terima kasih buat kalian semua..

Sunday, April 18, 2010

Ukur kemampuan diri sebelum mahu kahwin lagi


KECOH, kecoh, kecoh. Tidak lama dulu kecoh wanita Malaysia mengikat cinta di Lombok. Kelmarin kecoh pula lelaki Malaysia gila berkahwin dengan wanita Sumatera. Tak kurang kecohnya, gadis-gadis sunti tempatan asyik benar mahu berkahwin dengan pilihan hati masing-masing walaupun usia baru mencecah belasan tahun.

Apa nak jadi kepada rakyat Malaysia? Sibuk mahu menambah isteri dari seberang, mencari suami penyayang tetapi tidak berharta, lebih dikesali tak habis-habis membuang dan mendera bayi.

Penting benarkah berkahwin seorang lagi dengan wanita dari Sumatera sedangkan isteri pertama di tanah air merempat dan terpaksa kais pagi makan pagi untuk menyara keluarga?

Hebat sungguhkah jejaka-jejaka Lombok sehingga wanita Malaysia sanggup tinggal emak tinggal saudara semata-mata mahu sehidup semati. Tetapi apabila dihimpit kesengsaraan tidak pula sanggup menanggung penderitaan sehingga menuntut dibawa pulang ke tanah air sendiri.

Terlarang

Lemah sangatkah gadis-gadis sehingga tidak mampu menahan nafsu terlarang yang kemudiannya menghapuskan sifat kemanusiaan sehingga tergamak bertindak kejam.

Sekali lagi apa sebenarnya yang ingin ditonjolkan oleh masyarakat kita. Adakah semua ini perkembangan yang boleh dibanggakan? Atau ada sesuatu yang tidak kena sehinggakan fokus masyarakat kita lari kepada perkara-perkara seperti itu.

Ada kalangan wanita tempatan mengadu terpaksa bertungkus lumus membesarkan anak-anak hanya kerana suaminya berkahwin lagi dengan wanita dari seberang. Mahu saja diukur badan lelaki itu adakah padan dengan dua baju yang cuba disarungnya serentak. Jika tidak berpadanan mengapa dicuba-cuba juga memakai baju tersebut sehingga akhirnya koyak dan tidak boleh dipakai lagi.

Memang pelik apabila lelaki yang mahu menghirup madu dari bunga lain selalunya mempunyai 'badan' yang lebih besar daripada saiz baju yang sepatutnya. Maka berlakulah ketidakseimbangan yang membawa kepada ketidakadilan seterusnya mencetuskan kesengsaraan.

Tidak ada siapa menentang lelaki mahu berkahwin lebih daripada satu baik dengan wanita tempatan mahupun dari Sumatera atau negara mana sekali pun. Tetapi perkahwinan itu mesti ada tujuannya dan bukan kerana nafsu semata-mata. Bukan juga kerana terpengaruh dengan kecantikan lantas maksud perkahwinan yang mungkin hanya untuk memudahkan proses mendapat taraf penduduk tetap langsung dilupakan.

Perkahwinan mesti ikhlas dan ada matlamatnya kerana ia dibina di atas air mata isteri pertama yang akhirnya terpaksa menanggung segala keperluan anak-anak yang lahir hasil cinta sehidup semati. Manakala lelaki yang bergelar suami lupa diri asyik mengulit isteri kedua yang tidak diketahui sejauh mana keikhlasan serta paras kesetiannya kelak.

Paling penting jangan dikatakan kononnya wanita tempatan tidak pandai melayan suami menyebabkan lelaki mengubah selera kepada wanita dari negara jiran. Sejak dahulu lagi wanita tempatan sememangnya terkenal dengan keayuan, sikap lemah lembut, berbudi bahasa dan bertanggungjawab. Lantas tidak timbul soal tidak pandai melayan atau kurang keterampilan diri. Lantaran wanita asing yang dikahwini kadangkala tidak semenggah dan tidak sedap mata memandang jika dibandingkan dengan isteri pertama. Segala-gala berbalik kepada soal 'tepuk dada tanya selera' dan bukannya meletakkan selera di tempat teratas sehingga mengetepikan faktor-faktor yang sepatutnya diambil kira terlebih dahulu.

Wanita tempatan mempunyai banyak kelebihan tetapi seperti biasa lelaki yang ingin menghalalkan niat untuk berkahwin wanita seberang akan mencipta pelbagai alasan asal saja hasrat mereka tercapai.

Sepatutnya diwujudkan jawatankuasa di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk memantau rumahtangga lelaki yang berkahwin lebih daripada satu terutama melibatkan wanita dari seberang.

Jika perkahwinan kedua membawa kepada pengabaian isteri dan anak-anak daripada perkahwinan pertama maka satu tindakan mesti dikenakan ke atas mereka.

Jika ana-anak terabai dan si isteri terpaksa berhempas pulas membanting tulang untuk membesarkan anak-anak maka lelaki tersebut tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.

Kemungkinan mereka boleh diarah melalukan kerja-kerja sosial yang boleh menimbulkan rasa insaf bahawa perkahwinan itu bukan sekadar untuk memuaskan nafsu sehingga melahirkan zuriat yang berderet.

Perkahwinan itu ada jiwa dan semangatnya. Jangan dibiarkan kedua-dua elemen itu hilang lantaran perkahwinan yang tiada lagi jiwa dan semangat akan rosak sehingga sukar diperbaiki lagi. Akan tiba masanya hati wanita yang ikhlas menerima lelaki sebagai suami akan menjadi seperti batu lantaran pembahagian kasih tidak seimbang, sayang yang semakin melayang gara-gara wanita seberang

Oleh NORAINI ABD. RAZAK

1 comment:

  1. Saya ingin mencadangkan para suami yang bercadang berpoligami, mesti dikenakan satu syarat yg amat minima.

    Isteri pertama mesti diberikan hak untuk dimaklumi status kesihatan siwanita yg mahu berkongsi lelaki dengannya.

    Hal ini dikira penting, kerana sebarang penyakit berjangkit yg dialami si isteri muda, terutama penyakit aids misalnya, pasti akan merebak dan berbahaya kepada si isteri pertama.

    Dengan peraturan ini juga, siisteri akan mengetahui niat dan hasrat si lelaki sebelum mereka mengamalkan poligami.

    Lagipun, sudah banyak negeri di negara ini, mewajibkan pasangan yg hendak berkahwin supaya mengistiharkan status kesihatan mereka.

    Maka, hal yg serupa perlu lebih diwajibkan kepada pengamal poligami kerana ia akan membabitkan lebih banyak nyawa dan keluarga.

    Wassalam

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...