terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, April 28, 2010

Tanah Kedutaan Malaysia di Jakarta kena ceroboh

KIRA-KIRA 12 tahun lalu Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia memiliki sebidang tanah di Kemang Raya, Jakarta Selatan.

Di situlah terletak kediaman rasmi duta besar. Bagaimanapun pada 1998 ketika Indonesia dilanda huru-hara akibat tindakan reformasi menjatuhkan Presiden Suharto, tanah berkenaan telah diduduki oleh penduduk tempatan.

Pengawal keselamatan yang menjaga kediaman berkenaan menerima wang suapan sebanyak Rp35 juta atau kira-kira RM12,000 dan terus melarikan diri bersama wang berkenaan dan membiarkan tanah berkenaan diduduki oleh sekumpulan penduduk. Lebih tepat lagi oleh sekumpulan orang Ambon yang cukup dikenali sering terlibat dalam persengketaan tanah di Jakarta.

Tanah berkeluasan 4,950 meter persegi dibeli oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1971 daripada Rumphus Erwin Sondakh. Selepas itu ia diduduki oleh Frederik Matheus Pietersz. Penceroboh berkenaan telah menjualnya kepada Mulyo Setiawan.

Pada tahun 1999 Mulyo telah memfailkan bantahan di mahkamah berikutan hak milik beliau ke atas tanah berkenaan dibatalkan, tetapi telah ditolak.

Mulyo seterusnya mengajukan rayuan kepada mahkamah yang lebih tinggi dan permohonannya kali ini ditunaikan.

Bagaimanapun pada 2001, Kedutaan Besar Malaysia mengemukakan rayuan ke Mahkamah Agung Indonesia dan akhirnya pada 2004 mahkamah memutuskan bahawa tanah itu adalah milik kerajaan Malaysia.

Namun sepanjang tempoh itu Mulyo terus menduduki tanah berkenaan yang kini mempunyai beberapa buah rumah kediaman, juga digunakan sebagai tempat letak kenderaan.

Sepatutnya pada 21 April lalu operasi mengusir penceroboh tanah milik Malaysia dilakukan, tetapi sehari sebelum tarikh tersebut pihak berkuasa tempatan dan Kementerian Luar Indonesia memaklumkan ia ditangguhkan kepada suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian. Keputusan itu memang cukup mengecewakan bagi pihak Malaysia, kerana usaha selama 12 tahun ini yang telah menelan belanja jutaan ringgit akhirnya tidak membuahkan hasil.

Sebenarnya dalam setiap kali pertemuan di antara Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Indonesia, isu berkenaan akan dibangkitkan. Setiap kali itu juga janji demi janji diberikan bahawa isu tersebut akan diselesaikan. Begitu juga dalam pertemuan para pemimpin mahu di peringkat kementerian atau kedutaan, isu yang sama turut dibangkitkan.

Sedangkan jika mengikut Konvensyen Geneva tanah yang dimiliki oleh sebuah kedutaan adalah dianggap sebagai sebuah negara. Ini bermakna tanah berkenaan adalah sebahagian tanah air Malaysia. Menceroboh dan menduduki tanah berkenaan adalah sama juga dengan menceroboh kedaulatan Malaysia.

Janganlah kerana hanya tanah 'sekangkang kera' itu terus menjadi duri dalam daging kepada hubungan baik Malaysia dan Indonesia. Bayangkanlah jika rumah kedutaan besar Indonesia di Kuala Lumpur dirampas dan diduduki oleh orang seperti Mulyo dan pihak kerajaan termasuk polis serta pihak berkuasa tempatan hanya 'memejamkan mata'. Apakah perasaan rakyat Indonesia?

Oleh BORHAN ABU SAMAH

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...