terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, April 6, 2010

Restoran 'mafia', SPRM diminta bertindak

BIADAB dan tidak bertanggungjawab. Itulah ungkapan yang dapat digambarkan mengenai pengusaha restoran 'mafia' yang beroperasi di Dataran Sunway, Kota Damansara di bawah pentadbiran Majlis Bandar Raya Petaling Jaya (MBPJ).

Setiap petang hingga malam ramai pengusaha restoran meletak kerusi meja di atas jalan raya sesuka hati mereka tanpa mempedulikan kesesakan lalu lintas yang berlaku. Keadaan ini diburukkan lagi dengan kenderaan yang double-park sehingga kadang kala berlaku perbalahan sesama pemandu.

Peniaga di kawasan ini telah lama mengeluh mengenai tindakan penguat kuasa MBPJ yang seolah-olah tidak bermaya bertindak ke atas pengusaha restoran yang jelas membelakangkan undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT).

Peniaga juga mengadu pelanggan tetap mereka juga sudah tidak mahu datang ke Dataran Sunway kerana kesesakan trafik dan sistem lalu lintas yang tidak teratur sehingga menjejaskan perniagaan mereka.

Tidak kurang juga peniaga yang telah 'bungkus dan gulung tikar' kerana masalah yang berlaku.

Mengapakah keadaan anarki ini boleh berlaku? Adakah MBPJ telah menyerahkan kuasa mereka kepada 'mafia' tempatan sehingga mereka bermaharajalela di kawasan terbabit?

Sesungguhnya ada perkara dan masalah yang PBT boleh bertolak-ansur tetapi janganlah sehingga membeban dan memudaratkan orang ramai.

Jika Datuk Bandar dan MBPJ bertindak tegas terhadap golongan ini sudah pasti tidak timbul masalah ini. Apa yang dirisaukan adalah kemungkinan gejala rasuah mengelabui masalah yang berlaku sehingga tidak dipedulikan langsung pihak yang diamanahkan rakyat untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

Pihak MBPJ perlu tegas dan berkesan dalam melaksanakan tindakan penguatkuasaan ke atas peniaga dan pengusaha restoran yang ingkar sehingga mereka mematuhi peraturan sedia ada.

MBPJ juga perlu berani mengheret golongan ini ke muka pengadilan dan jika terpaksa menutup perniagaan mereka, tindakan terakhir ini perlu diambil demi memartabatkan undang-undang bagi mengatasi masalah yang berterusan.

Oleh kerana ancaman pengusaha restoran mafia di Dataran Sunway sudah terlalu lama serta tidak menunjukkan perubahan positif, pihak Datuk Bandar dan MBPJ perlu meneliti kemungkinan gejala rasuah dalam kegagalan pelaksanaan penguatkuasaan yang berkesan.

Pihak Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) boleh diharapkan untuk menyiasat masalah mafia yang berleluasa ini bukan sahaja di kawasan tersebut malah di dalam keseluruhan operasi pentadbiran MBPJ.

PEMBAYAR CUKAI

Kota Damansara

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...