terima kasih buat kalian semua..

Monday, April 12, 2010

Usah rela hidup susah demi cinta

SEJAK kebelakangan ini, bagaikan trend di kalangan gadis remaja untuk menamatkan zaman bujang pada usia persekolahan lagi. Ada yang sanggup melarikan diri daripada keluarga untuk mengikut kekasih hati ke negara jiran dan rela hidup susah demi cinta, tidak kurang juga yang sanggup berpatah arang dengan ibu yang melahir serta membesarkan mereka atas nama cinta.

Malah kisah adik Halimaton yang begitu tegar untuk berkahwin pada usia 15 tahun turut mendapat perhatian luar biasa daripada pembaca Berita Harian dan rakan yang mengutus e-mel selain menelefon bagi memberikan pandangan. Semuanya melahirkan rasa ‘marah’ terutama melihat gambar yang menunjukkan wajah selamba adik berkenaan walaupun ibunya hampir pengsan memujuk dia.

Persoalan yang dikeutarakan seorang rakan menarik perhatian saya. Katanya, kenapa semakin ramai remaja hari ini yang mengambil keputusan untuk berkahwin pada usia muda, sedangkan mereka belum matang untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri.

Malah, jika mengikut Akta Kanak-kanak 2001, remaja seperti Halimaton masih dikategorikan sebagai kanak-kanak kerana di bawah usia 16 tahun. Hari ini, kanak-kanak seperti Halimaton sudah arif mengenai cinta, bahkan satu kajian kontroversi oleh ahli akademik tempatan yang didedahkan beberapa tahun lalu menunjukkan lebih 90 peratus remaja yang menjadi responden mengaku sudah pernah melakukan hubungan seks.

Antara percaya dan tidak, tetapi saya pernah menemubual pesalah juvana di Sekolah Henry Gurney beberapa tahun lalu. Pengakuan seorang remaja di situ amat memeranjatkan saya. Dia mula melakukan hubungan seks pada usia 10 tahun dan pasangannya adalah remaja berusia 14 tahun. Sejak itu, katanya, seks menjadi lumrah dalam hidupnya.

Dia ditangkap pada usia 13 tahun atas kesalahan rogol (statutory rape), walaupun pasangannya yang juga masih remaja merelakan hubungan berkenaan (undang-undang menyatakan hubungan seks dengan kanak-kanak perempuan bawah usia 16 tahun tetap dianggap rogol walaupun dengan rela).

Kes kanak-kanak lelaki berkenaan yang berasal dari utara itu bukan kes terpinggir. Kita perlu menerima hakikat walaupun pahit, bahawa remaja atau kanak-kanak hari ini begitu ‘advance’ sehingga menganggap hubungan seks tidak lagi perbuatan yang berdosa besar dan akan memberikan impak kepada kehidupan mereka.
Tidak cukup dengan itu, kisah remaja perempuan yang jatuh cinta dengan jejaka Lombok dan sanggup lari meninggalkan keluarga untuk mengahwini kekasih hati semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Apa istimewanya jejaka Lombok sehingga berjaya memujuk remaja kita berkahwin pada usia begitu muda dan mengikut mereka tinggal di tempat yang serba kekurangan?

Ada yang mengatakan mereka dibomoh, tetapi berdasarkan pelbagai kejadian yang berlaku, boleh disimpulkan remaja kita hari ini (tidak semua) terlalu cetek fikiran. Mereka hanya fikir untuk berseronok kerana ketika bercinta semuanya indah belaka, tanpa langsung memikirkan kelak apabila berkahwin, mereka terpaksa memikul tanggungjawab berat sebagai isteri.

Ini cukup berbeza dengan zaman saya dulu. Seingat saya, pada usia berkenaan, saya dan rakan sebaya tidak pernah pula sampai terfikir untuk berkahwin walaupun seperti remaja lain, kami juga ada menaruh hati kepada seseorang.

Perkahwinan bukan boleh dibuat sembarangan. Hari ini kahwin, esok cerai. Kalau boleh biarlah perkahwinan itu hanya sekali seumur hidup, justeru bab perkahwinan tiada dalam kamus ketika usia belasan tahun dulu.

Ketika itu, cita-cita lebih kepada untuk menjadi wanita bekerjaya, punya duit sendiri untuk membeli apa saja barang yang dihajati dan membeli kereta impian. Perkahwinan tolak ke tepi. Tetapi, hari ini sebaliknya pula.

Mungkinkah apa yang berlaku ini menunjukkan kegagalan ibu bapa hari ini mendidik anak mereka atau pelbagai sumber maklumat seperti televisyen, internet dan telefon bimbit menjadi dalang kepada permasalahan itu?

Oleh Fadzlena Jafar

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...