terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, April 6, 2010

'Tiada siapa boleh tangkap, tauke tu kebal'


PELAJAR sekolah sekarang terlalu ramai didapati sudah ketagih bermain video di kafe Internet yang beroperasi secara 24 jam.

Tiga orang anak saya kini sudah ketagih dengan permainan video itu sehingga sanggup menghabiskan masa berjam-jam di situ.

Tinjauan saya mendapati, kafe Internet di sekitar Johor Bahru juga penuh dengan pelajar termasuk yang masih memakai baju sekolah pada waktu sekolah.

Ini bermakna, mereka keluar dari rumah kononnya untuk ke sekolah tetapi ponteng untuk melencong ke kafe Internet bagi menghabiskan masa dan wang.

Sudah berbuih mulut saya menasihatkan anak-anak supaya jangan ke kafe Internet itu kerana bimbang ditangkap oleh pihak berkuasa.

Apa yang menyedihkan anak saya boleh menjawab: "Tiada siapa boleh tangkap, tauke tu kebal."

Apa sudah jadi?

Sebagai ibu bapa tentulah masalah ini cukup merunsingkan kerana bukan sahaja membazir wang, masa dan tenaga dengan perkara tidak berfaedah, tetapi lebih malang lagi ketagihan ini menyebabkan anak-anak saya hilang tumpuan kepada pelajaran.

Sekarang mereka sanggup bangun pagi awal dan kumpul duit saku hingga tak makan semata-mata hendak ke kafe Internet dan memegang buku jauh sekali.

Selain ponteng sekolah, kafe Internet itu juga dikhuatiri menyumbang kepada pelbagai masalah sosial seperti menghisap rokok, mencuri dan maksiat.

Yang menghairankan kenapa pihak berkuasa tidak ambil sebarang tindakan untuk menghalang budak-budak sekolah bermain di kafe itu?

Malah, aduan telah banyak kali saya buat tetapi tiada sebarang tindakan diambil.

Jabatan Pelajaran, polis dan pihak berkuasa lain perlu bertindak segera menyiasat masalah ini kerana terlalu ramai ibu bapa yang menghadapi masalah ini dengan anak-anak mereka.

- BAHARUDDIN K. HUSSAINJOHOR BAHRU

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...