terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, April 28, 2010

Wajah import penuhi iklan TV tempatan

BAGI mereka yang biasa memandu menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan dari arah selatan menghampiri Plaza Tol Sungai Besi, mesti akan terpandang papan iklan besar (billboard) yang menampilkan wajah selebriti dari Hong Kong atau Taiwan sedang memperagakan produk tertentu.

Suatu ketika di lokasi yang sama, kita tidak pernah dipaparkan dengan penampilan bukan wajah Malaysia untuk satu iklan sebuah syarikat telekomunikasi yang ditampal pada billboard itu. Memang ia tidak memberikan apa-apa persoalan kepada pemandu kenderaan yang melalui lebuh raya ini. Cuma bagi mereka yang prihatin, akan tertanya-tanya sudah tidak ada lagikah wajah Malaysia untuk dijadikan model memperagakan produk berkenaan.

Ia sebenarnya agak signifikan dengan slogan Belilah Barangan Tempatan. Produk buatan tempatan, tetapi menggunakan model import. Mungkin sesetengah jenama produk itu memang sudah mempunyai pasaran besar di luar negara, tetapi apa masalahnya kalau menggunakan wajah tempatan untuk promosi produk berkenaan.

Perkara ini juga berlaku pada kebanyakan iklan yang disiarkan di televisyen. Kebiasaannya setiap iklan yang disiarkan akan tertera perkataan KPKK iaitu Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dengan nombor siri yang diletakkan pada sebelah hujung kanan atau kiri, di atas atau bawah iklan berkenaan.

Ia menandakan iklan itu mendapat kelulusan daripada kementerian. Kalau iklan berkaitan produk kesihatan, tertera dengan logo KKM iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia.

Bagaimanapun, tidak semua iklan yang disiarkan itu ada tertera logo atau perkataan KPKK atau KKM. Jadi, apa maknanya kalau tidak ada tanda KPKK dan KKM? Adakah pengiklan atau agensi pengiklanan atau stesen TV yang menyiarkan iklan ini sudah menyalahi peraturan? Biarlah kita tinggalkan perkara ini kepada pihak yang lebih berkuasa untuk menentukannya, terutama daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Bukan susah sangat untuk mengesan sesuatu iklan yang disiarkan di TV setiap hari bukan buatan Malaysia. Melihat gerak bibir (miming) pelakon komersial itu sudah jelaskan ia bukan iklan buatan tempatan. Ini paling ketara pada iklan produk kesihatan dan kecantikan. Aneh! Adakah kalau menggunakan wajah Malaysia dan iklan itu buatan tempatan, maka produk itu tidak laku di Malaysia.
Ia memang menjimatkan kos pengiklanan. Agensi pengiklan hanya perlu membayar waktu siaran atau air time tanpa perlu berbelanja untuk membayar model atau pelakon komersial tempatan. Malahan mereka tidak perlu berbelanja besar untuk membayar kos produksi bagi membuat penggambaran produk iklan.

Apa yang tersirat ialah ia mendatangkan kerugian kepada syarikat dan kru produksi tempatan. Iklan yang disiarkan di TV nampak banyak, tapi mereka tidak ada kerja untuk buat iklan itu sebab agensi pengiklanan sudah membawa secara terus atau mengimportnya dari negara asal.

Ada peraturan atau undang-undang pengiklanan yang menetapkan bahawa setiap iklan yang disiarkan di TV mestilah menggunakan tenaga kreatif tempatan sama ada sepenuhnya atau sebahagiannya. Tidak apalah kalau ada syarikat hendak menggunakan model luar atau antarabangsa tetapi pembikinan iklan mestilah di Malaysia dan membabitkan kru produksi tempatan.

Suatu ketika dulu, Catherine Zeta Jones dikejar monyet dalam satu aksi untuk iklan kad kredit jenama antarabangsa. Pembuatan iklan itu dilakukan di Bukit Cherakah, Shah Alam dengan membabitkan sebahagian kru produksi tempatan. Jadi, apa salahnya kalau syarikat besar seperti produk kecantikan, kesihatan dan sebagainya melakukan kaedah yang sama? Ini kerana sasaran pasaran produk mereka adalah untuk rakyat negara tempatan juga.

Sudah tiba masanya agensi berkaitan seperti SKMM memantau penyiaran iklan di TV supaya ia mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Utamakan kepentingan rakyat tempatan. Pastikan perkara di sebalik tabir dalam setiap pembikinan sesuatu iklan itu membabitkan produksi, kru dan tenaga kreatif kita.

Kita juga mempunyai tenaga kerja yang kreatif dan inovatif. Di negara ini, kita juga ada rakyat memiliki wajah-wajah yang cantik, manis, tampan dan eksotik untuk diketengahkan bagi memperagakan produk tertentu termasuklah barangan dari jenama antarabangsa. Kenapa tidak digunakan sumber yang kita miliki?

Oleh Zainuri Misfar

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...