampu meningkatkan penguasaan bahasa ini di kalangan semua murid.

Saya seorang guru, manakala suami pula doktor pakar. Kami menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ketika di sekolah dan suami sudah membuktikan bahawa walaupun dengan latar belakang itu, beliau cemerlang dalam bidang perubatan dan seterusnya menjadi pakar.

Saya terpanggil untuk menulis mengenai trend pelajar Melayu yang kurang meminati bidang perubatan selepas membaca artikel Dr Aminudin Mansor dalam ruangan Minda, akhbar Harian Metro, 27 Mac lalu.

Aminudin menyataka ada bukti berlaku trend pengurangan minat pelajar Melayu memilih bidang kritikal termasuk perubatan sejak akhir-akhir ini. Saya tidak dapat memberi kepastian apakah sebenarnya punca fenomena ini, tetapi saya tertanya-tanya adakah ia mempunyai kaitan dengan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi Sains dan Matematik di sekolah.

Ini berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya yang terbabit secara langsung di sekolah sebagai pendidik. Saya dapat merasakan murid sukar memahami mata pelajaran Sains dan Matematik lebih-lebih lagi di kalangan murid di kelas tercorot serta dari pedalaman.

Saya juga dapat berasakan peritnya rakan setugas menyampaikan pendidikan Sains dan Matematik yang bukan bahasa ibunda murid mereka.

Andaian menjadi nyata apabila saya dan suami melihat kesan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) terhadap anak kami.
Kedua-dua anak yang menamatkan pelajaran peringkat menengah di sekolah berasrama penuh berteraskan sains menyatakan antara sebab mereka tidak meminati mata pelajaran Sains kerana menggunakan bahasa Inggeris.

Keputusan SPM yang mereka peroleh, di sebalik mendapat A kebanyakan mata pelajaran, majoriti A itu lebih terarah kepada mata pelajaran bukan sains.
Mereka akhirnya memilih bidang selain sains dan perubatan.

Walaupun ini pemerhatian sendiri semata-mata, bukan kajian terperinci, saya beranggapan kerajaan patut melakukan kajian terperinci mengenai kesan PPSMI terhadap minat dan kemampuan anak bangsa kita.

Kita tidak mahu fenomena walaupun pencapaian keseluruhan sesuatu peperiksaan nampaknya lebih baik, apabila dibuat kajian terperinci ada trend menunjukkan peratusan itu bukan disumbangkan pencapaian pelajar Melayu.

Kita juga tidak mahu berlaku manipulasi keterlaluan terhadap graf pemarkahan sehingga keputusan tidak mencerminkan pencapaian sebenar.

PEJUANG BAHASA MELAYU,
Alor Setar

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...