terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, April 21, 2010

Sukarnya mendapat kerja hanya kerana memakai tudung


SAYA merupakan pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Saya menetap di luar bandar dan perawakan saya ialah seorang gadis bertudung sesuai dengan identiti saya sebagai seorang Muslimah.

Sementara menunggu peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya, saya mengambil kesempatan menggunakan masa yang terluang untuk bekerja.

Harapan saya agar pendapatan yang diperoleh nanti dapat menampung sedikit sebanyak keperluan saya, terutama untuk memulakan pengajian nanti.

Saya memulakan langkah mencari pekerjaan di sebuah hotel yang terletak di Bandaraya Bersejarah selepas terbaca iklan mengenai peluang pekerjaan yang ditawarkan. Saya memohon untuk bekerja di bahagian pembersihan (house keeping).

Penemuduga itu bersedia menerima saya sekiranya saya bersedia untuk tidak memakai tudung.

Penemuduga juga memberitahu ia adalah syarat 'normal' untuk bekerja di hotel. Mungkin salah saya kerana tidak mengetahui akan syarat itu kerana kehidupan saya yang tidak terdedah dengan suasana di hotel.

Mungkin juga tidak keterlaluan jika dikatakan itulah kali pertama saya menjejakkan kaki di hotel. Namun jauh di sudut hati saya terselit rasa kesal kerana saya tidak berupaya menerima pekerjaan tersebut kerana syarat 'normal' itu.

Selepas itu saya turut memohon pekerjaan di sebuah pusat membeli-belah yang baru dibuka.

Banyak kedai yang menawarkan jawatan kosong sebagai pembantu kedai. Tetapi apabila ditanya majikan turut meletakkan syarat 'normal' itu untuk saya diterima bekerja. Malahan kedai yang menjual barang permainan untuk kanak-kanak turut meletakkan syarat tersebut.

Saya berasa begitu tersinggung dengan keadaan ini. Saya tidak faham. Islam ialah agama rasmi negara tetapi sensitiviti berhubung agama ini diabaikan.

Sememangnya bukan salah mereka meletakkan syarat 'normal' itu. Tetapi adakah menjadi kesalahan saya berpenampilan sewajarnya yang ditetapkan oleh agama saya?

Mungkin penampilan saya yang bertudung tidak menarik perhatian untuk pelanggan berkunjung ke kedai mereka atau menjejaskan imej mereka yang sering menjadi tumpuan pelancong asing.

Mungkin juga isu yang cuba saya ketengahkan ini kelihatan remeh kepada sesetengah pihak, namun jujur saya katakan, ia agak berat untuk gadis bertudung seperti saya.

Bagaimana nasib sesetengah gadis bertudung yang begitu terdesak memerlukan pekerjaan untuk menampung kehidupan mereka? Adakah kami harus mengorbankan identiti diri demi mencari rezeki di zaman moden ini?

HYENA

Negeri Sembilan

1 comment:

  1. Salam Cik Hyena,
    Dimanakah tempat yang dimaksudkan itu,dinegeri mana?. Saya perhatikan ada juga kakitangan hotel yang bertudung bekerja. Sepatutnya mereka tak boleh meletakkan syarat sebegitu. Cik Hyena dapatkan alamat penuh tempat tersebut dan rujukkan kes ini kepada Kementerian Sumber Manusia, mesti ada penyelesaian.

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...