terima kasih buat kalian semua..

Monday, April 26, 2010

Telco: Pelajar diperangkap?

KERAKUSAN syarikat telekomunikasi (telco) untuk mencari keuntungan amat keterlaluan. Mereka tidak mengenal erti kemanusiaan malah secara berterusan berusaha mencari keuntungan tanpa memikirkan beban atau kesusahan orang lain.

Contohnya, sebuah syarikat telekomunikasi di Malaysia telah memperkenalkan pelbagai pakej untuk ditawarkan kepada pelanggan. Dengan menggunakan pusat membeli-belah sebagai lokasi utama, pegawai dari syarikat ini akan ‘memerangkap’ pelajar sekolah untuk menerima tawaran pakej mereka.

Dengan penjelasan yang menyakinkan, mereka mempengaruhi pelajar tersebut untuk menyertai pakej tersebut tanpa memikirkan beban yang akan ditanggung oleh pelajar tersebut untuk membayar bil bulanan. Terdapat pelajar yang diberikan dua pakej yang sama dan diarahkan menandatangani borang persetujuan untuk menyertai pakej tersebut.

Persoalan yang timbul ialah bagaimana pelajar itu hendak membayar bil bulanan sedangkan mereka masih belajar dan tidak mempunyai pendapatan bulanan. Tidakkah syarikat telekomunikasi tersebut dapat memikirkan bahawa ia akan menjadi beban kepada pelajar tersebut dan akhirnya akan menjadi liabiliti kepada ibu bapa.

Tidakkah mereka terfikir bahawa bukan semua ibu bapa mampu untuk membayar bil telefon tersebut.

Setelah pelajar memberitahu ibu bapa mereka tentang pakej syarikat telekomunikasi itu, ibu bapa pelajar yang tidak bersetuju dengan pakej itu telah menelefon syarikat berkenaan untuk membatalkan pakej tersebut dan syarikat telekomunikasi itu telah membatalkannya.

Tetapi setelah sebulan syarikat telekomunikasi ini menghantar bil bulanan dan alangkah terkejutnya ibu bapa apabila anak mereka dipaksa membayar bil walaupun pakej tersebut telah dibatalkan dan lebih mengejutkan pelajar tersebut telah didaftarkan dua akaun berasingan.

Ibu bapa pelajar telah menelefon semula syarikat telekomunikasi tersebut dan menanyakan tentang bil yang dituntut dan jawapan yang diterima amat mengecewakan.

Syarikat tersebut menyatakan bahawa sekiranya ingin membatalkan pakej tersebut bil bulanan itu terpaksa dibayar terlebih dahulu.

Alternatif lain yang dicadangkan ialah supaya ibu bapa pelajar pergi membuat laporan polis dan mendapatkan akuan sumpah bagi membatalkan bil bulanan itu. Bukankah ini menyusahkan ibu bapa?

Mengapa ibu bapa perlu bersusah payah membuat laporan polis dan mendapatkan akuan sumpah untuk membatalkan pakej tersebut?

Sekiranya bil bulanan itu dibayar sebelum dibatalkan, bukankah bermakna syarikat telekomunikasi itu mendapat ‘keuntungan atas angin’ sedangkan pakej tersebut langsung tidak digunakan?

Sekiranya perkara ini tidak dibendung syarikat telekomunikasi ini akan bertungkus-lumus untuk menjerat pelajar dan remaja di pusat membeli-belah dan akhirnya mereka dengan mudah akan mendapat ‘keuntungan atas angin’. Inilah satu contoh bagaimana syarikat telekomunikasi ini mencari keuntungan.

Mohon pihak berwajib menyiasat dan membendung perkara ini daripada terus berleluasa.

Syarikat telekomunikasi ini sepatutnya mendapatkan kebenaran daripada ibu bapa terlebih dahulu sekiranya hendak menawarkan sebarang pakej kepada pelajar yang masih menuntut supaya ia tidak membebankan ibu bapa untuk membayar bil bulanan.

AYEESAN

KKB

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...