terima kasih buat kalian semua..

Thursday, April 1, 2010

Surau macam rumah kongsi


JOHOR BAHRU 31 Mac - Sedih dan mengaibkan! Demikian keadaan surau di Taman Ehsan Jaya di sini yang hanya menyerupai rumah kongsi pekerja binaan warga asing.

Di sebalik deretan rumah berharga kira-kira RM170,000 sebuah itu, amat memalukan apabila melihat hanya terdapat sebuah kabin usang yang dijadikan surau untuk umat Islam di situ beribadat.

Keadaan itu yang berterusan sejak 2005 tentunya 'mengaibkan' penduduk beragama Islam yang mendiami kira-kira 80 buah rumah di taman tersebut.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Surau Al-Ihsan, Ramlee Kidon, 49, berkata, kedaifan surau tersebut berpunca daripada tapak yang belum diperoleh.

Menurutnya, ekoran itu pihaknya dan masyarakat Islam di taman itu tidak dapat mengeluarkan perbelanjaan untuk membina surau yang lebih selesa.

"Kami bukan meminta wang untuk membina surau, sebaliknya mahukan tanah ini diberi status tapak surau.

"Sebelum ini ada individu yang berhasrat menderma sebanyak RM200,000 untuk membina surau, namun tidak berani menderma akibat tanah ini belum mendapat status tapak surau," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Bendahari jawatankuasa berkenaan, Sunawan Sarip, 41, pula mendakwa, masalah status tapak surau itu berpunca daripada tindakan pemaju mengubah pelan asal kawasan perumahan tersebut.

"Disebabkan pelan asal menunjukkan tapak surau disediakan di sini, jadi penduduk Islam membeli unit-unit rumah berdekatan tapak surau itu.

"Bagaimanapun, pemaju kemudiannya mahu mengubah lokasi tapak surau ke tempat lain sehingga menimbulkan bantahan penduduk muslim dan ini menyebabkan hingga kini, status tapak surau masih belum diperoleh," katanya.

Pihaknya telah menghantar permohonan kepada Pejabat Tanah dan Daerah negeri untuk mendapatkan status tapak surau tersebut, bagaimanapun ia ditolak atas alasan pemaju telah mengubah lokasi tapak ke tempat lain.

"Kami tidak mahu tapak surau ini dipindahkan ke tempat lain kerana kami sememangnya memilih rumah berdekatan surau," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Rosdi Ramli, 42, berkata, surau kabin sementara itu dibina adalah hasil kutipan derma orang ramai sebanyak RM50,000.

Mengikut perancangan asal, surau kabin itu hanya dibina untuk bertahan selama dua tahun sementara menunggu untuk mendapat status tapak surau.

"Sehingga kini, masih belum dapat status, jadi struktur binaan surau semakin tidak dapat bertahan.

"Sebahagian lantai surau yang diperbuat daripada besi dan papan telah patah, menyebabkan rasa tidak selesa malah diragui tahap keselamatannya," katanya.

Sehubungan itu, Rosdi meminta agar semua pihak termasuk Pejabat Tanah dan Daerah negeri, pejabat agama dan pemaju perumahan mengekalkan tapak surau sedia ada untuk kepentingan penduduk.

Oleh HAMDAN TAWADI

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...