terima kasih buat kalian semua..

Thursday, April 29, 2010

Syor benarkan pembetulan e-filing

E-FILING adalah satu mekanisme yang cukup membanggakan sejak dilancarkan beberapa tahun lalu. Saya adalah antara pengguna terawal aplikasi ini. Tidak dinafikan aplikasi itu cukup memudahkan serta dapat memastikan tiada masa terbuang untuk mengisi serta mengepos borang secara fizikal.

Pembayar cukai juga tidak perlu membuang masa untuk ke cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Bagaimanapun, ada satu kelemahan yang nyata kepada aplikasi itu dan sepatutnya diambil tindakan wajar oleh pihak LHDN.

Kelemahan yang dimaksudkan ialah aplikasi terbabit tidak membenarkan pembayar cukai untuk membuat sebarang pembetulan setelah borang itu ditandatangani secara digital dan dihantar. Hampir semua pembayar cukai individu bukanlah kerani terlatih dalam mengisi borang berkaitan, maka tidak mustahil sekiranya berlaku sebarang kesilapan walaupun borang itu sudah berulang kali disemak.

Situasi inilah yang berlaku kepada saya. Saya membuat panggilan ke LHDN untuk memohon agar borang itu di ‘reset’ semula tetapi pegawai LHDN menyatakan proses itu tidak dibenarkan oleh sistem.

Sebagai penyelesaian, saya diminta membawa dokumen berkaitan ke cawangan LHDN terdekat. Sebagai sebuah negara yang menuju ke arah kerajaan digital sepenuhnya, maka situasi ini sepatutnya tidak wajar terjadi.

Adalah sesuatu yang menyusahkan sekiranya pembayar cukai diminta ke cawangan LHDN bagi membuat sedikit pembetulan.

Malah pembaziran dari sudut kewangan dan masa pasti terjadi. Saya ingin mencadangkan agar LHDN menimbangkan agar pembayar cukai dibenarkan membuat pembetulan secara online walaupun borang itu sudah ditandatangani secara digital.
Tempoh masa pembetulan boleh dibuka sehingga tarikh tutup penyerahan borang. Inisiatif ini bakal membolehkan aplikasi e-filing berada pada tahap sempurna dan dapat digunakan tanpa menyusahkan mana-mana pembayar cukai. Semoga cadangan saya diambil tindakan sewajarnya bagi menyokong dasar e-kerajaan.

PENYOKONG E-KERAJAAN,
Kamunting, Perak

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...