terima kasih buat kalian semua..

Monday, April 12, 2010

Tiada air, elektrik

KUCHING: Ibarat ‘rumah siap, pahat berbunyi’. Itulah nasib yang menimpa seorang penerima Rumah Mesra Rakyat (RMR) di Kampung Bintawa Ulu dekat sini.

Biarpun rumah yang dibina untuknya sudah siap dua minggu lalu, ia masih belum boleh diduduki hinggalah sekarang.

Rumah berkenaan juga terlewat tiga bulan untuk disiapkan, namun pemiliknya, Jahaimi Bujang, 35, tetap berpuas hati kerana kediamannya itu sudah diserahkan kepadanya oleh pihak Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) pada 30 Mac lalu.

Bagaimanapun timbul tanda tanya mengapa rumahnya itu tidak mempunyai bekalan air dan elektrik sedangkan ia adalah keperluan asas yang wajib sebelum proses berpindah masuk dapat dilakukan.

Jarak antara rumah Jahaimi dan tiang elektrik tidak sampai 10 meter dengan paip air utama hanya terletak di tepi jalan, namun apa yang mengejutkan kerja pemasangan tidak boleh dilakukan selagi dia belum menjelaskan wang hampir RM4,000.

“Pihak kontraktor yang dilantik mendakwa kos penyambungan elektrik dan air tidak termasuk di dalam pinjaman berjumlah RM58,000 malah sebelum ini saya terpaksa menanggung kos pemasangan cerucuk kira-kira RM6,000.
“Saya juga memulakan bayaran ansuran RM185 sejak lapan bulan yang lalu namun bercadang untuk menghentikannya buat sementara waktu kerana terpaksa memikirkan cara mengumpul duit bagi membayar kos pemasangan elektrik dan air pula,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Pihak kontraktor mungkin cuba mengenakan harga tinggi bagi kerja penyambungan kabel tidak sampai 10 meter dari tiang di tepi jalan sedangkan Jahaimi sudah mengemukakan permohonan dari Syarikat Sesco Berhad.

Begitu juga dengan kos menyambung bekalan air dari paip utama ke kediamannya, dengan pihak kontraktor mendakwa kos bagi dua kerja penyambungan itu adalah biasa yang dikenakan kepada pemilik rumah.

“Sepatutnya HDC memasukkan kos penyambungan ini di dalam pinjaman yang diberikan kerana adalah pelik apabila rumah yang siap tidak dimasukkan sekali dengan kemudahan elektrik dan air.

“Saya sedia menanggung bayaran tambahan bulanan jika kos penyambung dimasukkan ke dalam pinjaman tetapi bagi menyediakan wang dalam jumlah yang besar ia terpaksa mengambil masa,” kata suri rumah itu.

Jahaimi turut mendakwa, ada banyak kejadian pemohon terpaksa menolak tawaran RMR selepas diminta menanggung sendiri kos menanam cerucuk kerana ia tidak termasuk di dalam perjanjian pinjaman.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam HDC, Ahadiah Zamhari, dalam kenyataannya berkata, hanya kos pendawaian dan pemasangan paip air di dalam rumah termasuk di dalam kontrak spesifikasi yang ditetapkan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

“Ini tidak termasuk kos penyambungan elektrik dan air ke rumah yang perlu ditanggung pemilik rumah sendiri dengan kos ini bergantung kepada yang dikenakan Sesco dan Lembaga Air Kuching (LAK).

“Sistem ini adalah sama bagi pembelian rumah lain di mana pembeli atau pemilik bertanggungjawab ke atas kos penyambungan elektrik dan air ke rumah masing-masing. Oleh itu, pemilik dinasihat menyemak sendiri dengan pihak Sesco atau LAK berkenaan caj yang dikenakan,” katanya.

Oleh M Hifzuddin Ikhsan

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...